SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, May 1, 2012

GAJI MINIMUM KE ARAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI (BARGAINING PROCESS AT LABOUR MARKET)

Pengumuman upah minimum sempena hari pekerja 2012 membuka lembaran baharu dalam penentuan upah di sektor swasta. Perintah Gaji Minimum bakal diwartakan dalam tempoh terdekat dan tempoh kuat kuasa ditetapkan secara anjal untuk memberi masa kepada pihak majikan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Di Semenanjung, gaji minimum sektor swasta ditetapkan pada RM900 sebulan, atau RM4.33 sejam, manakala di Malaysia Timur ialah RM800 sebulan, atau RM3.85 sejam.

Proses tawar-menawar ialah adat biasa atau konvensyen dalam tuntutan upah. Majikan mencadangkan RM700, manakala kesatuan sekerja mahukan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Namun, setelah mengambil kira implikasi jangka pendek dan sederhana, syor majlis perundingan gaji nasional (MPGN) yang turut mendapat pandangan Bank Dunia, maka penetapan RM800 - RM900 diluluskan.

Pengecualian akan meliputi pekerjaan domestik (rumah tangga) seperti pembantu rumah dan tukang kebun. Majikan PKS akan diberi tempoh 12 bulan, manakala majikan lain hanya diberi tempoh 6 bulan, termasuk firma ikhtisas seperti klinik dan pejabat guaman. Kemampuan majikan menstruktur semula kadar upah dan kos pengeluaran, serta penurunan pendapatan benar pekerja kesan inflasi nampaknya telah diberi pertimbangan yang khusus.

Perbezaan berlaku anatara Semenanjung dengan Malaysia Timur atas sebab kos sara hidup dan kemampuan majikan. Walaupun demikian, kadar gaji minimum yang sama akan dilaksanakan apabila keadaan bersesuaian. Diskriminasi upah berdasarkan lokaliti dan sempadan geografi masih belum dapat dielakkan.

Penetapan gaji minimum juga telah mengambil kira persekitaran perniagaan dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI). Kebanyakan kilang pembuatan barang pengguna yang dahulunya bertumpu di Malaysia sudah beralih ke Indochina dan Indonesia. Malaysia sebaliknya telah bergerak kepada kegiatan ekonomi berasaskan pengetahuan dengan operasi industri teknologi tinggi berciri automasi dan mekatronik.

Malaysia juga telah mengikut jejak langkah negara maju dengan menggalakkan perkembangan sektor pelancongan yang bukan sahaja berasaskan panorama alam semula jadi, bahkan menjangkau pelancongan kesihatan, pendidikan, perniagaan dan pertanian. Malaysia juga muncul sebagai hab membeli-belah serantau dan juga dikenali sebagai penyedia perkhidmatan persidangan bertaraf antarabangsa. Maka, sektor perkhidmatan telah mewujudkan rantaian peluang pekerjaan yang memerlukan suatu struktur upah yang berdaya saing supaya mutu perkhidmatan yang ditawarkan mencapai tahap optimum.

No comments: