Sambutan hari guru berlangsung dengan meriah di SMK St Michael, Ipoh (SMI). Acara bermula di tapak perhimpunan mingguan dengan bacaan perutusan Menteri Pelajaran, Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, dan ucapan pengetua. Program yang diselaraskan secara bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Murid, Kelab Staf, majlis pengawas dan majlis ketua kelas itu kemudian diserikan dengan beberapa persembahan pelajar.
Pelajar tingkatan enam rendah yang baru sahaja mendaftar minggu lalu turut membuat persembahan berbentuk gerakan formasi. Selain itu, hadirin disajikan dengan deklamasi sajak, silambam, wushu, dan banghra. Pengacara majlis, Mohd Safuan dari UA1 dilihat berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
Seperti biasa, guru melafazkan ikrar dengan diketuai oleh guru data, Encik Prakas Rao. Kemudian lagu "Guru Malaysia" dinyanyikan dengan penuh semangat. Guru SMI telah memperbaharui komitmen bagi memantapkan penyampaian misi kecemerlangan pendidikan di SMI yang menjengah perayaan seratus tahun pada 2012.
Antara acara yang mendapat perhatian ialah keputusan undian warga pelajar SMI terhadap beberapa kategori "anugerah" untuk guru. Cikgu Zulkefli Sulaiman, guru sejarah berpengalaman telah dipilih sebagai guru lelaki paling popular. Beliau mengatasi empat pencabar utama lain yang tersenarai pada peringkat akhir.
Guru wanita paling popular juga memihak kepada guru sejarah, Puan Hing Chong Hua. Maka, boleh disimpulkan bahawa guru sejarah telah mencatat sejarah. Mungkin ada rahsia tertentu yang perlu dipelajari daripada mereka.
Anugerah lain ialah guru paling bergaya (Tuan Haji Mohamad Sidik, Puan Azaliza), guru paling "sempoi" (En. Thederajan, Puan Shafinazaida) dan guru vokal terbaik (Encik Chong Weng Sung, Puan Agila). Encik Ibrahim bin Ahmad, antara guru pendidikan seni paling berpengalaman di Kinta, mendapat pencalonan paling banyak, cuma tidak lekat kedudukan teratas bagi mana-mana kategori. Kriteria anugerah dan proses undian dikendalikan oleh Kelab Antidadah.
Selepas berhenti rehat, sambutan hari guru disambung dengan acara sukaneka, bola sepak, bola jaring dan catur antarabangsa. Keputusannya: pasukan pelajar menghadiahkan kemenangan kepada pasukan guru (bola sepak 2-1; bola jaring 4-2). Hadiah disampaikan semasa majlis jamuan hari guru tajaan PIBG.
Satu pembaharuan dalam sambutan hari guru kali ini ialah penganugerahan terhadap panitia yang mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan awam. Hadiah sumbangan PIBG berupa sijil penghargaan dan wang tunai. Mudah-mudahan langkah ini akan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan panitia mata pelajaran di SMI...
5 comments:
Saya berasa bangga dan tahniah diucapkan kepada ayah angkatku...
Dan selamat hari guru kepada cikgu2 SMI...
terima kasih...
tahniah kepada ayah angkat telah disampaikan.
william di negara mana ketika ini?
William kini berada di Eastern Eupore dan minggu depan akan ke Turkey. Selepas itu akan balik be Ireland sambil melawat beberapa tempat di Europe.
Wow... jauh berjalan luas pemandangan,
selamat bergembira...
Post a Comment