Tuesday, May 18, 2010
HUJAN RAHMAT DI SMI (THE SCHOOL IN WET)
Ipoh, Selasa: 18 Mei 2010 / 4 Jamadil Akhir 1431
"Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari". Barangkali ungkapan peribahasa itu paling sesuai bagi menggambarkan siraman hujan lebat diselang seli dengan titik-titik renyai dan seriat yang melanda bandar raya Ipoh hari ini. SMK St Michael, Ipoh (SMI) juga tidak terkecuali.
Hujan mulai turun sekitar pukul 12.30 tengah hari, dan berterusan hingga ke malam. Mengikut hukum logik silogisme, "jika hujan, maka basah". Maka, itulah yang berlaku.
Seluruh kawasan SMI bertukar menjadi medan air sementara. Zon yang paling terjejas ialah tempat letak kereta guru dan tempat meletak motosikal pelajar. Petak-petak parkir kereta pelajar yang bersimen sekadar menjadi lembap.
Monday, May 17, 2010
GURU SEJARAH KUASAI UNDIAN POPULAR (ZUL, HING WON THE HEART OF MICHAELIANS)
Ipoh, Isnin: 17 Mei 2010 / 3 Jamadil Akhir 1431
Sambutan hari guru berlangsung dengan meriah di SMK St Michael, Ipoh (SMI). Acara bermula di tapak perhimpunan mingguan dengan bacaan perutusan Menteri Pelajaran, Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, dan ucapan pengetua. Program yang diselaraskan secara bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Murid, Kelab Staf, majlis pengawas dan majlis ketua kelas itu kemudian diserikan dengan beberapa persembahan pelajar.
Pelajar tingkatan enam rendah yang baru sahaja mendaftar minggu lalu turut membuat persembahan berbentuk gerakan formasi. Selain itu, hadirin disajikan dengan deklamasi sajak, silambam, wushu, dan banghra. Pengacara majlis, Mohd Safuan dari UA1 dilihat berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
Seperti biasa, guru melafazkan ikrar dengan diketuai oleh guru data, Encik Prakas Rao. Kemudian lagu "Guru Malaysia" dinyanyikan dengan penuh semangat. Guru SMI telah memperbaharui komitmen bagi memantapkan penyampaian misi kecemerlangan pendidikan di SMI yang menjengah perayaan seratus tahun pada 2012.
Antara acara yang mendapat perhatian ialah keputusan undian warga pelajar SMI terhadap beberapa kategori "anugerah" untuk guru. Cikgu Zulkefli Sulaiman, guru sejarah berpengalaman telah dipilih sebagai guru lelaki paling popular. Beliau mengatasi empat pencabar utama lain yang tersenarai pada peringkat akhir.
Guru wanita paling popular juga memihak kepada guru sejarah, Puan Hing Chong Hua. Maka, boleh disimpulkan bahawa guru sejarah telah mencatat sejarah. Mungkin ada rahsia tertentu yang perlu dipelajari daripada mereka.
Anugerah lain ialah guru paling bergaya (Tuan Haji Mohamad Sidik, Puan Azaliza), guru paling "sempoi" (En. Thederajan, Puan Shafinazaida) dan guru vokal terbaik (Encik Chong Weng Sung, Puan Agila). Encik Ibrahim bin Ahmad, antara guru pendidikan seni paling berpengalaman di Kinta, mendapat pencalonan paling banyak, cuma tidak lekat kedudukan teratas bagi mana-mana kategori. Kriteria anugerah dan proses undian dikendalikan oleh Kelab Antidadah.
Selepas berhenti rehat, sambutan hari guru disambung dengan acara sukaneka, bola sepak, bola jaring dan catur antarabangsa. Keputusannya: pasukan pelajar menghadiahkan kemenangan kepada pasukan guru (bola sepak 2-1; bola jaring 4-2). Hadiah disampaikan semasa majlis jamuan hari guru tajaan PIBG.
Satu pembaharuan dalam sambutan hari guru kali ini ialah penganugerahan terhadap panitia yang mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan awam. Hadiah sumbangan PIBG berupa sijil penghargaan dan wang tunai. Mudah-mudahan langkah ini akan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan panitia mata pelajaran di SMI...
jambangan bunga tanda ingatan PIBG

Cikgu Zul turut menerima hamper kemenangan skuad bola sepak "guru"

Saturday, May 15, 2010
GURU MENYALAKAN OBOR ILMU (TOKEN APPRECIATION FOR TEACHERS)
Sambutan hari guru pada tanggal 16 Mei ditujukan kepada kaum guru yang sedang berkhidmat di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia, terutamanya di sekolah. Di Malaysia, terdapat lebih 400 ribu orang guru yang telah melalui proses latihan dan pengiktirafan profesional daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara, serta menerima lantikan Yang Di-Pertuan Agung sebagai sebahagian jentera perkhidmatan awam. Pendek kata, guru telah melepasi saringan dan tapisan yang begitu teliti sebelum layak bergelar sebagai pendidik.
Di luar profesion keguruan, masih banyak pihak yang cuba menggelar diri mereka sebagai guru. Misalnya guru tuisyen (yang tiada kelayakan profesional keguruan), "guru" sekolah memandu, "cikgu" pengajar kawad kaki dalam pasukan beruniform, guru silat, management guru, dan lain-lain. Walaupun gelaran guru masih belum diwartakan sebagai eksklusif seperti doktor, dan Ir., namun masyarakat memaklumi perkara berkenaan.
Guru dikategorikan sebagai perkhidmatan menolong (help service). Guru menolong kanak-kanak supaya dapat mengembangkan potensi dan fakulti mereka secara optimum sehingga akhirnya berupaya menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umat manusia dalam persekitaran yang senantiasa mengalami perubahan. Medium pertolongan guru tidak lain tidak bukan ialah aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah, dan juga di luar bilik darjah.
Sistem pendidikan di Malaysia tidak menghalang penubuhan sekolah swasta bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan pilihan selain sekolah bantuan penuh dan sekolah bantuan modal yang sedia ada. Kewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama persendirian, sekolah vernakular persendirian, sekolah antarabangsa, kolej yayasan korporat tertentu dan sekolah gaya pos membuktikan kelonggaran yang diberikan untuk mengelolakan pendidikan jika memang ada keperluan berbuat demikian. Walaupun begitu, pihak berkuasa pendidikan tidak pernah berkompromi tentang pelaksanaan kurikulum, bahasa pengantar dan kelayakan guru mereka.
Era kepimpinan guru dalam masyarakat suatu ketika dahulu sudah beransur-ansur sirna. Bukan tidak ada guru yang diberi kepercayaan memimpin institusi rumah ibadah, jawatankuasa perumahan, panel pusat kesihatan, rukun tetangga dan sebagainya. Namun, bilangan mereka sudah mengecil secara berbanding, serta tidak lagi dominan.
Hal yang demikian sukar dielakkan. Guru perlu memperuntukkan lebih banyak masa untuk memperbaharui amalan profesionalisme keguruan mereka supaya keberkesanan penyampaian perkhidmatan menolong yang diharapkan benar-benar boleh dirasai murid. Maka, tumpuan terhadap pengkhususan kepakaran masing-masing akan lebih ketara.
Walaupun akses kepada ilmu pengetahuan dan maklumat sudah di hujung jari, dan peranan guru lebih menjurus kepada pemudah cara di bilik darjah, tugas asasi memupuk pembelajaran tidak boleh diabaikan sama sekali. Maksudnya, pembinaan jati diri dan penghayatan nilai murni perlu menjadi kenderaan kepada pemerolehan ilmu. Jika tidak, kanak-kanak akan menjadi seperti layang-layang yang terputus talinya, atau umpama kapal tanpa nakhoda.
Berburu di padang datar
Pantun klasik di atas serta sajak nukilan Usman Awang sering bergema dalam majlis sambutan hari guru. Di sekolah, beberapa aktiviti diatur oleh kelab guru dan organisasi pelajar untuk memeriahkan sambutan seperti permainan, persembahan pentas dan jamuan. Selain itu, guru turut membaca ikrar dan menyanyikan lagu "Guru Malaysia".
Kami Guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Sistem pendidikan di Malaysia tidak menghalang penubuhan sekolah swasta bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan pilihan selain sekolah bantuan penuh dan sekolah bantuan modal yang sedia ada. Kewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama persendirian, sekolah vernakular persendirian, sekolah antarabangsa, kolej yayasan korporat tertentu dan sekolah gaya pos membuktikan kelonggaran yang diberikan untuk mengelolakan pendidikan jika memang ada keperluan berbuat demikian. Walaupun begitu, pihak berkuasa pendidikan tidak pernah berkompromi tentang pelaksanaan kurikulum, bahasa pengantar dan kelayakan guru mereka.
Era kepimpinan guru dalam masyarakat suatu ketika dahulu sudah beransur-ansur sirna. Bukan tidak ada guru yang diberi kepercayaan memimpin institusi rumah ibadah, jawatankuasa perumahan, panel pusat kesihatan, rukun tetangga dan sebagainya. Namun, bilangan mereka sudah mengecil secara berbanding, serta tidak lagi dominan.
Hal yang demikian sukar dielakkan. Guru perlu memperuntukkan lebih banyak masa untuk memperbaharui amalan profesionalisme keguruan mereka supaya keberkesanan penyampaian perkhidmatan menolong yang diharapkan benar-benar boleh dirasai murid. Maka, tumpuan terhadap pengkhususan kepakaran masing-masing akan lebih ketara.
Walaupun akses kepada ilmu pengetahuan dan maklumat sudah di hujung jari, dan peranan guru lebih menjurus kepada pemudah cara di bilik darjah, tugas asasi memupuk pembelajaran tidak boleh diabaikan sama sekali. Maksudnya, pembinaan jati diri dan penghayatan nilai murni perlu menjadi kenderaan kepada pemerolehan ilmu. Jika tidak, kanak-kanak akan menjadi seperti layang-layang yang terputus talinya, atau umpama kapal tanpa nakhoda.
Berburu di padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagaikan bunga kembang tak jadiPantun klasik di atas serta sajak nukilan Usman Awang sering bergema dalam majlis sambutan hari guru. Di sekolah, beberapa aktiviti diatur oleh kelab guru dan organisasi pelajar untuk memeriahkan sambutan seperti permainan, persembahan pentas dan jamuan. Selain itu, guru turut membaca ikrar dan menyanyikan lagu "Guru Malaysia".
Kami Guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan...SELAMAT HARI GURU
Friday, May 14, 2010
GURU PELATIH UPSI AKHIRI PRAKTIKUM (NICE DAYS AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)
Ipoh, Jumaat: 14 Mei 2010 / 29 Jamadil Awal 1431.
Setelah dua belas minggu menjalani latihan mengajar, sejumlah 7 orang guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim (UPSI) mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh warga SMK St Michael, Ipoh (SMI). Antara guru praktikum berkenaan ialah Encik Mohd Shahrul dari Kelantan dan Encik Yusuf dari Pahang. Sementara menunggu tawaran penempatan selaku guru sandaran terlatih, mereka bakal berehat di kampung halaman masing-masing buat seketika.
Dari kiri: Shahrul, Ibrahim, Yusuf, Adi

Kedua-dua Shahrul dan Yusuf berlatar belakang opsyen Pendidikan Seni (major) dan Pengajian Melayu. Mereka tiba di SMI pada pagi pelantikan pemimpin pelajar (18 Februari), dan kemudiannya ditempatkan untuk sesi petang. Pengalaman berhadapan dengan semua murid lelaki menengah rendah akan menjadi bekalan sebelum memulakan kerjaya keguruan sebenar kelak.
Menyingkap kembali penempatan praktikum di SMI, awal-awal lagi mereka sudah teruja. Maklumlah SMI sebuah sekolah premier yang telah sekian lama mengukir kemasyhuran, dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun, Shahrul dan Yusuf tetap menyedari bahawa di mana-mana pun cabaran dunia bilik darjah tetap sama, iaitu tentang keberkesanan, serta kebolehlaksanaan penyampaian kepada sejumlah generasi muda yang kaya dengan pelbagai kerenah dan ragam.
Secara amnya, murid SMI memberikan kerjasama dan maklum balas yang amat baik, khususnya ketika penyeliaan pensyarah UPSI berlangsung. Guru pembimbing di SMI juga begitu bermurah hari untuk berkongsi idea dan pengalaman lapangan. Maka, jurang antara teori yang dipelajari di bilik kuliah UPSI dengan amalan sebenar di SMI dapat diminimumkan.
Hari-hari di SMI telah menjadi sejarah. Kini Shahrul dan Yusuf sudah bersedia menghadapi hari muka sebagai guru terlatih yang berdedikasi dan cemerlang. Mereka akan membuktikan bahawa kerjaya keguruan bukanlah pilihan terakhir. Selamat maju jaya...
CATATAN BADMINTON PIALA THOMAS MALAYSIA - CHINA (THOMAS CUP: THE WORLD BADMINTON GLORY)
Ketika ini Malaysia ketinggalan 0-1 di tangan China setelah Datuk Lee Chong Wei terpaksa akur kepada ketangkasan Lin Dan dalam permainan terus, 17-21, 8-21. Memandangkan perlawanan berlangsung pada waktu Maghrib, kesempatan menonton siaran langsung di kaca televisyen menjadi terhad. Nampaknya status sebagai pemain nombor satu dunia Chong Wei sentiasa dibayangi oleh pemain utama negara tembok besar itu.
Menonton Piala Thomas menerusi telefon bimbit
Kini pasangan nombor satu dunia, Koo Kean Kiat (Michaelian) - Tan Boon Heong masih bertungkus-lumus dalam perhitungan dengan beregu handalan China, Cai Yun - Fu Aiping, apabila ketinggalan agak jauh (10 - 17) dan sering membuat hantaran keluar gelanggang. Bukan tidak memberi tentangan, tetapi sentuhan penyudah sering memihak kepada beregu lawan. Akhirnya hantaran balas yang tersekat di jaring menghadiahkan kemenangan set pertama kepada lawan, 15-21.
Set kedua bermula dengan skrip yang hampir sama. Kali ini berkali-kali smash pasangan Malaysia sangkut di jaring sehingga ketinggalan 1-6. Pada pertengahan permainan, lawan mendahului 11-5. Nampaknya tugas bertambah berat dan tekanan juga semakin tinggi.
Setelah bulu tangkis dihantar keluar, kena tipulah pula dengan servis lambung (lob). Sekarang 10-20! Dan Cai Yun dengan mudah meletakkan bulu tangkis ke gelanggang Malaysia tanpa mendapat jawapan. Maka, China sudah kukuh dengan kedudukan 2-0.
Kean Kiat mengakui walaupun telah mencuba, permainan mereka masih tidak mampu menyerap gerakan pantas pemain China. Boon Heong pula berpendapat dalam tahap pemainan seumpamanya, pasangan yang berjaya memimpin serangan akan menyebabkan pihak lawan tertekan dan seterusnya terperangkap untuk terus membuat kesilapan. Apakah Wong Choon Han, 33 dapat mencipta misi ajaib bagi menafikan kemenangan China menerusi pemain muda mereka, Chen Jin, 21?
rehat di arena Kilas Tangkis, tonton Indonesia lawan Jepun
Mata pembukaan Choon Han hanya dikutip setelah ketinggalan 0-3. Pukulan drop gagal disambut lawan untuk 2-4. Bola tanggung pula.3-6. 4-6. Keluar lagi, 4-8. Chen Jin membuat kawalan gelanggang yang baik apabila memaksa Choon Han berkejar di sekeliling gelanggang. Pertengahan set pertama, 5-11.
Sekarang 7-12. Pengalaman nampaknya tidak memadai untuk menyaingi kecergasan. 8-15. Pukulan Chen Jin melebar dan tersasar, 10-15. Langkah Chen Jin sudah mati, sayangnya tolakan Choon Han melepasi garisan belakang, 11-17. Smash padu (267 km sejam) dihalakan ke kiri Chen Jin, 12-18. Bergerak lagi, 14-19. Mata akhir, 15-20. 16-20. Lagi tolakan ke belakang tersasar. Tamat sudah set pertama. Misi "mustahil" pula akan bermula dalam set kedua!
Mata pertama buat Choon Han apabila Chen Jin menghantar shuttle ke jaring. Kembali tolakan melapasi garis belakang, 1-1. Asakan lawan dijawab dengan pukulan yang agak goyah, 1-5. 3-6. Dua kali sangkut di jaring, 3-9. Mata kesebelas terus diraih lawan, tujuh mata di hadapan. Hanya 10 mata untuk China merayakan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir untuk bertemu Indonesia.
Kuisan ke jaring dan tolakan keluar berterusan, 5-14. Seakan-akan gerakan Choon Han semakin perlahan, dan Chen Jin mengambil kesempatan. 6-17, 6-18. Keluar lagi, 6-19. Mata akhir hadiah tolakan keluar. 7-20. Sangkut di jaring, 7-21. Perjuangan Malaysia berakhir di sini!
pemain Kilas Tangkis mendambakan inspirasi
Choon Han berkata bahawa dia telah mencuba segala cara, tetapi Chen Jin sangat sabar dan tidak gopoh. Kunci kekuatan China ialah keseimbangan sepasukan. Malaysia kena menunggu dua tahun lagi untuk terus mencuba.
Datuk Misbun, ketua jurulatih perseorangan menganggap kekebalan pasukan China memang sudah dijangka, dan semua pemain Malaysia telah mencuba sedaya upaya. Satu post-mortem untuk mengkaji kekuatan mental dalam menghadapi tekanan bakal menjadi keutamaan pasukan negara, di samping mengetengahkan bakat-bakat baharu untuk terus kekal dalam kalangan pasukan badminton elit dunia. Apa-apa pun sasaran layak ke separuh akhir sebenarnya tercapai. Tahniah Malaysia!
Wednesday, May 12, 2010
BELIA KREATIF PEMACU PEMBANGUNAN NEGARA (THE BRIGHT FUTURE FOR CREATIVE MALAYSIAN YOUTH)
Pada tahun 2010, jumlah belia di Malaysia menjangkau angka 11.65 juta orang, bersamaan 40.2 peratus penduduk negara. Berdasarkan takrifan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007, lingkungan umur belia ialah antara 15 hingga 40 tahun. Ada juga yang menetapkan lingkungan usia yang lain, misalnya Majlis Belia Sedunia memilih 10- 24 tahun (www.way.org.my).
Dari segi psikologi, peringkat usia belia dianggap sebagai fasa penerokaan sebelum mencapai tahap kematangan. Sebagai aset negara dan gelombang masa hadapan sesebuah negara, belia perlu diberi perhatian yang wajar. Andaian-andaian negatif terhadap belia mesti digantikan dengan kerja-kerja penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan program ke arah peningkatan nilai jati diri dan modal insan mereka.
Di United Kingdom, jemaah kabinet terbaharu mereka dianggotai oleh tokoh politik konservatif yang tidak jauh daripada usia belia. Bakal perdana menteri dan timbalannya baru mencecah usia 43 tahun. Lebih menarik, canselor perbendaharaan (menteri kewangan) pula bakal disandang oleh seorang belia 38 tahun!
Arah aliran yang sama sedang berkembang di seluruh dunia. Sebaik sahaja melepasi usia belia, banyak yang sudah berjaya muncul sebagai pemimpin utama negara. Barrack Obama (USA) dan Abishit Vejjajiva (Thai) juga 40-an.
Belia Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Maybank, Telekom, dan Tenaga Nasional kini diketuai oleh belia. Pelan transformasi kerajaan juga akan membuka ruang kepada belia yang berbakat untuk menyandang kedudukan penting dalam sektor awam tanpa perlu menunggu hingga hampir usia persaraan. Sekolah menengah tertentu juga mungkin diterajui oleh pengetua yang berusia belia.
Tema Hari Belia 2010 ialah "Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara", iaitu mirip tema hari pekerja, iaitu "Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi". Kreatif dan inovatif boleh dianggap pasangan kembar yang properubahan. Insan kreatif dan inovatif tidak akan terikat dan terkongkong dengan dogma, paradigma dan status quo.
Usia belia ialah fasa usia yang dilimpahi tenaga fizikal dan perluahan kreatif. Sama ada mereka berpeluang melakukannya atau tidak, banyak bergantung kepada perspektif masyarakat yang lebih dewasa terhadap mereka. Hanya dengan bimbingan dan kepercayaan, golongan belia dapat menyerlahkan potensi dan sumbangan kreatif mereka.
Sebelum pewartaan Akta Belia 2007, isu kepimpinan perubuhan belia kerap mengundang kontroversi. Ada pertubuhan belia yang diterajui oleh tokoh berpengaruh yang berusia melebihi 60 tahun. Alasannya, jiwa belia masih menebal dalam diri mereka.
Keinginan serta niat suci "belia emas" itu masih boleh dialu-alukan dengan cara meletakkan mereka dalam panel penasihat pertubuhan belia, tetapi tidak diberi kuasa eksekutif dalam proses membuat keputusan. Malaysia perlu mengembalikan era gemilang belia 1980-an yang digerakkan oleh pemuda pemudi sebenar. Jika program belia hanya dipenuhi golongan dewasa yang kebal dengan sindrom penafian bahawa mereka lebih layak bergelar bapa dan datuk kepada belia, maka golongan belia sebenar beralih kepada aktiviti rakan sebaya mereka di pusat membeli-belah, jalan raya dan pesta hiburan.
Malaysia boleh dikira beruntung kerana kepimpinan belia negara diberi penghormatan menerajui Himpunan Belia Dunia (World Assembly of Youth, WAY) yang dianggotai oleh 120 buah negara. Ibu pejabat organisasi belia dunia itu terletak di Ayer Keroh Melaka. Menteri Besar Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam telah memimpin WAY sejak tahun 1993. Penulis blog (PB) selaku exco Majlis Belia Kinta ketika itu hadir dalam majlis meraikan pelantikan beliau bertempat di Kelab Di-Raja Ipoh, berdekatan SMK St Michael (SMI).
Kesimpulannya, kepimpinan dan peranan belia mesti kembali ke landasan asal. Kelompok belia yang melencong dan terbabit dengan aktiviti yang tidak membawa faedah hendaklah dipujuk supaya mengisi program belia yang bersesuaian dengan kecenderungan dan minat masing-masing. Kejayaan menggembleng kreativiti kaum belia merupakan jaminan terhadap kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara dalam jangka masa panjang, Insya-Allah...

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA
Tuesday, May 11, 2010
DURIAN TERMAHAL (THE MOST EXPENSIVE FRUIT KING)
Dalam teori komunikasi ada konsep penghantar mesej dan penerima mesej. Secara amnya, kebanyakan mesej yang dihantar akan melalui proses dekod (decode). Penerima mesej mungkin hanya dapat menangkap antara 10 hingga 80% kandungan mesej yang dihantar. Selebihnya akan bertukar sebagai keliru, ralat, dan salah tafsir.
Hal itulah yang berlaku kepada seorang pengguna yang enggan identitinya dikenali. Dia melintasi kawasan pasar malam seawal pukul 4.30 petang ketika kebanyakan peniaga sedang bersiap-siap membuka gerai dan menyusun atur barang jualan. Dia tertarik dengan raja buah, iaitu durian yang dijual pada luar musimnya.
Harga luar musim tentulah timbang kilo! Sejajar dengan teori ekonomi, apabila permintaan melebihi penawaran, harga pasti melambung. Maka, dia hanya mencuba nasib.
Si penjual durian bercakap dengan nada tidak sekata. Tenggelam timbul. Mungkin memang gayanya atau disengajakan.
Cakap punya cakap, si pembeli menyangka durian yang dinamai "seludang emas" itu berharga RM10 sebiji, kononnya harga asal RM12. Maka, persetujuan dibuat dan penjual diminta membantu untuk membelah durian itu.
Setelah dibungkus, si pembeli menghulurkan not RM 10, namun si penjual masih tidak menjatuhkan tangannya tanda bayaran belum beres. Akhirnya si penjual menjelaskan bahawa sebenarnya RM10 sekilo. Berat durian itu melebihi 1.6 kilogram, maknanya RM16+.
Demi menjaga air muka dan tidak mahu mengundang keadaan kecoh, si pembeli menghulurkan RM5 lagi dan minta halal bakinya. Si penjual bersetuju dan mengucup wang kertas berkenaan. Katanya berkat sebab jualan pertama.
Si pembeli berlalu pergi. Setiba di rumah, durian terus dibuka dan dinikmati. Memang berbaloi. Alah membeli menang memakai (makan)...
ANDERSON KEKAL JUARA BAHAS, MGS PAMER KEHEBATAN (BM DEBATE: ANDERSON EDGE MGS BY VERY CLOSE MARGIN)
Ipoh, Selasa: 11 Mei 2010 / 26 Jamadil Awal 1431
Tuan rumah, SMK Anderson sekali lagi bergelar juara pertandingan bahas Bahasa Melayu, zon 2 Kinta Utara apabila berjaya melepasi tentangan hebat pasukan SMK Perempuan Methodist (MGS), Ipoh. Usul yang dibentangkan oleh Anderson selaku kerajaan ialah "Penggunaan Internet Pemangkin Insan Berminda Positif". Penentuan pemenang ialah berdasarkan keputusan majoriti juri (5-0, 4-1, atau 3-2).
Kedua-dua buah pasukan berjaya menampilkan hujah yang matang, mencukupi dan seimbang. Walaupun menyetujui definisi usul kerajaan, MGS nyata tidak terperangkap dengan amaran "YAB Perdana Menteri" supaya pembangkang tidak memainkan isu-isu keburukan internet. MGS sebaliknya berjaya meyakinkan khalayak bahawa internet telah menceroboh hak peribadi individu, berlakunya penipuan kewangan dan pembaziran.
Anderson membidas pendirian MGS yang didakwa terlalu menonjolkan isu terpencil seperti jenayah siber dan porno. Kerajaan, kata pendebat Anderson, menerusi segala instrumen undang-undang, tidak akan berdiam diri sahaja terhadap isu yang berbangkit. Kawalan dan pemantauan yang disediakan bakal menjadikan internet menjurus sebagai pemangkin minda positif, seterusnya memantapkan e-perkhidmatan dan e-dagang.
Kedua-dua pasukan juga dapat melakukan bidasan yang baik. Kelebihan yang memihak kepada Anderson ialah setiap bidasan berfokus terus terhadap hujah utama pembangkang. Sedikit kealpaan MGS kerana tidak menyebut dengan jelas isu yang dibidas menyebabkan mereka terjejas dari segi strategi.
Semua pembahas juga berjaya memohon dan menerima izin laluan secara maksimum. Soalan yang dikemukakan menyerlahkan kebijaksanaan mereka berfikir, selain menguji benteng pertahanan minda lawan dengan berkesan. Penerima izin laluan tidak panik dengan soalan yang berbentuk provokasi, sebaliknya berupaya menghadirkan jawapan yang munasabah.

MGS tidak pulang dengan tangan kosong. Goh Swee Leng yang berperanan selaku YB Ketua Pembangkang, telah diisytiharkan sebagai pembahas terbaik. Hadiah disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMK Anderson. Turut hadir memberi sokongan ialah pengetua MGS...
Monday, May 10, 2010
DRAMA DAN NOVEL PUNCA MAKSIAT REMAJA? (MORAL DECADENCE, A THREAT TO OUR YOUNG GENERATION)
Rantau Scandanavia (Denmark, Finland, Norway, Sweden) pernah didakwa sebagai masyarakat yang paling banyak peratusan anak luar nikah. Beberapa nama besar selebriti Hollywood dan bintang sukan juga hanya mengumumkan tarikh perkahwinan rasmi setelah mempunyai anak-anak yang menjangkau usia persekolahan. Begitulah jadinya apabila pegangan agama dan akhlak dianggap semata-mata isu peribadi.
Di Malaysia, pengaruh songsang hedonisme dan pergaulan bebas juga menular dengan pantas. Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 19 peratus kehamilan yang direkodkan di hospital dan klinik berdaftar (awam dan swasta) ialah remaja bawah umur yang hanyut dalam bujukan iblis itu. Lebih malang bahawa hampir dua per tiga daripada jumlah berkenaan membabitkan remaja Melayu Islam. Mungkin ada kalangan yang hendak menyedapkan hati dengan mengandaikan bahawa kes yang tidak dilaporkan bagi remaja bukan Islam jauh lebih tinggi.
Pendedahan Kementerian Kesihatan mungkin menyebabkan ada pihak yang marah-marah. Golongan berkenaan lebih cenderung supaya hanya pencapaian positif remaja ditonjolkan. Macam analogi gelas separuh penuh!
Sebenarnya angka 19 peratus boleh disifatkan sebagai amaran tahap oren, iaitu langkah pencegahan perlu disegerakan. Jangan tunggu barah sosial itu memamah setiap organ penting masyarakat sehingga Malaysia dipandang serong dan diketepikan suatu hari kelak. Imej yang punah teramat sukar untuk dipulihkan.
Rasa kagum terhadap golongan penggiat seni, pelakon, pelawak, penulis, sutradara dan usahawan filem kadang-kadang menyebabkan penglihatan kita terlindung bahawa sedikit sebanyak tahap kebejatan akhlak yang melanda remaja kita berpunca daripada buah tangan mereka. Karya mereka bercampur baur antara perkara kebaikan dengan perkara keburukan. Mudah cakap, naskhah yang dihasilkan tidak dipandu oleh ilmu yang autentik.
Seorang pelakon terkenal tanah air, merangkap pengarah dan pemilik rumah produksi perfileman pernah mendakwa tugasnya sesuci seorang pakar sakit puan lelaki. Demi tugas mendidik masyarakat kononnya, adegan persentuhan bukan mahram termasuk dalam kategori darurat, iaitu keperluan kerja. Maka, adegan keterlaluan yang dahulunya asing sudah menjadi babak biasa dalam drama televisyen.
Sepatutnya selebriti yang mengeluarkan pendapat itu dikenakan tindakan kerana telah menjejaskan integriti masyarakat. Dia bukan orang yang layak untuk menceroboh zon hukum-hakam yang sepatutnya diputuskan dalam persidangan mufti. Ironinya, dia diangkat menjadi hos sebuah program bual bicara tentang fenomena seni.
Begitu juga halnya dengan penulis novel, sama ada bertaraf sasterawan negara, sastera 'Islam', novel komsas pelajar sekolah menengah, mahupun novel bertaraf picisan. Andainya gambaran yang berlebihan tentang perlakuan tidak senonoh diselitkan di sana sini, maka samalah juga dengan mengajar pembaca melakukan perkara yang dibaca. Pergaulan bebas tanpa ikatan yang sah seolah-olah tidak mengapa.
Luahan pendapat seperti ini bukan bermaksud bahawa masyarakat kita perlu menjadi ekstrem, tidak bertolak ansur dan berimej "taliban Afghanistan". Hakikatnya masyarakat kita mendambakan para bijak pandai dan pemimpin masyarakat yang sentiasa memandang serius akan kerosakan yang sedang berlaku. Usah biarkan golongan "jahil" mendominasi pemikiran dan tingkah laku generasi muda kita...
Sunday, May 9, 2010
WAJAH BAHARU 6 RENDAH SMI (WELCOME MICHAELIAN'S LOWER SIX)
Ipoh, Isnin: 10 Mei 2010 / 25 Jamadil Awal 1431
Serentak di seluruh negara, dianggarkan sejumlah 50 ribu orang pelajar mendaftar untuk pengajian prauniversiti 6 Rendah. Mereka merupakan kohort ambilan kedua yang didedahkan dengan sistem pengajian lepas menengah yang dijenamakan semula itu. Mereka juga menjadi kumpulan terakhir yang bakal menduduki peperiksaan STPM secara berpusat sepenuhnya.
Sehingga pukul 11 pagi, bilangan pelajar yang mendaftar sebagai pelajar prauniversiti 6 Rendah di SMK St Michael, Ipoh (SMI) ialah 186 orang semuanya. Bilangan ini dijangka turun naik sehingga mencapai tahap stabil menjelang September. Urusan pertukaran, rayuan dan tawaran pengajian tinggi hanya akan reda pada tarikh berkenaan.
Seperti kelaziman, minggu suai kenal selama seminggu dilaksanakan bagi menyelesaikan segala urusan bersangkutan dengan maklumat pengajian, kombinasi mata pelajaran dan agihan kelas. SMI menawarkan lima kelas untuk jurusan sains, dan tiga lagi untuk jurusan kemanusiaan. Pengetua SMI, Encik Phoon Chong Chee telah memberi ucapan penuh bersemangat supaya pelajar baharu yang mendaftar bersedia memilih pengajian tingkatan enam sebagai laluan terbaik ke universiti terkemuka, dalam dan luar negara.
Pelajar yang ditemui masih belum menetapkan pendirian sama ada akan kekal di SMI, atau beralih angin jika mendapat tawaran lain. Mereka ingin mendapatkan gambaran awal tentang prospek lepasan STPM terlebih dahulu. Maknanya, tugas mempromosi keunikan pengajian prauniversiti tingkatan 6 di SMI terletak di tangan guru dan pelajar 6 Atas sedia ada.
Sebahagian pelajar lelaki yang baharu mendaftar terdiri daripada pelajar SMI sendiri, dan ada yang sudah berada di SMI selama 11 tahun (jika dikira pengajian sekolah rendah bersekali). Selebihnya datang daripada SMK Jalan Pasir Puteh, dan Sam Tet (kemanusiaan sahaja). Pelajar perempuan pula ialah bekas murid Main Convent dan Jalan Pasir Puteh.
Kantin SMI yang bertaraf 5 bintang (pengiktirafan Jabatan Pelajaran Negeri) kelihatan meriah dengan pelanggan baharu. Bilangan pelajar perempuan dijangka meningkat sekali ganda. Rezeki pengusaha kantin nampaknya lebih murah...

Subscribe to:
Posts (Atom)