SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, May 3, 2012

UCAPAN MAJLIS PERASMIAN MINGGU SUAI KENAL TINGKATAN 6 RENDAH (WELCOME SPEECH FOR PRE-UNIVERSITY STUDENT)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua, Encik...

Penolong Kanan Tingkatan Enam, Puan...

Pelajar yang dikasihi sekalian

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama dalam acara suai kenal pelajar baharu prauniversiti tingkatan 6 Rendah SMK... Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada anda semua yang merupakan kumpulan pelajar yang sangat bertuah kerana telah memilih laluan utama kemasukan universiti untuk ijazah sarjana muda. Seterusnya, kalian juga akan mencatat sejarah sebagai kohort pelajar prauniversiti tingkatan enam yang pertama akan mengikuti mod pengajian secara modular sebagai ganti kepada sistem terminal yang sedia ada.

Saya, Cikgu... akan bercakap tentang prospek atau masa depan keluaran atau lulusan prauniversiti tingkatan enam. Sebenarnya sistem pengajian prauniversiti tingkatan mempunyai sejarah yang begitu panjang, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di banyak negara lain seperti United Kingdom, Singapura dan Brunei. Di negara kita, pelajar tingkatan 6 disediakan untuk peperiksaan STPM yang memperoleh pengiktirafan atau akreditasi dari Universiti Cambridge, iaitu antara universiti yang paling berprestij di dunia. 

Penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan 6 membuka lembaran baharu untuk pelajar lepasan menengah membuat persiapan yang mencukupi sebelum meneruskan impian untuk menggenggam ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang-bidang yang sangat penting kepada kemajuan masyarakat, negara dan umat pada masa hadapan. Kini, kesempatan untuk menggapai segala cita-cita sudah terbentang di hadapan pelajar sekalian. Kami, para guru akan sentiasa berada di sisi anda untuk membantu dan menolong anda menuju puncak kecemerlangan, kejayaan dan kesejahteraan yang berpanjangan, Insya-Allah.

Pelajar yang dimuliakan

Reka bentuk sistem modular pengajian prauniversiti yang bakal kalian jalani bukanlah satu eksperimen melulu. Pihak berkuasa pendidikan telah membuat kajian terperinci dan membuat pertimbangan yang teliti supaya kepercayaan masyarakat, organisasi awam dan swasta, serta universiti ternama dunia terhadap program prauniversiti tingkatan bukan sahaja kekal, bahkan dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Kurikulum dan sukatan pelajaran prauniversiti menerima gabungan sentuhan kesarjanaan universiti dengan guru akademik atau pensyarah prauniversiti tingkatan 6. 

Hal itu bermakna bahawa terdapat kesinambungan dan pertautan antara kurikulum pengajian prauniversiti tingkatan 6 dengan kursus di peringkat sarjana muda. Pelajar yang memperoleh gred pencapaian tertentu dalam STPM diberi pertimbangan untuk pengecualian jam kredit di peringkat universiti dalam dan luar negara. Malah, tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa kelayakan STPM lebih dipandang tinggi daripada kursus diploma dari politeknik, kolej dan universiti swasta.

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah banyak kali menegaskan bahawa laluan utama ke universiti ialah kelayakan STPM dan kelulusan lain yang setaraf. Maka, sudah jelas bahawa lulusan STPM akan menduduki senarai teratas kemasukan universiti sebelum kelayakan lain yang setaraf seperti matrikulasi, sijil dan diploma. Jelas bahwa kalian telah membuat pilihan yang paling tepat.

Pelajar yang dikasihi

Sistem modular menawarkan kursus mengikut semester sebagaimana pengajian di universiti. Dalam tempoh empat bulan, pelajar akan menyelesaikan sesi kuliah, tutorial dan pelbagai aktiviti pentaksiran, termasuk kertas peperiksaan berpusat yang disediakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Setiap semester menawarkan kertas yang berlainan bagi setiap kursus atau mata pelajaran supaya pelajar akan lebih fokus untuk mencatat pencapaian terbaik.

Kedua-dua jurusan sains dan kemanusiaan memiliki kelebihan masing-masing. Misalnya, lulusan STPM jurusan sains boleh memilih kursus pengajian di universiti berdasarkan purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang diperoleh pada tempoh akhir tiga semester pengajian. Perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut kemudian.

Pelajar jurusan kemanusiaan boleh meletakkan sasaran untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, perakaunan, ekonomi, pengajian bahasa, sejarah, sains sosial, komunikasi dan banyak lagi. Dengan pengkhususan dalam bidang tertentu, pelajar bakal memiliki peluang yang lebih cerah untuk berjaya dalam kehidupan. Pihak sekolah akan sentiasa membimbing para pelajar untuk memilih jalan yang betul untuk pembelajaran di peringkat prauniversiti ini.

Pengacara dan pelajar yang disanjung tinggi

Buat permulaan, sekadar ini ucapan saya. Sebelum mengundur diri saya ingin berpesan kepada pelajar supaya sentiasa mengaktifkan sikap positif dalam diri kalian, dan jangan sesekali dipengaruhi oleh cerita yang bersifat negatif dan melemahkan semangat. Dengan kata-kata itu, saya mengucapkan selamat menempuh pengalaman pembelajaran yang baharu.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wasssalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

No comments: