SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, November 10, 2010

TRANSFORMASI PENDIDIKAN DI SEKOLAH (THINK TANK OF SCHOOL EDUCATIONAL POLICY)

Sesebuah negara yang ingin mencapai tahap kemajuan yang hebat mesti menitikberatkan keperluan pendidikan sebagai upaya menjana modal insan minda kelas pertama. Dengan terbukanya pintu maklumat seluas-luasnya sebagai rentetan revolusi teknologi jaringan mutakhir ini mengakibatkan perspektif tentang proses pembelajaran di bilik darjah turut mengalami perubahan. Kemahiran generik dan kemahiran aras tinggi mengambil alih proses mengingati seberapa banyak maklumat dalam buku teks.

Penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang dimulai dengan mesyuarat pertama semalam (9.11.10) bertujuan memberi nasihat kepada Menteri Pelajaran tentang hala tuju dan mutu pendidikan negara. Antara terma rujukan majlis ialah meneliti aspek pembangunan, pengurusan dan isu-isu pendidikan supaya dapat merumuskan saranan yang praktikal dari segi strategi dan kaedah penyelesaian yang selaras dengan program transformasi kerajaan. Pelantikan ahli MPPK seramai tujuh orang ahli akademik itu dibuat untuk tempoh dua tahun, dan boleh dilantik semula atas persetujuan menteri.

Tan Sri Dr Wan Zahid bin Mohd Nordin, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) diberi kepercayaan sebagai pengerusi, manakala 6 orang lagi ahli akademik sebagai ahli. Selain itu, ketua setiausaha kementerian pelajaran, Datuk Dr Rosli bin Mohamed dan KPPM, Datuk Abdul Ghafar bin Mahmud turut mengganggotai majlis atas sifat ex-officio. Secara keseluruhan, termasuk Dr Wan Zahid dan KPPM sekarang, 6 daripada 9 orang anggota MPPK pernah berkhidmat sebagai guru di sekolah, iaitu:

1   Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (Universiti Malaya, bekas guru di SMK Horley Methodist, Teluk Intan, bekas pelajar SMK St Michael, Ipoh)

2    Prof Datuk Dr Sidek Baba (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, bekas guru di SMK Jasin, Melaka)

3    Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, Universiti Antarabangsa Inti, mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki)

4    Datuk Dr Adi Badozzaman Tuah (mantan pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia)

Dua orang lagi ahli MPPK ialah:

1    Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian (Universiti Sains Malaysia)

2    Datin Freida Mohd Pilus (Sekolah Antarabangsa Cempaka)

Dengan dua per tiga ahli MPPK ialah tokoh yang kaya dengan pengalaman sebenar pendidikan di sekolah, sudah pasti input yang dirumuskan akan mengambil kira harapan, hasrat dan suara "akar umbi" di sekolah, iaitu guru, murid, ibu bapa dan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Datin Freida mewakili segmen pendidikan swasta, manakala Dr Siva ialah sarjana sosiologi yang meneropong pendidikan dari kaca mata penyelidikan kemasyarakatan. Kebimbangan bahawa dunia pendidikan sebagai tong gigo, garbage in garbage out tidak wujud sama sekali.

Setiap kali timbul isu dalam masyarakat, pendidikan di sekolah akan menjadi sasaran. Secara metafora, begitu banyak idea yang berbaris panjang untuk memasuki dunia pendidikan. Contohnya, saranan pendidikan keselamatan jalan raya, pendidikan pencegahan dadah, pendidikan seks dan macam-macam lagi.

Sama ada pendidikan perlu dijuruskan kepada orientasi vokasional, hands-on, menurut rentak industrialis dan lain-lain kini mempunyai forum penasihatan tertinggi sebelum sesuatu dasar baharu hendak diputuskan. Pengenalan sesuatu dasar secara mendadak seperti PPSMI mungkin tidak berlaku lagi. Masih terlalu awal untuk menilai implikasi penubuhan MPPK, namun sumbangan tokoh-tokoh yang menganggotai MPPK sangat dinanti-nantikan...


Sunday, November 7, 2010

ABDUL GHAFAR GANTI ALIMUDDIN SEBAGAI KPPM (THE NEW "BOSS" OF MALAYSIAN EDUCATION)

Kuala Lumpur, Isnin: 8.11.10 / 1 Zulhijjah 1431

Kementerian Pelajaran Malaysia kini mempunyai pasukan baru sepenuhnya: menteri baru, ketua setiausaha baru dan ketua pengarah baru. Sebelum ini, Tan Sri Dr Zulkarnain dan Tan Sri Alimuddin ialah pasukan yang bermula dengan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien, menteri pelajaran terdahulu. Sekarang, Tan Sri Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri memiliki pasukan baharu sepenuhnya.
Pelantikan Datuk Abdul Ghafar bin Mahmud, 56, pengarah Institut Aminuddin Baki sebagai ketua pengarah yang baharu mulai semalam telah melengkapkan pasukan baharu berkenaan. Abdul Ghafar ialah lulusan sarjana muda sastera dari Universiti Malaya dan sarjana pendidikan dari University of East Anglia, England. Beliau dilantik selaras dengan peruntukan 144(3) perlembagaan persekutuan dan telah mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sejarah perkhidmatan Datuk Abdul Ghafar:

1977, 1 Mei:  Lantikan pertama sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran

1989:  Atase, Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat

2007:  Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia

2008:  Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Datuk Abdul Ghafar menggantikan Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom, yang bersara wajib mulai tarikh yang sama semalam. Tan Sri Alimuddin ialah lulusan sarjana muda sastera (psikologi / kaunseling) UKM dan sarjana sains (psikologi kaunseling) UPM. Jawatan KPPM ialah gred utama Turus III, iaitu setakuk selepas Jusa A.

KPPM juga mengganggotai Lembaga Naik Pangkat perkhidmatan awam yang hanya dianggotai enam orang pegawai tertinggi awam termasuk Ketua Setiausaha Negara (Turus I), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Turus II), Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Ketua Polis Negara dan Ketua (panglima) Angkatan Tentera Malaysia. KPPM ialah jawatan tertinggi yang boleh disandang dalam perkhidmatan keguruan. Memandangkan pendidikan sekolah mendapat perhatian paling meluas, jawatan KPPM boleh dianggap sebagai "kerusi panas"...

KESEDARAN SIVIK DALAM MASYARAKAT KITA (CIVIC MINDED AT OUR AGE)

Antara ciri masyarakat maju ialah kepekaan tentang kebersihan dan peraturan. Tiada orang awam yang berani membuang sisa makanan atau sampah sewenang-wenangnya. Kesedaran itu telah dipupuk sejak usia mentah lagi.
Adakah keadaan yang sama berlaku di negara kita? Cuba lihat foto di atas dan nyatakan apa yang tidak ada. Bekas makanan dan minuman dan mungkin juga lampin pakai buang akan ditemui terapung-apung hingga reput di situ.
Keadaan itu baharu di suatu aliran air mini di sebuah taman rekreasi. Bagaimanakah pula keadaannya di di laut, sungai dan tasik? Kalau di kawasan daratan, bagaimanakah keadaan di belakang restoran, kiri kanan longkang dan dalam bangunan?

Bagaimana pula dengan menconteng dinding bangunan (grafiti) di sana sini? Berapa banyak kemudahan untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun rosak angkara digunakan oleh ibu bapa yang berat mereka mencapai hingga 100 kilogram? Berapa banyak pula muda mudi yang menjadikan tempat sunyi di kawasan awam bagi memenuhi kecenderungan maksiat mereka?

Senarai semak di bawah mungkin boleh melengkapkan kemusykilan kita:

Berapa helai halaman muka surat buku di perpustakaan / pusat sumber yang dikoyakkan?

Adakah anda pernah melihat orang yang memotong barisan ketika hendak membuat bayaran di kaunter?

Adakah ada pernah melihat pemandu yang selamba sahaja meletak kereta  di petak yang baharu dikosongkan walaupun ada kereta lain yang sudah lama menunggu?

Adakah anda pernah mendengar sekumpulan manusia yang berbual dengan suara yang nyaring di kedai makan?

Adakah anda pernah terpaksa menjadi perokok sekunder (menyedut asap rokok orang lain)?

bersambung...

APABILA GURU DICINTAI MURID (LOVE AFFAIRS IN SCHOOL)

Cikgu Nasir, lulusan maktab perguruan, hanya memiliki motosikal kapcai. Cikgu Nasir membalas cinta anak muridnya, Rosa (nama ringkas), tetapi menerima tentangan keluarga si gadis. Bapa si Rosa nampaknya berpandangan jauh apabila mengatakan tugas murid ialah belajar, manakala tugas guru ialah memupuk pembelajaran demi masa depan murid, bukannya saling menaruh perasaan.

Akhirnya Cikgu Nasir membawa diri dengan menitipkan seuntai sajak berjudul "Aku Bukan Andalusia" (andalusia = anak dara lanjut usia) untuk si jantung hatinya, Rosa. Cikgu Nasir kemudiannya bernikah dengan gadis pilihan keluarga, menyambung pengajian ke menara gading dan akhirnya dilantik sebagai pengetua. Rosa pula berjaya menggenggam ijazah undang-undang, serta bergelar peguam syarie.

Sebiji macam skrip Kuch Kuch Hota Hai, Cikgu Nasir menduda setelah kematian isteri, serta mempunyai seorang anak perawan yang cukup memahami keperluan ayahnya. Rosa pula masih gagal menemui cinta baharu. Ayah Rosa juga telah kembali ke rahmatullah.
Binaan di puncak Jabal Rahmah, dikatakan tempat pertemuan Adam dan Hawa
menjadi tumpuan. Tangga laluan utama berada di sebelah sana. Jabal Rahmah terletak di Arafah.

Secara kebetulan, ketika menunaikan umrah, Rosa bertemu semula dengan cinta lamanya apabila berselisih di anak tangga Jabal Rahmah, iaitu tempat pertemuan Adam dan Hawa. Doa Rosa di sana termakbul dan ikatan cinta berputik kembali walaupun usia masing-masing sudah lanjut. Sesudah kembali ke tanah air, ikatan sah dimeterai dengan segera, tanpa sebarang aral.

Kisah cinta antara guru dengan murid di atas digarap dalam naskhah Erma Fatima menerusi slot cerekarama TV3, Aku Bukan Andalusia, malam semalam (6.11.10). Watak Cikgu Nasir dibawa dengan cukup berkesan oleh Rashidi Ishak (ketika muda) dan oleh Dato' Rahim Razali (ketika berusia). Sebagai wahana cerminan sosial, penceritaan dalam drama sedikit sebanyak pasti pernah berlaku dalam masyarakat.

Bukankah angkasawan negara, Dato' Dr Sheikh Muzaffar bertemu jodoh dengan pelajar perubatan beliau di UKM, iaitu Dr Harlina yang kini merancang untuk menjadi pakar bius? Dr Sheikh mahukan 10 orang anak kalau boleh. Di peringkat universiti, pensyarah bertemu jodoh dengan pelajar tidak menjadi isu, justeru mahasiswi memang telah mencapai usia perkahwinan dan telah cukup matang untuk membuat keputusan.

Di sekolah, kes percintaan guru dengan murid boleh disifatkan sebagai terpencil, mungkin satu dalam 10,000, itu pun bukanlah secara jelas hingga menjadi buah mulut dan gosip. Guru terikat dengan etika dan ikrar keguruan supaya melaksanakan tugas dengan ikhlas, jujur dan sabar tanpa mengharapkan balasan yang di luar syarat perjawatan. Dalam mengendalikan aktiviti bilik darjah, guru mesti mengaplikasikan prinsip aksesibiliti, ekuiti dan pendidikan bermutu untuk semua.

Cinta mungkin tumbuh secara tiba-tiba apabila panahannya menepati sasaran, bak fantasi cupid & culprit. Jika akhirnya jodoh termeterai setelah si murid tamat persekolahan, orang hanya akan mengangkat kening tanda kaget. Namun, jika hubungan berlaku di sekolah, fitnah akan tersebar...

Saturday, November 6, 2010

RAUHI, MUSTAFA SAMA TARIKH LAHIR (HAPPY BELATED BIRTHDAY MR DIRECTOR)

Ipoh, Sabtu: 6.11.10 / 29 Zulkaedah 1431

Dua orang sahabat karib, Encik Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dan Encik Mustafa Shaari, Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh berkongsi tarikh lahir yang sama. Walaupun tarikh sebenar telah berlalu, kesempatan meraikan kedua-dua mereka dalam majlis yang lebih ramai terlaksana di Restoran Dulang, Hotel Excelsior dekat sini petang tadi. Tetamu lain ialah sahabat-sahabat Encik Vellupilay, Penolong Kanan HEM SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang bakal meninggalkan SMI dalam tempoh terdekat.
dari kiri: (tidak diperoleh nama), Encik Vellu dan isteri, 
Encik Mustaffa, Encik Rauhi, Tuan Haji Tauhid Ahmad (penolong kanan SMI)

Kebetulan bahawa penulis blog (PB) mengenali Encik Rauhi dan Encik Mustafa secara dekat kerana pernah bertugas dengan mereka. Encik Rauhi dahulunya ialah pegawai kanan pentaksiran bahasa, manakala Encik Mustafa  pernah bertugas sebagai penolong kanan di sekolah teknik, tempat PB bertugas sehingga pertengahan 2003. Semasa Encik Rauhi menjadi pengetua di SMK Seri Ampang, Ipoh, Encik Mustaffa ialah timbalannya sebelum mengambil alih jawatan berkenaan.
Encik Rauhi ialah pengarah yang sangat memahami persekitaran sekolah, justeru lantikan pertama sebagai  guru penolong hinggalah yang terakhir sebagai pengetua cemerlang Jusa C sebelum diserahkan tanggungjawab sebagai pengarah JPN Perak. Beliau berpendirian bahawa pengetua mestilah sentiasa rapat dengan guru penolong, kerana hakikatnya seseorang pengetua "menumpang" kecemerlangan guru-guru. Encik Rauhi sendiri tidak pernah melupakan sahabat-sahabat lama beliau yang terdiri daripada guru biasa walaupun beliau boleh memilih untuk berkawan dengan pegawai-pegawai tinggi sahaja.
Encik Vellu bersama-sama Haji Sidik (guru kanan bahasa SMI)

Sementara itu, Encik Vellupillai yang dinaikkan pangkat sebagai pengetua di SMK Sungai Pari mulai 1 November lalu merakamkan penghargaan kepada semua rakan yang menyokong kerjaya beliau selama ini. Sebelum SMI, Encik Vellu pernah menabur bakti di SMK Seri Ampang dan SMK Gunung Rapat. Beliau ialah seorang pakar matematik prauniversiti, di samping bertanggungjawab memperkenalkan sistem data dalam talian tempatan secara bersepadu (integrated local area network, LAN) di setiap sekolah yang berkenaan...

Friday, November 5, 2010

ULAR DI MUZIUM (THE SNAKE SHOW)

Ipoh, Sabtu: 6.11.10 / 29 Zulkaedah 1431
Walaupun pameran ular telah lama berlangsung dan lokasi muzium hanya berjiran dengan SMK St Michael, Ipoh (SMI), hanya pada hari kedua terakhir penulis blog (PB) seisi keluarga berkesempatan mengunjunginya.

Thursday, November 4, 2010

PROJEK MEGA GENERASI AL-QUR’AN (GENERATIONS THAT WE DREAM)

Percubaan kuasa Barat mengekalkan hegemoni politik, ekonomi, sosial, teknologi dan acuan intelektual (PESTA) di persada dunia akan berterusan. Mereka tidak akan pernah berhenti menjadikan masyarakat dunia ketiga, khususnya blok timur sebagai mangsa. Segala cara menerusi 3Fs (food, fashion, fun) dan 3Ss (sex, sport, story) dihembuskan sebagai racun berbisa yang tidak kelihatan agar generasi timur tetap leka mengejar impian yang mereka pakejkan.

Dalam bidang ekonomi sebagai contoh, Amerika Syarikat sering mengharu-birukan ekonomi negara lain dengan kuasa dollar dan stok penimbalnya. Negara Uncle Sam itu membeli sebanyak mungkin komoditi strategik seperti bijih timah, getah dan petrol untuk disimpan, kemudian dilepaskan bagi menjatuhkan harga komoditi berkenaan supaya negara-negara pengeluar dapat dipermain-mainkan dan akhirnya tunduk kepada telunjuk pemimpin-pemimpin koboi yang menghuni rumah putih di Washington DC. Industri bijih timah dan getah asli negara kita masih belum bangkit daripada manipulasi Amerika itu.


Bukan menjadi rahsia bahawa blok Barat yang dikepalai Amerika Syarikat menguasai Pertubuhan Bangsa Bersatu, khususnya majlis keselamatan yang hanya dijadikan alat oleh pemegang kuasa veto (Amerika Syarikat, Britain, China, Peranchis dan Russia) untuk membatalkan apa-apa jua keputusan perhimpunan agung (Unga). Hanya China dan Russia (sebahagian wilayah Russia terletak dalam benua Asia) mungkin bersimpati terhadap nasib masyarakat dunia ketiga. Tiga negara lain boleh disifatkan sebagai sekutu yang sering sahaja bersekongkol bagi membuli negara dunia ketiga, sambil membela negara haram Yahudi berhabis-habisan.


Kita tidak bermaksud untuk beremosi sebagai menutup kelemahan-kelemahan yang melingkari persekitaran kita. Bahkan kita bukan hendak bergembira untuk membayangkan keruntuhan blok ekonomi Barat yang berpotensi menjejaskan ekonomi dunia secara keseluruhan. Sebaliknya, masyarakat timur harus membina kekuatan sendiri supaya pergantungan kepada blok Barat tidak menjadi senjata ampuh buat mereka mengatur agenda yang lebih licik dan tersembunyi.


Demikian antara intisari khutbah Jumaat di sebuah masjid di Ipoh sebentar tadi. Tema pertembungan antara tamadun juga pernah dibahaskan secara ilmiah oleh Profesor Dr John L Episito, seorang sarjana peradaban dari Amerika Syarikat lewat karya Charles P Hutington, The Clash of Civilisations. Barat cuba meredakan kecurigaan masyarakat timur menerusi forum Asia - Eropah (Asian Europe Meetings, Asem) beberapa tahun dahulu.

Barat juga dilanda penyakit Islamophobia, iaitu sentimen anti-Islam yang sengaja disemarakkan oleh kumpulan tertentu. Kebencian dimanifestasikan menerusi tindakan membakar kitab suci al-Qur'an secara terbuka di Amerika Syarikat dan Australia. Negara-negara Eropah yang cemas dengan bilangan penduduk Islam yang makin bertambah di negara masing-masing mengenakan pelbagai peraturan dan larangan, misalnya dari segi pakaian menutup aurat.

Masyarakat Barat mungkin tidak menyedari bahawa sebahagian amalan kecemerlangan mereka seperti disiplin, inovasi dan kebersihan ialah inti pati ajaran Islam. Maknanya, mereka memusuhi perkara yang tidak jelas sahaja. Kebetulan, kegemilangan dunia Islam yang pudar sejak keruntuhan empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1924 belum dapat dipulihkan sepenuhnya.

Keunggulan pemerintahan Islam di bumi Eropah seperti Andalusia (Sepanyol), Bulgaria, Romania, Russia dan lain-lain tidak mungkin dapat dipadamkan daripada tinta sejarah. Hanya kemerosotan akhlak masyarakat Islam menyumbang kepada tumbangnya kelangsungan siasah umat. Proses pemulihan tentunya memakan masa.

Generasi al-Qur'an yang unik (al-jil Qur'anniyyun farid) dan generasi ketuhanan yang komited (al-jil rabbaniyyul multazim) ialah istilah yang dipopularkan oleh gerakan dakwah di Mesir. Maksudnya sama, iaitu generasi yang mendambakan kecemerlangan dunia dan akhirat, berbudi pekerti luhur dan berpedomankan risalah nubuwwah. Mereka bukanlah golongan tergesa-gesa (isti'jal) yang mengebom tempat tumpuan awam, atau membuat pengisytiharan tanpa persediaan...

Wednesday, November 3, 2010

AKTIVITI REKREASI DI PADANG POLO IPOH (THE FAMOUS JOGGING TRACK)

Kesihatan ialah mahkota yang hanya dapat dilihat oleh si sakit. Otak yang cerdas datang daripada badan yang sihat. Individu yang harmonis dan seimbang sentiasa menjaga keperluan jasmani, emosi, rohani dan inteleks.
Badan yang sihat bukan sahaja disumbangkan oleh pengambilan gizi makanan yang berkhasiat dan seimbang, bahkan menerusi aktiviti yang mengeluarkan peluh. Jika di desa, pekerjaan kampung seperti bersawah padi dan kerja kampung yang lain sentiasa mengerah keringat dan bermandi peluh. Bagi warga bandar yang kebanyakannya bekerja dalam persekitaran berhawa dingin dan redup (pen pusher), aktiviti mengeluarkan peluh dilakukan di taman-taman rekreasi awam atau kawasan perumahan.
Di Ipoh, dua buah taman rekreasi yang paling banyak dikunjungi ialah Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai Padang Polo, dan Taman DR Seenivasagam. Selain kawasan yang luas, kedua-dua taman berkenaan menyediakan kemudahan-kemudahan yang cukup untuk kegunaan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Maka, sebarang aktiviti keluarga atau organisasi boleh dianjurkan.
Walaupan ada kajian mendapati bahawa aktiviti joging di permukaan keras boleh memudaratkan postur tulang kaki sepertimana trek yang disediakan, bilangan yang berbuat demikian tidak pula berkurangan. Bahkan, sebahagian mereka ialah doktor pakar yang pasti mengetahui hal berkenaan. Mungkin satu lagi kajian yang lebih menyeluruh perlu dilakukan.
Konsep padang polo di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh ini diilhamkan daripada model taman rekreasi di Amerika Syarikat yang berkonsepkan kekeluargaan. Seisi keluarga boleh berkunjung untuk melakukan aktiviti mengeluarkan peluh berdasarkan kemampuan dan minat masing-masing. Tanggungjawab dari segi keselamatan terletak kepada ketua keluarga kerana peralatan yang disediakan mungkin mengundang bahaya jika tersalah langkah.
Keunikan padang polo Ipoh ialah kehijauan landskapnya. Pohon-pohon nan menghijau membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida pada waktu siang hari. Maka, tepat sekalilah warga Ipoh membanjiri padang polo saban pagi dan petang untuk melakukan aktiviti mengeluarkan peluh.
Satu lagi daya tarikan padang polo ialah kolam buatan yang disiapkan dua tiga tahun lalu. Setelah lelah dibasahi peluh, pengunjung boleh duduk-duduk di tepi kolam bagi menyejukkan minda. Air berfungsi sebagai terapi anugerah alam ciptaan Ilahi.
Terdapat juga kumpulan pengunjung yang melakukan aktiviti senamrobik dan taichi secara terbuka. Di tengah-tengah padang terdapat kumpulan anak muda bermain bola sepak, badminton, basikal bukit dan lain-lain. Ada juga pengunjung yang sekadar berehat-rehat sambil memerhatikan gelagat pengunjung lain.
Secara peribadi, satu lagi keistimewaan padang polo ialah lokasinya terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, iaitu tempat bertugas penulis blog sehingga pertengahan tahun 2003. Apabila terdapat aktiviti rasmi yang membabitkan agensi awam, biasanya murid sekolah teknik akan dijemput sama bagi meramaikan majlis. Pasukan kadet bomba juga sesekali mengadakan aktiviti kawad kaki di sana...

ULANG KAJI NOVEL KOMSAS DI MA'AHAD IMAM SHAFIE (FINAL COUNT DOWN FOR SPM REVISION)

Ipoh, Rabu: 3.11.10 / 26 Zulkaedah 1431

Soalan cepu mas yang sering ditanya oleh murid:

1    Apakah agaknya soalan ramalan tahun in?

2    Berapa panjang harus saya tulis?

3    Bagaimana hendak meraih markah penuh?

Bagi guru, peranan mereka yang sebenar ialah memupuk pembelajaran selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan, serta selaras dengan sukatan pelajaran dan huraian sukatan yang dimuktamadkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemahiran asas bahasa ialah mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Item-item yang digubal sebagai soalan peperiksaan awam semuanya dijuruskan untuk mengukur kemahiran yang disenaraikan.

Maka, bukan soalan ramalan itu yang penting. Kalaupun calon dapat menebak soalan dengan tepat, mereka tidak semestinya dapat mempersembahkan jawapan yang terbaik selagi tidak selaras dengan kemahiran yang hendak diuji. Perancangan jawapan yang dipandu oleh kaedah penulisan jawapan yang betul sahajalah jaminan kejayaan memperoleh skor markah yang diharapkan.
Pertanyaan yang serupa ditimbulkan oleh sejumlah 21 orang murid Ma'ahad al-Imam asy-Syafiee, dekat Jelapang. Sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) itu berjiran dengan Sekolah Yuk Choy Suwa dan SMK Jelapang Jaya, serta tiga minit berkenderaan ke SMK Dato' Ahmad Said, Manjoi. Status SABK bermakna sekolah berkenaan layak menerima guru lantikan kementerian pelajaran, serta bantuan modal yang lain.
Panjang pendek jawapan bergantung kepada kehendak tugasan. Kalau karangan respons terbuka menghendaki penulisan karangan melebihi 350 patah perkataan, patuhilah. Had jumlah perkataan dalam soalan rumusan (120 patah perkataan) juga mesti dipatuhi.

Bahagian soalan lain tidak menetapkan jumlah perkataan. Cuba perhatikan bahawa markah bagi soalan-soalan berkenaan juga tidak sebanyak markah karangan respons terbuka (100 markah) dan rumusan (30 markah). Paling tinggi ialah soalan kajian novel komsas yang memperuntukkan 7 + 8 markah, manakala soalan pemahaman antara 2 dengan 4 markah dan soalan tatabahasa antara 1 dengan 6 markah.
 Bagi soalan-soalan yang tidak menetapkan had atau jumlah perkataan, maka pertimbangan paling utama ialah ketepatan isi jawapan (dan huraiannya, jika dikehendaki) berdasarkan tugasan dalam ayat soalan. Dalam kata lain, proses pertama perancangan jawapan ialah mengenal pasti kehendak tugasan soalan. Carilah kata kunci, atau kata tugas yang menjadi pemberat dalam ayat soalan.

Monday, November 1, 2010

KUNJUNGAN PENOLONG KANAN TINGKATAN 6 ANDERSON, SAM TET (SHARING PREUNIVERSITY LEADERSHIP EXPERIENCES)

Ipoh, 2.11.10

SMK St Michael, Ipoh (SMI) menerima tetamu pengurusan tingkatan enam dari dua buah sekolah jiran, iaitu SMK Anderson dan SMK Sam Tet. Kunjungan tidak rasmi berkenaan dibuat secara berasingan. Delegasi Anderson tiba pada pukul 10 pagi, manakala Sam Tet sejam kemudian.
Dari kiri: Cikgu Ibrahim, Cikgu Shahruzzaman (SMI); Cikgu Shazali, Cikgu Azmi (Anderson)

Encik Sazali Sani, Penolong Kanan Tingkatan 6 Anderson turut disertai oleh Encik Azmi Zuki, Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan. Mereka terlebih dahulu disambut oleh sahabat lama di Anderson, iaitu Cikgu Shamsuddin yang kini guru cemerlang Perakaunan di SMI. Tetamu diraikan di kantin lima bintang SMI.
Puan Tan, Encik Sazali, Encik Azmi, Puan Fairoz

Encik Sazali dan Encik Azmi seterusnya membuat kunjungan hormat ke pejabat prauniversiti SMI di aras 4. Mereka meluangkan masa selama kira-kira 15 minit untuk berkongsi pengalaman pengurusan prauniversiti dengan penolong kanan tingkatan 6 SMI, Puan Tan Cheng Choo bersama-sama Puan Fairoz, ketua guru kokurikulum tingkatan 6 SMI.
Encik Sazali ialah atlet boling padang negara yang pernah bertanding dalam beberapa temasya sukan olimpik termasuk di Vancouver, Kanada dan Manchester, United Kingdom. Beliau juga menyertai kejohanan jelajah benua di Australia dan pelbagai negara lain. Beliau masih aktif dalam sukan berkenaan, tetapi lebih memberi tumpuan kepada kejurulatihan dan rundingan.
Encik Wong Mook Chong (koku permainan), Puan Ng Sook Chin, Puan Ellis Benial (koku uniform)
dan Puan Etron D.A. Alexander (koku kelab / persatuan)

Sementara itu, delegasi Sam Tet seramai empat orang diketuai oleh Puan Ng Sook Chin, penolong tingkatan 6 dengan disertai tiga orang guru kokurikulum beliau. Persamaan Sam Tet dengan SMI ialah bilangan pelajar prauniversiti yang menghampiri 400 orang, dan pengurusan utama yang diterajui wanita. Kerjasama berbentuk menang-menang ini bakal menguntungkan kedua-dua sekolah, walaupun dalam ketika-ketika tertentu perlu bersaing.
Seorang lagi penolong kanan tingkatan 6 yang pernah mengunjungi pejabat prauniversiti SMI ialah Encik Khusairi dari Sekolah Raja Perempuan, Ipoh. Sebuah lagi sekolah utama tingkatan 6 di Ipoh, iaitu SMK Anglo Chinese (ACS) masih belum menerima lantikan penolong kanan tingkatan 6. Daya usaha perkongsian pintar seperti ini harus menjadi amalan jika Ipoh hendak membantu Perak mencapai status nombor satu dalam STPM...