SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

AKTIVITI REKREASI DI PADANG POLO IPOH (THE FAMOUS JOGGING TRACK)

Kesihatan ialah mahkota yang hanya dapat dilihat oleh si sakit. Otak yang cerdas datang daripada badan yang sihat. Individu yang harmonis dan seimbang sentiasa menjaga keperluan jasmani, emosi, rohani dan inteleks.
Badan yang sihat bukan sahaja disumbangkan oleh pengambilan gizi makanan yang berkhasiat dan seimbang, bahkan menerusi aktiviti yang mengeluarkan peluh. Jika di desa, pekerjaan kampung seperti bersawah padi dan kerja kampung yang lain sentiasa mengerah keringat dan bermandi peluh. Bagi warga bandar yang kebanyakannya bekerja dalam persekitaran berhawa dingin dan redup (pen pusher), aktiviti mengeluarkan peluh dilakukan di taman-taman rekreasi awam atau kawasan perumahan.
Di Ipoh, dua buah taman rekreasi yang paling banyak dikunjungi ialah Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai Padang Polo, dan Taman DR Seenivasagam. Selain kawasan yang luas, kedua-dua taman berkenaan menyediakan kemudahan-kemudahan yang cukup untuk kegunaan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Maka, sebarang aktiviti keluarga atau organisasi boleh dianjurkan.
Walaupan ada kajian mendapati bahawa aktiviti joging di permukaan keras boleh memudaratkan postur tulang kaki sepertimana trek yang disediakan, bilangan yang berbuat demikian tidak pula berkurangan. Bahkan, sebahagian mereka ialah doktor pakar yang pasti mengetahui hal berkenaan. Mungkin satu lagi kajian yang lebih menyeluruh perlu dilakukan.
Konsep padang polo di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh ini diilhamkan daripada model taman rekreasi di Amerika Syarikat yang berkonsepkan kekeluargaan. Seisi keluarga boleh berkunjung untuk melakukan aktiviti mengeluarkan peluh berdasarkan kemampuan dan minat masing-masing. Tanggungjawab dari segi keselamatan terletak kepada ketua keluarga kerana peralatan yang disediakan mungkin mengundang bahaya jika tersalah langkah.
Keunikan padang polo Ipoh ialah kehijauan landskapnya. Pohon-pohon nan menghijau membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida pada waktu siang hari. Maka, tepat sekalilah warga Ipoh membanjiri padang polo saban pagi dan petang untuk melakukan aktiviti mengeluarkan peluh.
Satu lagi daya tarikan padang polo ialah kolam buatan yang disiapkan dua tiga tahun lalu. Setelah lelah dibasahi peluh, pengunjung boleh duduk-duduk di tepi kolam bagi menyejukkan minda. Air berfungsi sebagai terapi anugerah alam ciptaan Ilahi.
Terdapat juga kumpulan pengunjung yang melakukan aktiviti senamrobik dan taichi secara terbuka. Di tengah-tengah padang terdapat kumpulan anak muda bermain bola sepak, badminton, basikal bukit dan lain-lain. Ada juga pengunjung yang sekadar berehat-rehat sambil memerhatikan gelagat pengunjung lain.
Secara peribadi, satu lagi keistimewaan padang polo ialah lokasinya terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, iaitu tempat bertugas penulis blog sehingga pertengahan tahun 2003. Apabila terdapat aktiviti rasmi yang membabitkan agensi awam, biasanya murid sekolah teknik akan dijemput sama bagi meramaikan majlis. Pasukan kadet bomba juga sesekali mengadakan aktiviti kawad kaki di sana...

No comments: