SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, December 6, 2009

KISAH LUCU MENCUIT RASA (FUNNY STORY COLLECTION)


Kisah 1:

Lokasi: Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI)
Acara:  Pertandingan Bola Sepak Kelab Staf, Parlimen Bagan Datuh

Ketika hendak memulakan perlawanan, pengadil meniup wisel dari tengah padang sambil  menunjukkan isyarat pergelangan tangan. Penulis Blog (PB) yang berada di kawasan pertahanan menyangka pengadil bertanyakan “pukul berapa?” Tanpa berfikir panjang, PB berteriak sekuat hati, “pukul tiga suku!” Serentak itu, hampir semua pemain dan juga pengadil ketawa (mungkin ada yang keras perut) demi mendengar suara PB menjawab demikian. PB yang masih terpinga-pinga bertanyakan seorang rakan sepasukan perihal mereka gelak sakan. Sambil menahan ketawa, sahabat PB memberitahu maksud pengadil ialah “tanggalkan jam tangan, bahaya kepada pemain lain jika berlaga nanti.” Kali ini PB turut sama-sama tergelak. Perlawanan separuh akhir itu dimenangi tuan rumah dengan jaringan 1-0 ke atas pasukan PB (SMK Khir Johari, Sungai Sumun).


Kisah 2:

PB juga mengambil bahagian dalam pertandingan karum individu. Pada peringkat separuh akhir, PB bertemu juara bertahan (JB). Kami telah kerap bertarung sebelumnya, dan kebiasaannya PB berjaya memberikan kemenangan mudah kepada JB. Tetapi hari itu lain pula ceritanya. JB jelas gementar. PB mengambil kesempatan menguasai permainan. Akhirnya masing-masing tinggal satu buah karum yang melekat di penjuru tepat. Giliran PB pula jadi tidak keruan. Setelah lebih lima kali mencuba, JB berjaya memasukkan buah terakhir itu. Maka, seperti dalam acara bola sepak, PB sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.


Kisah 3:

Lokasi:  Dalam kereta di sebuah bandar pantai timur
Aktiviti:  Pusing-pusing bandar tengok kesan banjir

Sambil memandu, PB mendengar radio yang kebetulannya sedang menyiarkan ceramah motivasi. Sedang asyik demikian, tiba-tiba muncul sebuah kereta dari simpang sebelah kiri meluru ke jalan utama tanpa berhenti. PB tersentak. Terpacul daripada mulut PB, “mana pula datangnya kereta itu?” Tanpa disangka-sangka, penceramah motivasi radio tadi berkata: “Datang dari syurga!” Masya-Allah. PB tersedar bahawa itu mungkin satu peringatan Tuhan supaya PB mengawal lisan. Sebenarnya sudah banyak kali bahawa peristiwa kebetulan perbualan PB dengan anggota keluarga di dalam kereta seolah-olah disampuk oleh DJ atau penceramah radio. Anda pula bagaimana?


Kisah 4:

Lokasi: Di dalam gerabak kereta api
Aktiviti:  Perjalanan dari Sungai Tukang Sidin ke bandar Teluk Anson (kini Teluk Intan)

PB masih di bangku sekolah rendah. Pada ketika itu, antara kegilaan budak sekolah ialah ais kacang (kini disebut sebagai air batu campur, ABC). Maka, untuk menghilangkan kebosanan, PB membeli sebungkus ais kacang untuk disedut perlahan-lahan. Wisel dibunyikan diikuti siren kereta api menandakan jentera pengangkutan kuasa arang batu itu hendak mula bergerak. PB mengambil tempat duduk gerabak pertama sebelah tepi bahagian kiri. Sambil menikmati ais kacang, PB melontarkan pandangan ke luar jendela melihat-lihat sawah padi melaut-laut saujana mata memandang, dan barisan pokok getah yang bagaikan ketumbukan soldadu berdiri tegak menunggu perintah komander. Kereta api berhenti mengambil dan menurunkan penumpang di Permatang Hault. PB tidak mempedulikan pergerakan penumpang yang silih berganti. Selang beberapa minit, sekali lagi kereta api berhenti di Sungai Kerawai. PB masih melayan perasaan seperti tadi. Penumpang sudah bertukar. Baru sebentar kereta api bergerak perlahan meninggalkan Sungai Kerawai, PB tergamam. Bungkus ais kacang di tangan PB dirampas. Gerangan siapa yang tega melakukan begitu? Tiba-tiba ais kacang yang baru dinikmati tidak sampai separuh itu berada di tangan sesusuk tubuh yang berpakaian compang-camping dengan rambut yang kusut masai. Tidak nampak langsung rasa bersalah di wajahnya. Tanpa minta izin atau minta maaf, dengan rakus orang itu menghabiskan saki-baki ais kacang milik PB. PB membatalkan niat hendak membantah. Jam itu, orang tidak siuman berkeliaran di mana-mana! Mungkin saiz Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan tidak mampu menampung mereka.

Kisah 5:

Lokasi:  Dalam bas henti-henti
Aktiviti:  Perjalanan dari Bahau, Negeri Sembilan ke Felda Triang, Pahang

Masa itu PB tingkatan enam rendah, kut (jika tidak silap ingatanlah...). Bas agak uzur. Namun, pilihan apa yang ada? Penumpang sendat. Jalan raya pula boleh tahan mutunya. Bas terhuyung-hayang mengelak lubang dan membelok tanpa henti. PB dapati jalan di Bahau saling tak tumpah macam jalan di Ijok, Selama, Perak. Macam ular kena palu! Tiba-tiba seorang pak cik naik. Tiada tempat duduk. Bukan orang muda tidak beri laluan. Sebenarnya yang duduk ialah kaum wanita dan warga emas yang lebih tua  daripada pak cik yang baru naik itu. PB menelah pak cik tadi barangkali berusia pertengahan separuh abad. Maka, bergayutlah insan malang itu pada palang siling bas. Konduktor bas pun datang untuk mengutip bayaran tambang. Sedang pak cik tadi cuba menyeluk saku seluarnya, tiba-tiba pemandu bas menekan pedal brek kecemasan. PB terpaksa mengalihkan pandangan ke tempat lain. Seluar pak cik tadi terlucut... Mungkin penumpang lain juga tidak sanggup. Semua bersimpati gamaknya. Apabila PB menoleh semula ke arah pak cik tadi, nasib baiklah dia tidak lupa memakai seluar katuk (seperti seluar Hawaii sekerat tu...). Pak cik itu hanya mampu tersengih sambil membetulkan seluar slack yang terlondeh supaya tidak menjadi tontonan. Adanya...

(Nota: Kelima-lima kisah di atas menjadi pengalaman lucu bagi PB, tetapi ada pelajarannya. PB memohon maaf jika terdapat kesilapan maklumat, atau cerita tidak lawak pun).

No comments: