Tuesday, May 11, 2010
DURIAN TERMAHAL (THE MOST EXPENSIVE FRUIT KING)
Dalam teori komunikasi ada konsep penghantar mesej dan penerima mesej. Secara amnya, kebanyakan mesej yang dihantar akan melalui proses dekod (decode). Penerima mesej mungkin hanya dapat menangkap antara 10 hingga 80% kandungan mesej yang dihantar. Selebihnya akan bertukar sebagai keliru, ralat, dan salah tafsir.
Hal itulah yang berlaku kepada seorang pengguna yang enggan identitinya dikenali. Dia melintasi kawasan pasar malam seawal pukul 4.30 petang ketika kebanyakan peniaga sedang bersiap-siap membuka gerai dan menyusun atur barang jualan. Dia tertarik dengan raja buah, iaitu durian yang dijual pada luar musimnya.
Harga luar musim tentulah timbang kilo! Sejajar dengan teori ekonomi, apabila permintaan melebihi penawaran, harga pasti melambung. Maka, dia hanya mencuba nasib.
Si penjual durian bercakap dengan nada tidak sekata. Tenggelam timbul. Mungkin memang gayanya atau disengajakan.
Cakap punya cakap, si pembeli menyangka durian yang dinamai "seludang emas" itu berharga RM10 sebiji, kononnya harga asal RM12. Maka, persetujuan dibuat dan penjual diminta membantu untuk membelah durian itu.
Setelah dibungkus, si pembeli menghulurkan not RM 10, namun si penjual masih tidak menjatuhkan tangannya tanda bayaran belum beres. Akhirnya si penjual menjelaskan bahawa sebenarnya RM10 sekilo. Berat durian itu melebihi 1.6 kilogram, maknanya RM16+.
Demi menjaga air muka dan tidak mahu mengundang keadaan kecoh, si pembeli menghulurkan RM5 lagi dan minta halal bakinya. Si penjual bersetuju dan mengucup wang kertas berkenaan. Katanya berkat sebab jualan pertama.
Si pembeli berlalu pergi. Setiba di rumah, durian terus dibuka dan dinikmati. Memang berbaloi. Alah membeli menang memakai (makan)...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment