SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, April 16, 2015

DARI PERMATANG HALT KE PERMATANG BENDAHARI (BRINGING THE PESSAGE OF TIME)

Pada  zaman kanak-kanak dahulu, penulis blog (PB) biasa menaiki kereta api yang masih menggunakan arang sebagai bahan api untuk bergerak. Dari stesen kereta api Sungai Tukang Sidin, kereta api akan singgah di stesen Permatang Halt dan Sungai Kerawai. Walaupun gerabak hanya dilengkapi dengan kipas angin raga, serta tiada apa-apa muzik dimainkan, bunyi pergerakan keretapi yang diselang-seli dengan siren begitu mengasyikkan.

Kini, perkhidmatan kereta api di laluan berkenaan hanya tinggal kenangan. Rel kereta api sudah banyak menjadi sasaran penjual besi buruk dan penagih dadah. Kawasan rel juga terbiar dipenuhi semak samun, manakala kuarters pekerja walaupun masih berdiri teguh merentas masa (meminjam cogan kata korporat MBSB), sudah usang benar.

Kunjungan PB sekeluarga ke Penaga, Kepala Batas kembali membangkitkan kenangan indah zaman kanak-kanak yang dipenuhi dengan kegiatan bermain di kawasan kampung yang luas terbentang. Masuk sahaja ke Seberang Perai sudah mula muncul pelbagai permatang, iaitu pangkal nama tempat di Pulau Pinang. Pasti ada kisah menarik di sebalik nama permatang yang menjadi pilihan di bahagian tanah besar negeri pulau mutiara itu.

Dari segi istilah, permatang merujuk kepada jalan kecil yang lebih tinggi daripada permukaan di sekelilingnya (klik di sini). Di bendang atau sawah padi, permatang ialah tambak atau batas kecil sebagai tempat berjalan yang juga disebut sebagai ban. Di kawasan tanah tinggi, permatang merujuk kepada tempat dua lereng bertemu, manakala di laut merujuk terhadap benteng curam dan panjang yang dibina oleh ombak.

Permatang Halt dari dahulu hingga sekarang masih dengan sawah padi, tetapi teknologi tanaman dan tuaian sudah tidak menggunakan kudrat manusia. Permatang Bendahari sudah banyak berlaku perubahan kerana lebih banyak tanah telah ditebus guna sebagai petempatan penduduk. Permatang Halt masih kekal sebagai kawasan desa, sementelah Permatang Bendahari sudah diasak oleh proses pembandaran (urbanisasi).

Persamaan pangkal nama tempat menyebabkan PB seolah-olah balik menjenguk kampung pada zaman kanak-kanak yang sudah lama ditinggalkan. Masyarakat di Pulau Pinang memang peramah dan bersedia memberi maklumat tentang tempat-tempat menarik serta restoran terbaik di situ. Ciri-ciri pemuda pemudi desa yang polos masih kelihatan walaupun pengaruh budaya bandar cukup kuat.

Permatang Bendahari, Permatang Berah, Permatang Pasir, Permatang Pauh dan ratusan pangkal nama permatang di bahagian Seberang Perai menunjukkan sejarah petempatan orang Melayu yang dominan. Bahagian pulau lebih berbau Inggeris kerana pengaruh Francis Light yang berjaya memperoleh pajakan daripada Sultan Kedah pada abad ke-18, kemudian bertukar menjadi pendudukan Inggeris akibat tercetusnya peperangan. Tanjung Penaga menjadi bukti betapa fakta sejarah bahawa Francis Light yang membuka Pulau Pinang boleh dipertikaikan (klik di sini).

Masyarakat Melayu di Seberang Perai harus menerima hakikat bahawa mereka perlu bijak memastikan kelangsungan anak cucu bukan majoriti. Pulau Pinang memiliki sedikit persamaan dengan Singapura dari segi perkembangan demografi, kuasa ekonomi dan isu pemilikan tanah. Pangkal nama permatang merupakan petanda warisan sejarah silam yang tidak dapat diundur kembali ...

No comments: