SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, May 8, 2012

KERJAYA UNDANG-UNDANG MASIH LUAS (THE COURT AND SOCIETY)

Antara bidang pengajian yang menjadi idaman pelajar jurusan sastera ikhtisas (sains kemanusiaan dan kemasyarakatan) ialah undang-undang. Tempat yang terhad di fakulti undang-undang universiti awam tempatan menjadi rebutan. Pengajian undang-undang masuk dalam kategori kritikal, umpama pengajian perubatan untuk pelajar sains.

Bilangan hakim di mahkamah masih belum mencukupi, manakala bilangan peguam yang berdaftar hanya lebih kurang 12,000 orang. Permintaan terhadap perkhidmatan perundangan juga menjangkau sektor korporat sebagai penasihat undang-undang syarikat. Sebahagian lulusan undang-undang juga melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah untuk bergelar ahli akademik.

Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya hanya menawarkan antara 80 hingga 100 tempat kepada lulusan STPM dan matrikulasi. Hanya pelajar yang mencatat pencapaian terbaik di peringkat prauniversiti, di samping penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang baik di peringkat SPM dan Muet. Pembelajaran bahasa Arab juga menjadi pilihan, justeru kefahaman tentang undang-undang syariah harus ada buat pengamal undang-undang di Malaysia.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menghendaki pelajar undang-undang menyambung pengajian dalam tempoh tambahan setahun untuk turut bergelar sarjana muda undang-undang syariah. Universiti Teknologi Mara pula menawarkan Diploma Pascasiswazah Amalan Undang-undang Syariah. Universiti awam lain yang menawarkan kursus undang-undang ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

Di samping kuliah asas teori dan amalan undang-undang, pelajar bakal menjalani aktiviti perbicaraan simulasi, iaitu moot court. Pelajar undang-undang harus memiliki kebolehan untuk persediaan mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil, serta menguruskan segala dokumen yang berstatus undang-undang. Proses mahkamah untuk sebutan kes, pendakwaan, pembelaan dan hukuman juga perlu difahami secara tuntas.

Hakim dan peguam juga tertakluk kepada etika yang luhur supaya keadilan juga yang akhirnya bersuara dan menang. Tiada ruang untuk keraguan yang munasabah supaya tidak berlaku hukuman dijatuhkan kepada orang yang tidak bersalah. Tindakan membebaskan orang yang bersalah ialah juga sejenis kesilapan, tetapi masih tidak seberat menghukum orang yang tidak bersalah.

Pengamal undang-undang harus sentiasa mengemas kini pengetahuan ikhtisas masing-masing memandangkan saksi dan barang bukti mungkin hanya dapat dijelaskan melalu proses saintifik dan teknologi yang canggih. Pembacaan jurnal berkala undang-undang dan persidangan undang-undang ialah antara aktiviti wajib pengamal undang-undang. Konsep pembelajaran sepanjang hayat ialah hakikat yang menjadi tanggungjawab penting.

Tindakan pelbagai pihak penguat kuasa undang-undang termasuk polis, kastam, imigresen dan sebagainya pada akhirnya akan dirujuk kepada proses undang-undang. Sebarang pertikaian politik, ekonomi dan sosial juga memerlukan pentafsiran undang-undang. Maka, sangat jelas bahawa dalam sesebuah masyarakat dan negara yang maju, perkhidmatan undang-undang menjadi sebahagian keperluan hidup yang tidak dapat dielakkan...

Monday, May 7, 2012

PENCIPTAAN WANG, CIPTAAN KREDIT (DERIVATIVE OF DEPOSIT)

Bank perdagangan akan menggunakan deposit akaun semasa sebagai pinjaman kepada pemegang deposit semasa yang lain setelah mematuhi nisbah rezab wajib yang ditetapkan oleh bank pusat. Nisbah rezab yang biasa ialah 20 peratus daripada deposit. Lebihan rezab sebanyak 80 peratus lagi akan dijadikan pinjaman.

Nisbah rezab bank perdagangan ialah suatu bentuk kawalan dasar kewangan untuk mempengaruhi bekalan wang (M) dan kadar bunga (r). Dalam keadaan inflasi, nisbah rezab boleh dinaikkan supaya lebihan rezab akan berkurangan, lalu kebolehan bank perdagangan memberi kredit akan merosot. Sebaliknya, dalam keadaan ekonomi meleset (deflasi), nisbah rezab boleh diturunkan supaya lebihan rezab meningkat, lalu kebolehan bank perdagangan memberi pinjaman akan meningkat.

Proses ciptaan wang, kredit

Katakan A memasukkan wang berjumlah RM100 ke dalam akaun semasa di Bank Pertama. Sebagai memenuhi syarat nisbah rezab 20 peratus, Bank Pertama memiliki lebihan rezab sebanyak RM80 untuk pinjaman. Katakan Bank Pertama memberi pinjaman RM80 itu kepada B menerusi sekeping cek. B perlu mendeposit cek berkenaan dalam akaun semasa di Bank Kedua. Seterusnya, Bank Kedua akan memiliki lebihan rezab sebanyak RM64 sebagai pinjaman, manakala RM160 = 20 peratus sebagai rezab. 

MEDIA MESTI JUNJUNG PRINSIP ADIL DAN ILMU (ETHICS AND INTELECTUAL DOMAIN IN JOURNALISM)

Belakangan ini media utama  atau arus perdana sudah kian sukar untuk menjadi contoh teladan dalam proses pembinaan jati diri, modal insan dan akhlak yang mulia. Prinsip asas kewartawanan yang berpegang kepada kebenaran dalam pemberitaan kelihatan tidak begitu dihormati. Sumber yang tidak berwibawa seolah-olah diterima dengan begitu mudah hingga timbul begitu banyak perkara yang bersifat spekulasi.

Walaupun umum mengetahui bahawa media memiliki kecenderungan tertentu, tetapi alangkah baiknya jika percubaan mempengaruhi khalayak ke arah kebaikan dilakukan dengan penuh adab, bijak dan rasa hormat terhadap intelektualisme mereka. Perbezaan pendapat tidak wajar menjadi punca perbalahan dan perpecahan yang parah. Khalayak berhak mendapat maklumat yang menyumbang ke arah kehidupan yang harmonis dan sejahtera.

Media tidak bersifat kebal daripada tindakan undang-undang. Apabila berlaku proses saman-menyaman, media menjadi sibuk mempertahankan diri. Walhal, andainya media tidak memberi tempat kepada sumber yang diragui, nescaya bahang adu domba dan gosip murahan tentu gagal berkembang. 

Media tidak harus sama sekali membenarkan fitnah dan kerosakan tersebar dalam kalangan khalayak dan masyarakat. Berita yang bersifat "perbicaraan dalam media" hanya menjejaskan kepercayaan awam terhadap media. Beban menghadirkan bukti sudah terletak di tangan media sebagai pihak yang menyebarkan berita sensasi, bukan kepada sasaran yang mengalami kerugian teruk dari segi nama baik dan maruah diri.

Peranan media sebagai jentera propaganda tidak dapat dielakkan jika tujuannya untuk kebaikan dan kesejahteraan. Media menjadi medan dan prasarana dakwah yang paling berkesan. Kepakaran wartawan yang terbaik dimanfaatkan supaya penyampaian maklumat tidak dianggap bersifat memaksa.

Media masih boleh kembali ke pangkal jalan dengan menjunjung tinggi prinsip keadilan dan keilmuan. Lembaran hadapan akhbar sebagai contoh harus melakukan anjakan paradigma dengan mempromosi pemikiran yang berpegang kepada ilmu dan iman. Jika media terus bersikap syok sendiri, lambat-laun mereka akan kehilangan khalayak secara besar-besaran...

Sunday, May 6, 2012

SEMAKAN PRAUNIVERSITI DAN PROGRAM ASASI (ADMISSION TO HIGHER LEARNING INSTITUTION)

Esok, 8 Mei 2012 bersamaan 16 Jamadil Akhir 1433 pelajar prauniversiti tingkatan 6 akan mula melapor diri di sekolah yang ditawarkan. Puluhan ribu pelajar berkenaan bakal merupakan kohort pertama yang akan menjalani pengajian secara modular yang dilaksanakan dalam tiga semester. Mereka akan menduduki peperiksaan STPM semester pertama bersekali dengan pelajar tingkatan 6 Atas sedia ada yang merupakan kohort terakhir sistem lama, iaitu terminal.

Pelajar yang menerima tawaran program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia tidak disenaraikan sebagai pelajar praubniversiti tingkatan 6, melainkan kes-kes rayuan. Hari ini (7/5), keputusan permohonan kemasukan ke Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya akan dipaparkan secara atas talian melalui URL www.um.my//kemasukan atau http://upu.mohe.gov.my selain menerusi mesej pesanan ringkas (SMS) atau talian panas (hotline). Pelajar yang terpilih pasti tidak akan mendaftar untuk program pengajian tingkatan 6.

Selain itu, sebahagian lulusan SPM sudah pun mendaftar sebagai pelajar IPTS, iaitu di kolej dan universiti swasta. Mereka mendahului pelajar universiti awam selama satu semester memandangkan kemasukan ke IPTA hanya bermula pada bulan September. Segelintir pelajar daripada keluarga yang berkemampuan juga telah terbang ke luar negara untuk program pengajian yang lebih bersifat fleksibel, sama ada sistem semester atau quarter.

Pelajar yang membuat keputusan menyambung pengajian di peringkat prauniversiti hendaklah menganggap bahawa mereka sedang melangkah ke medan perjuangan untuk mencapai matlamat kecemerlangan dan kesejahteraan. Pegang matlamat berkenaan dan jangan sesekali dipengaruhi oleh sebarang kata-kata beracun yang memesongkan tumpuan ke arah itu. Jalan menuju kejayaan mungkin bersifat lurus atau berliku, bergantung kepada pelbagai faktor dalam diri (sikap) dan persekitaran (extrenous variables).

Jika terdapat keperluan untuk memohon pertukaran jurusan atau tempat belajar, urusan hendaklah dilakukan dengan kadar yang paling segera. Sistem semester hanya mempunyai tempoh tidak sampai 4 bulan kuliah, tutorial dan peperiksaan. Di universiti, pilihan kursus dalam tempoh tambah dan gugur (add and drop) seumpama itu dipanggil sebagai membeli-belah (shopping).

Pengajian prauniversiti berbeza dengan peringkat ijazah pertama dari segi penetapan pakej kursus dan tenaga akademik. Pelajar prauniversiti harus akur dengan peraturan di institusi pengajian masing-masing seadanya. Berlainan dengan ijzah sarjana muda yang memiliki peluang untuk memilih kursus dan pensyarah yang pemurah.

Saturday, May 5, 2012

INSTITUSI PENDIDIKAN IALAH WAHANA TERBAIK UNTUK MENYEBARKAN KONSEP INTEGRASI 1MALAYSIA (TO PROMOTE UNITY IN SCHOOL)


Institusi pendidikan (IP) ialah organisasi yang memupuk pembelajaran (nurture learning). Maka, segala aktiviti yang berkaitan dengan ilmu, proses sosialisasi dan penjanaan modal insan minda kelas pertama berlaku di IP. Tidak hairanlah jika konsep integrasi 1M lebih mudah disebarkan menerusi IP atas landasan menyemarakkan perkembangan ilmu dan amalan nilai murni.

Justifikasi

1  Kesediaan minda (mindset readiness)

Sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran, aktiviti di IP menjurus kepada pemerolehan ilmu dan sikap terbuka. Segala nilai yang terkandung dalam konsep 1M lebih  mudah disebarkan. Generasi muda lebih bertolak ansur terhadap perubahan. Mereka tidak bersikap taksub (fanatik) melulu, sebaliknya masih boleh menerima idea baharu.

2  Iklim / budaya IP yang positif

Warga IP sudah terbiasa dengan komunikasi yang mesra dan beradab. Mereka akan mempamerkan maklum balas yang ikhlas terhadap lontaran idea-idea baharu. Buktinya, sebarang idea pembaharuan disasarkan kepada IP sama ada dari segi perubahan kurikulum atau program ad-hoc. Konsep integrasi 1M boleh diterapkan dalam aktiviti kurikulum atau program ad-hoc IP yang lain.

3  Sokongan kepimpinan / pentadbiran IP

Semua IP diterajui oleh individu yang telah melepasi tapisan keutuhan (integrity scanning) yang ketat oleh pihak berkuasa pelajaran. Mereka ialah kumpulan profesional yang berpegang kepada etika dan ikrar perkhidmatan. Maka, segala usaha yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan negara pasti menjadi sebahagian tanggungjawab hakiki mereka. Konsep integrasi 1M akan menerima sokongan padu untuk disebarkan di IP.

4  Komposisi warga IP

Warga IP datang daripada pelbagai latar belakang kepercayaan dan sosioekonomi. Mereka perlu diikat dengan satu gagasan dan nilai umum yang bersifat universal. Konsep integrasi 1M ialah satu pendekatan yang dapat menjadi jambatan untuk mencantum segala perbezaan yang ada. Demi membina sebuah masyarakat yang harmonis dan menghormati kepelbagaian, konsep integrasi IM sangat sesuai dan mudah dilontarkan di IP yang mendambakan nilai bersama.

5  Disiplin dan peraturan di IP

Warga IP terikat kepada tatacara disiplin dan kod tingkah laku yang tetap. Segala dasar kerajaan yang terkini mesti diambil tahu. Dengan sistem pergerakan dan pembelajaran yang tetap, konsep 1M mudah disebarkan. Aktiviti pembelajaran dan tugasan secara berkumpulan sangat serasi dengan 1M.

6  Infrastruktur maklumat

Di IP, maklumat boleh disebarkan menerusi pelbagai cara seperti poster, media house, risalah, tajuk tugasan dan kempen. Akses konsep integrasi 1M lebih mudah kerana warga IP mudah dihimpun untuk program rasmi. Paparan laman web IP juga boleh menyediakan  ruang untuk promosi integrasi 1M.

Friday, May 4, 2012

PERSEDIAAN PERTENGAHAN TAHUN SOALAN NOVEL (PLANNING ANSWERS)

Antara perkara yang menjadi kemusykilan murid ialah jumlah isi dan panjangnya huraian untuk jawapan bahagian novel. Begitu juga dengan format persembahan jawapan dari segi keperluan perenggan pengenalan, isi dan penutup. Hakikatnya, markah untuk bahagian kajian novel tidaklah terlalu besar jika hendak dibandingkan dengan karangan.

Sebagai contoh, untuk peringkat SPM, hanya 15 markah diperuntukkan, iaitu 7 markah untuk 4(a) dan 8 markah untuk 4(b). Maka, dengan jumlah peruntukan markah yang sedemikian, calon tidak wajar memperuntukkan masa yang terlalu panjang untuk jawapan yang berjela-jela hingga ada yang sampai tiga halaman. 

Secara hitungan konservatif, 15 markah daripada 110 markah bersamaan 15 markah X 1.6 minit = 24 minit sahaja. Hitungan dibuat atas nisbah 110 markah = 180 minit. Maka, 1 markah = 1.6 minit.

Sejajar dengan status kertas bahasa, maka sudah tentu ada peruntukan markah untuk bahasa. Justeru, untuk bahagian 4(a), calon boleh mengemukakan antara dua hingga tiga isi, serta contoh peristiwa sebagai hujah menyokong penyataan isi. Bahagian (b) pula boleh jadi antara tiga hingga empat isi, serta contoh peristiwa yang berkaitan.

Sebagai pendahuluan jawapan, cukup sekadar menyatakan judul novel dan nama pengarang yang dipilih. Setelah itu, terus masuk kepada isi jawapan dan contoh peristiwa. Penulisan peristiwa juga tidak perlu berpanjang lebar, cukup sekadar dua tiga ayat bagi sesuatu isi. 

Kesimpulan tidak perlu ditulis kerana calon tidak diarah menulis sebuah karangan. Walaupun begitu, jawapan mesti ditulis dalam ayat yang lengkap dan mematuhi segala hukum tatabahasa. Seelok-eloknya setiap isi ditulis dalam perenggan yang khusus bagi memudahkan pembahagian atau organisasi isi jawapan...

contoh menyusul...

Thursday, May 3, 2012

UCAPAN MAJLIS PERASMIAN MINGGU SUAI KENAL TINGKATAN 6 RENDAH (WELCOME SPEECH FOR PRE-UNIVERSITY STUDENT)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua, Encik...

Penolong Kanan Tingkatan Enam, Puan...

Pelajar yang dikasihi sekalian

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama dalam acara suai kenal pelajar baharu prauniversiti tingkatan 6 Rendah SMK... Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada anda semua yang merupakan kumpulan pelajar yang sangat bertuah kerana telah memilih laluan utama kemasukan universiti untuk ijazah sarjana muda. Seterusnya, kalian juga akan mencatat sejarah sebagai kohort pelajar prauniversiti tingkatan enam yang pertama akan mengikuti mod pengajian secara modular sebagai ganti kepada sistem terminal yang sedia ada.

Saya, Cikgu... akan bercakap tentang prospek atau masa depan keluaran atau lulusan prauniversiti tingkatan enam. Sebenarnya sistem pengajian prauniversiti tingkatan mempunyai sejarah yang begitu panjang, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di banyak negara lain seperti United Kingdom, Singapura dan Brunei. Di negara kita, pelajar tingkatan 6 disediakan untuk peperiksaan STPM yang memperoleh pengiktirafan atau akreditasi dari Universiti Cambridge, iaitu antara universiti yang paling berprestij di dunia. 

Penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan 6 membuka lembaran baharu untuk pelajar lepasan menengah membuat persiapan yang mencukupi sebelum meneruskan impian untuk menggenggam ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang-bidang yang sangat penting kepada kemajuan masyarakat, negara dan umat pada masa hadapan. Kini, kesempatan untuk menggapai segala cita-cita sudah terbentang di hadapan pelajar sekalian. Kami, para guru akan sentiasa berada di sisi anda untuk membantu dan menolong anda menuju puncak kecemerlangan, kejayaan dan kesejahteraan yang berpanjangan, Insya-Allah.

Pelajar yang dimuliakan

Reka bentuk sistem modular pengajian prauniversiti yang bakal kalian jalani bukanlah satu eksperimen melulu. Pihak berkuasa pendidikan telah membuat kajian terperinci dan membuat pertimbangan yang teliti supaya kepercayaan masyarakat, organisasi awam dan swasta, serta universiti ternama dunia terhadap program prauniversiti tingkatan bukan sahaja kekal, bahkan dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Kurikulum dan sukatan pelajaran prauniversiti menerima gabungan sentuhan kesarjanaan universiti dengan guru akademik atau pensyarah prauniversiti tingkatan 6. 

Hal itu bermakna bahawa terdapat kesinambungan dan pertautan antara kurikulum pengajian prauniversiti tingkatan 6 dengan kursus di peringkat sarjana muda. Pelajar yang memperoleh gred pencapaian tertentu dalam STPM diberi pertimbangan untuk pengecualian jam kredit di peringkat universiti dalam dan luar negara. Malah, tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa kelayakan STPM lebih dipandang tinggi daripada kursus diploma dari politeknik, kolej dan universiti swasta.

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah banyak kali menegaskan bahawa laluan utama ke universiti ialah kelayakan STPM dan kelulusan lain yang setaraf. Maka, sudah jelas bahawa lulusan STPM akan menduduki senarai teratas kemasukan universiti sebelum kelayakan lain yang setaraf seperti matrikulasi, sijil dan diploma. Jelas bahwa kalian telah membuat pilihan yang paling tepat.

Pelajar yang dikasihi

Sistem modular menawarkan kursus mengikut semester sebagaimana pengajian di universiti. Dalam tempoh empat bulan, pelajar akan menyelesaikan sesi kuliah, tutorial dan pelbagai aktiviti pentaksiran, termasuk kertas peperiksaan berpusat yang disediakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Setiap semester menawarkan kertas yang berlainan bagi setiap kursus atau mata pelajaran supaya pelajar akan lebih fokus untuk mencatat pencapaian terbaik.

Kedua-dua jurusan sains dan kemanusiaan memiliki kelebihan masing-masing. Misalnya, lulusan STPM jurusan sains boleh memilih kursus pengajian di universiti berdasarkan purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang diperoleh pada tempoh akhir tiga semester pengajian. Perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut kemudian.

Pelajar jurusan kemanusiaan boleh meletakkan sasaran untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, perakaunan, ekonomi, pengajian bahasa, sejarah, sains sosial, komunikasi dan banyak lagi. Dengan pengkhususan dalam bidang tertentu, pelajar bakal memiliki peluang yang lebih cerah untuk berjaya dalam kehidupan. Pihak sekolah akan sentiasa membimbing para pelajar untuk memilih jalan yang betul untuk pembelajaran di peringkat prauniversiti ini.

Pengacara dan pelajar yang disanjung tinggi

Buat permulaan, sekadar ini ucapan saya. Sebelum mengundur diri saya ingin berpesan kepada pelajar supaya sentiasa mengaktifkan sikap positif dalam diri kalian, dan jangan sesekali dipengaruhi oleh cerita yang bersifat negatif dan melemahkan semangat. Dengan kata-kata itu, saya mengucapkan selamat menempuh pengalaman pembelajaran yang baharu.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wasssalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Wednesday, May 2, 2012

TAKLIMAT FORUM REMAJA (THE ESSENCE OF LANGUAGE IN PRACTICE)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat petang

Bagi pihak majlis dan tuan rumah pertandingan, saya mengalu-alukan kehadiran tuan puan untuk taklimat ringkas hakim pertandingan forum remaja peringkat zon edisi 2012. Walaupun diburu kesibukan persediaan peperiksaan pertengahan tahun dan pelbagai acara sekolah yang lain, kesudian tuan puan menerima pelantikan sebagai hakim sangat dihargai dan disanjung tinggi. Mudah-mudahan sumbangan tuan puan ini bakal menyemarakkan lagi perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu tinggi dan pancaran akal budi insan dalam kalangan generasi muda kita.

Sesi taklimat ini bertujuan untuk mengambil kata putus tentang penyelarasan segala peraturan pertandingan forum remaja peringkat zon2,  Kinta Utara edisi 2012. Di samping itu, tuan puan dapat meneliti format borang yang disediakan. Sebagai hakim, peranan tuan puan begitu kritikal, khususnya kepada pasukan yang mengambil bahagian supaya segala usaha yang dilakukan akan berbaloi, dan zon 2 akan menghantar wakil terbaik untuk saingan peringkat daerah.

Mari kita merujuk sepintas lalu dokumen panduan penghakiman yang disediakan. Saya yakin bahawa tuan puan telah memiliki pengalaman tentang tatacara penghakiman pertandingan forum remaja sebelum ini. Maka, anggaplah sesi taklimat ini sebagai satu proses ulang kaji dan perkongsian pengalaman.

Secara am, forum remaja dilaksanakan dalam format perbincangan dengan tiga orang ahli panel dan seorang pengerusi pasukan. Tumpuan penghakiman ialah dari segi isi, bahasa, penyampaian dan pengendalian forum, dan tidak terhadap persembahan. Peserta dibenarkan mengaplikasi konsep main peranan, iaitu melakonkan perwatakan orang lain, tetapi tidak boleh menggunakan nama tokoh sebenar. 

Setiap pasukan diberi masa 20 minit untuk berforum. Mesyuarat penyelarasan peringkat zon juga telah bersetuju supaya setiap pasukan perlu menjawab satu soalan ketua hakim. Ketiga-tiga ahli forum dikehendaki menjawab soalan berkenaan dalam tempoh 5 minit sahaja. 

Ketua hakim hendaklah memastikan bahawa soalan yang diajukan hendaklah khusus dan jelas, serta bersesuaian dengan tahap kebolehan murid sekolah. Markah yang diberi juga hendaklah mengambil kira bahawa jawapan yang diberikan adalah secara spontan.

Keputusan pemilihan pemenang dibuat secara juri dan bukan markah purata setiap hakim. Setiap hakim diberi autonomi, serta tidak perlu dipengaruhi oleh hakim yang lain. Kalau hendak dibuat perbandingan, keputusan yang diambil mirip proses penghakiman di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan.

Merujuk borang penghakiman yang disediakan, pecahan markah berdasarkan item telah disediakan. Markah bahasa ialah 50, isi 40, penyampaian pula ialah 30. Sila ambil perhatian bahawa pengerusi forum tiada markah isi, tetapi layak mendapat pengendalian sebanyak 30.

Perhatikan juga bahawa dari segi markah pengendalian, pengerusi forum boleh mendapat maksimum 30 markah, berbanding dengan ahli forum dengan maksimum 15 markah sahaja. Markah bonus berdasarkan jawapan kepada soalan ketua hakim ialah 10. Markah diberi secara impression.

Akhir kata, sekali lagi bagi pihak majlis dan tuan rumah, saya mengalu-alukan kehadiran tuan puan. Di samping tugas penghakiman, secara tidak langsung, guru-guru bahasa dari pelbagai sekolah dapat bertukar-tukar buah fikiran dan berkongsi pengalaman terkini. Selamat bertugas.

Sekian, wassalam.

'SENJA BELUM BERLABUH" BAB 22, AKHIR NOVEL MERENANG GELORA (THE GAIN OF PAIN)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  254 - 260

Watak utama:  Badri / Dr. Badri  (bekas pengawas sekolah / siswazah perubatan dari Ireland)
Watak pembantu:  Jamil  (rakan karib persekolahan Badri / siswazah hotel dan pelancongan, UiTM / pemilik resort)
                          :  Taufik  (rakan karib Badri / Jamil / siswazah perniagaan / pemilik resort / suka mengambil tahu)

Latar tempat:  resort milik Jamil

Latar masa:  setelah tamat pengajian tinggi masing-masing

Ringkasan bab

Badri yang baru tamat pengajian perubatan dari Ireland berkunjung ke resort milik Jamil bersama Taufik. Badri mendesak Jamil bercerita kisah kejayaan dirinya setelah menghilangkan diri dahulu. Jamil sebenarnya dihantar bersekolah di kampung neneknya ke Sarawak bagi mengelakkan pengaruh Amran dan Shahrul. Badri tidak dimaklumkan kerana bapa Jamil bimbang maklumat itu terlepas kepada Amran. Taufik pula memupuk minat dalam bidang perniagaan resort hasil pengalaman bekerja di resort bapa saudara Badri. Seterusnya, Taufik memberitahu bahawa Shahrul dan Kumar menjadi rakan kongsi bengkel kereta di Kuala Lumpur setelah tamat pengajian politeknik. Nadira, lulusan diploma fesyen UiTM telah membuka butik dan menjadi milik (isteri) Shahrul. Meng Kong mengambil alih perniagaan ayahnya dan membuka lebih banyak cawangan. Shahrul yang sering berkunjung ke resort Jamil juga membuka rahsia bahawa setelah Kumar enggan meletak telefon bimbit ke dalam beg Badri, dia sendiri mendaftarkan telefon bimbit atas nama datuknya. Cikgu Jailani sudah bersara. Tiba-tiba Jamil mengusik Badri tentang Siew Mei yang telah bergelar doktor gigi. Badri hanya menahan malu. Dia bakal bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur bagi memenuhi syarat tajaan biasiswa kerajaan. Ombak yang memukul pantai dan laut lepas menjadi ingatan untuk Badri merenangi gelora kehidupan lalu dan masa hadapan... 

Perwatakan:  setia kawan
                  :  berterus terang / jujur
                  :  suka mengusik / kelakar / mesra
                  :  pemalu

Latar masyarakat:  masyarakat yang setia kawan / ramah
                          :  masyarakat yang berterus terang / jujur
                          :  masyarakat yang suka mengusik
                          :  masyarakat yang pemalu

Nilai murni:  kesetiakawanan, kejujuran, kemesraan / keramahan, hemah tinggi

Persoalan:  kesetiakawanan yang berkekalan / berpanjangan
               :  kejujuran dalam komunikasi / persahabatan
               :  kemesraan / keramahan sesama rakan
               :  hemah tinggi dalam pergaulan

Pengajaran:  kita hendaklah mengekalkan semangat setia kawan (sampai bila-bila)
                 :  kita hendaklah jujur / berterus terang dalam komunikasi / persahabatan
                 :  kita hendaklah mesra / ramah sesama rakan
                 :  kita hendaklah berhemah tinggi dalam pergaulan

kbkk:  kematangan watak utama dalam menghadapi cabaran kehidupan / pergolakan / konflik

Tuesday, May 1, 2012

GAJI MINIMUM KE ARAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI (BARGAINING PROCESS AT LABOUR MARKET)

Pengumuman upah minimum sempena hari pekerja 2012 membuka lembaran baharu dalam penentuan upah di sektor swasta. Perintah Gaji Minimum bakal diwartakan dalam tempoh terdekat dan tempoh kuat kuasa ditetapkan secara anjal untuk memberi masa kepada pihak majikan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Di Semenanjung, gaji minimum sektor swasta ditetapkan pada RM900 sebulan, atau RM4.33 sejam, manakala di Malaysia Timur ialah RM800 sebulan, atau RM3.85 sejam.

Proses tawar-menawar ialah adat biasa atau konvensyen dalam tuntutan upah. Majikan mencadangkan RM700, manakala kesatuan sekerja mahukan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Namun, setelah mengambil kira implikasi jangka pendek dan sederhana, syor majlis perundingan gaji nasional (MPGN) yang turut mendapat pandangan Bank Dunia, maka penetapan RM800 - RM900 diluluskan.

Pengecualian akan meliputi pekerjaan domestik (rumah tangga) seperti pembantu rumah dan tukang kebun. Majikan PKS akan diberi tempoh 12 bulan, manakala majikan lain hanya diberi tempoh 6 bulan, termasuk firma ikhtisas seperti klinik dan pejabat guaman. Kemampuan majikan menstruktur semula kadar upah dan kos pengeluaran, serta penurunan pendapatan benar pekerja kesan inflasi nampaknya telah diberi pertimbangan yang khusus.

Perbezaan berlaku anatara Semenanjung dengan Malaysia Timur atas sebab kos sara hidup dan kemampuan majikan. Walaupun demikian, kadar gaji minimum yang sama akan dilaksanakan apabila keadaan bersesuaian. Diskriminasi upah berdasarkan lokaliti dan sempadan geografi masih belum dapat dielakkan.

Penetapan gaji minimum juga telah mengambil kira persekitaran perniagaan dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI). Kebanyakan kilang pembuatan barang pengguna yang dahulunya bertumpu di Malaysia sudah beralih ke Indochina dan Indonesia. Malaysia sebaliknya telah bergerak kepada kegiatan ekonomi berasaskan pengetahuan dengan operasi industri teknologi tinggi berciri automasi dan mekatronik.

Malaysia juga telah mengikut jejak langkah negara maju dengan menggalakkan perkembangan sektor pelancongan yang bukan sahaja berasaskan panorama alam semula jadi, bahkan menjangkau pelancongan kesihatan, pendidikan, perniagaan dan pertanian. Malaysia juga muncul sebagai hab membeli-belah serantau dan juga dikenali sebagai penyedia perkhidmatan persidangan bertaraf antarabangsa. Maka, sektor perkhidmatan telah mewujudkan rantaian peluang pekerjaan yang memerlukan suatu struktur upah yang berdaya saing supaya mutu perkhidmatan yang ditawarkan mencapai tahap optimum.