SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, December 6, 2009

KEMASUKAN PELAJAR TINGKATAN ENAM MEROSOT (DOWNSIZING OF THE SIXTH FORM STUDENT ENROLMENT)


Jumlah calon STPM 2009 ialah kira-kira 55 ribu orang. Bilangan itu dikira munasabah untuk menggambarkan daya tarikan pengajian tingkatan enam kepada pelajar lepasan SPM. Tambahan pula, 20 buah IPTA tempatan menyediakan lebih 30 ribu tempat untuk lulusan STPM. Maknanya pengajian tingkatan enam menawarkan laluan pengajian tinggi yang sangat cerah.

Ketika satu demi satu institusi pengajian tinggi swasta ditubuhkan pada pertengahan dekad 1990-an, enrolmen pelajaran tingkatan enam mencatat penurunan ketara. Misalnya, calon STPM 1996 hanyalah berjumlah sekitar 40 ribu orang, dan tahun berikutnya turun lagi kepada lebih sedikit daripada 30 ribu calon. Idea penubuhan kolej junior pernah dilontarkan oleh Datuk Dr Sulaiman Daud (Menteri Pelajaran suatu ketika dahulu, ahli politik Sarawak) bagi menggantikan kelas tingkatan enam di sekolah.

Apabila Dr Sulaiman ditukarkan ke portfolio kabinet yang lain, idea kolej junior lenyap begitu sahaja. Kini, pengajian tingkatan enam kembali mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kali ini menerusi Ketua Pengarah KPM, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom yang pernah menjalani pengajian tingkatan enam (SMK Seri Perak, Teluk Intan: awal 1970-an).

Kebanyakan profesor,  pemimpin negara,  pegawai tinggi awam, tokoh perniagaan dan guru ialah produk tingkatan enam. Sebab itulah kertas cadangan KPM untuk proses naik taraf pengajian tingkatan enam dan penambahbaikan perjawatan guru akademik tingkatan enam (bakal bergelar pensyarah) agak mudah mendapat kelulusan jemaah menteri dan Jabatan perkhidmatan Awam (JPA). Pensyarah IPTA juga mengakui bahawa lepasan STPM didapati lebih matang daripada pelajar yang masuk menerusi saluran lain seperti matrikulasi, program asasi dan penyandang sijil / diploma politeknik. 

Mulai tahun 2011, sistem baharu pengajian tingkatan enam akan dilaksanakan sepenuhnya. Pelajar tingkatan enam bakal menjalani pengajian selama tiga semester. Setiap semester akan dianggap berasingan dari segi penawaran kursus dan peperiksaan. Tiada lagi longgokan kertas peperiksaan sekali gus. Pentaksiran berterusan akan membantu pelajar tingkatan enam mencatat gred terbaik.

Sebagai tempoh peralihan, kohort pelajar tingkatan enam rendah 2009 secara beransur-ansur didedahkan dengan sistem berkenaan. Namun, disebabkan pengajian cara baharu, sedangkan peperiksaan cara lama, banyak rungutan pelajar dan ibu disiarkan dalam akhbar dan blog. Pelajar tidak tahan berada di sekolah dari tujuh pagi hingga empat petang. Perbelanjaan juga didakwa membebankan ibu bapa.

IPTS, kolej swasta dan institut latihan kemahiran pelbagai agensi awam pula berebut-rebut mempelawa pelajar tingkatan enam mengikuti kursus di tempat mereka. Insentif seperti netbook percuma, pakej penajaan yuran dan elaun sara hidup dijadikan umpan. Maka, sebahagian pelajar tingkatan enam yang memang menunggu ketika untuk angkat kaki tidak berlengah-lengah lagi melangkah pergi.

Khabarnya, enrolmen pelajar tingkatan enam rendah pada bulan November 2009 menyusut. Ada sekolah yang hanya cukup-cukup bilangan pelajar tingkatan enam untuk mengelakkannya daripada “tutup kedai”.  Jika berlaku, ke mana gerangan guru akademik tingkatan enam yang berjawatan hakiki  hendak ditalakan?

Norma perjawatan guru tingkatan enam ialah 1 : 1.25 (nisbah bilangan guru kepada bilangan pelajar), berbanding dengan menengah atas (1 : 5) dan menengah rendah (1 : 1.75). Guru tingkatan enam juga akan mengendalikan kursus berdasarkan modul yang bakal diselaraskan. Mereka juga akan menjalani orientasi semula sebagai “pakar” pentaksiran berterusan dan menghasilkan penyelidikan. 

Penambahbaikan skim perjawatan guru akademik tingkatan enam dibuat hampir serentak dengan kenaikan gred perjawatan pensyarah Institut Latihan Perguruan (IPG), matrikulasi dan politeknik. Lantikan pensyarah akan berdasarkan gred minimum perjawatan memangku DG 44 (untuk tujuan naik pangkat, atau tanpa naik pangkat). Semua institusi yang disebutkan bernaung di bawah KPM.

Perkara yang sama juga berlaku dalam kalangan penjawat awam profesional yang lain seperti  jurutera  dan ahli kimia. Sebenarnya pihak kerajaan menerusi JPA melaksanakan proses mengangkat martabat perkhidmatan awam Malaysia bertaraf dunia. Diharapkan pada masa hadapan, sektor awam dapat menarik individu terbaik (the best brain) sebagaimana yang berlaku di Jerman dan Singapura.

Sebagai langkah sementara membendung aliran keluar pelajar tingkatan enam semasa, KPM menerusi pekeliling terbaharu telah mengarahkan beberapa pengubahsuaian dilakukan, khususnya dari segi tempoh masa berada di sekolah.  Aktiviti kokurikulum 180 minit dikekalkan (semua murid tingkatan lain juga diperuntukkan masa yang sama seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1996 pindaan). Terpulang kepada kreativiti pengetua untuk menetapkan kaedah pelaksanaannya.

Pelbagai opsyen boleh dilaksanakan. Contohnya, jalankan aktiviti kokurikulum pada hari Rabu mulai pukul dua hingga lima petang. Semasa penulis blog (PB) bertugas di SM Teknik Ipoh (Persiaran Brash), itulah kaedahnya. Kebanyakan sekolah rendah juga demikian.

Tambahan kepada pelajar tingkatan enam ialah tutorial. Cadangan masa yang diperuntukkan ialah 80 minit seminggu. Sekali lagi, pengetua diberi kuasa menetapkan kaedah pelaksanaannya. Sebagai contoh, adakan pada setiap hari Isnin mulai pukul 2.00 hingga 3.20 petang. Mata pelajaran akan digilirkan mengikut pusingan sama rata.

Jika masih banyak rungutan bermakna daya tarikan tingkatan enam perlu lebih mempersona. Guru akademik tingkatan enam mesti lebih memikat di mata pelajar tingkatan enam. Lebih banyak harapan dan motivasi diberikan. Hapuskan kebimbangan dan ketidakpastian masa hadapan.

Guru akademik tingkatan enam menggalas tugas yang mencabar. Penjenamaan semula tingkatan enam harus disokong dengan pakej pembelajaran yang dikendalikan oleh profesional  yang memiliki cita rasa, kecekapan, dan penampilan yang meyakinkan. KPM tentu menyedari bahawa ciri dan pembawaan guru akademik tingkatan enam yang diharapkan itu sukar berlaku dengan sendirinya. Kebanyakan mereka memerlukan latihan dan orientasi perwatakan guru akademik tingkatan enam...

1 comment:

Leon Siew said...

Nama saya Leon dari Lincoln University College, saudara boleh melanjutkan pelajaran di Lincoln University College.Saudara boleh pilih kursus-kursus Diploma yang saudara minati. Pendaftaran hanya RM500 dan boleh masuk kelas belajar. Kami boleh menolong saudara dapatkan pinjaman dari PTPTN loan nanti. Kolej alamat kita ialah:- Lincoln University College No.2 Jln Stadium SS7/15, Kelana Jaya 47301 Petaling Jaya. Sila hubungi saya Leon 012-6575693 untuk mendapatkan informasi kursus-kursus yang di tawarkan di college Lincoln.