SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, December 16, 2014

PU YEOP KONGSI PENGALAMAN TERTINGGAL ANAK DI LEBUH RAYA (REASONABLE CARE TO AVOID RISK TO THE LOVE ONE)

Semasa dalam perjalanan pulang dari Kuala Kangsar tengah hari tadi, kebetulan penulis blog (PB) mendengar siaran radio Sinar.fm sepintas lalu. Walaupun stesen radio retro berkenaan bukanlah kegemaran PB kerana terlalu banyak celoteh juruhebah yang kurang produktif serta muzik rock yang membingitkan telinga, tetapi sesekali input juruhebah berpengalaman seperti Kak Bek (Abby Fana) dan Jamal Jamaludin sangat berguna. Kali ini kisah PU Yeop (Mohd Zainudin bin Mohamed Zaini) mengingatkan PB tentang peristiwa seorang pegawai Bank Islam cawangan Ipoh yang kehilangan anak selama beberapa hari ketika membeli-belah di gedung perniagaan terkemuka, Sogo di ibu kota.

Cerita yang keluar daripada mulut PU Yeop sendiri di stesen berkenaan turut tersiar dalam akhbar Sinar Harian edisi on-line (klik di sini). Sebagai pendakwah selebriti yang dikenali ramai (kelahiran program realiti rangkaian Astro), peristiwa yang menimpa PU Yeop segera mendapat maklum balas pembaca, sama ada yang positif mahupun negatif. Keberanian PU Yeop sebenarnya mendedahkan diri beliau kepada risiko soal siasat pihak berkuasa jika didapati terdapat asas kecuaian (klik di sini untuk perspektif undang-undang).

Hakikatnya, perkara yang berlaku kepada keluarga PU Yeop boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Walaupun semua orang tidak mengingini nasib malang terkena kepada diri dan orang yang disayangi, begitu banyak faktor luar kawalan yang boleh muncul secara tidak diduga. Segala langkah yang perlu mungkin telah diambil, tetapi kecuaian orang lain (pihak ketiga) yang bertindak atau tidak bertindak dalam keadaan lazim telah menjejaskan mangsa.
pemandangan Kuala Kangsar pagi tadi
tempat PU Yeop  memenuhi undangan ceramah

PU Yeop juga telah membuat keputusan yang sangat berisiko tinggi apabila tidak berpatah balik ke stesen minyak Shell di kawasan rawat dan rehat Gurun setelah tiba di rumah beliau di Taiping. Beliau hanya pasrah dan tawakal sambil menghubungi pihak Plus dan polis untuk menjejaki anaknya, Muhammad Iskandar Zulqarnain, 8 yang sudah terpisah hampir dua jam. PU Yeop mahu memenuhi jemputan ceramah di Kuala Kangsar sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Allah telah memakbulkan doa PU Yeop dan keluarga. Sekembali daripada ceramah di Kuala Kangsar itu, Iskandar sudah terpacul di muka pintu rumah. Iskandar dihantar pulang oleh sebuah keluarga dari Changlun, Kedah yang hendak menghadiri suatu majlis kenduri di rumah saudara mereka di Bagan Serai. 

Banyak hal yang boleh dipelajari dan dijadikan iktibar berdasarkan peristiwa yang dialami oleh PU Yeop sekeluarga dan kes-kes lain yang dilaporkan dari masa ke masa. Dalam apa-apa jua keadaan, kanak-kanak hendaklah dianggap sebagai insan yang tidak berdaya dan hendaklah sentiasa dilindungi oleh orang dewasa yang memiliki tanggungjawab (excercising the duty of care). Ibu bapa dan orang dewasa tidak boleh sama sekali terlepas pandang akan pergerakan kanak-kanak bagi melindungi mereka daripada sebarang bahaya.

Dari segi undang-undang sivil, seseorang itu masih diklasifikasikan sebagai kanak-kanak (juvana) selagi belum menyambut ulang tahun kelahiran ke-18. Dari segi Islam, seseorang kanak-kanak mencapai usia akil baligh berdasarkan tanda-tanda tertentu, misalnya bermimpi 'basah'. Walaupun demikian, darjah kematangan dan kepekaan seseorang kanak-kanak itu tidak dapat diukur dengan hanya merujuk usia biologi per se.

Maka, tidak kira sesibuk mana atau kesegeraan apa pun, orang dewasa yang memikul tanggungjawab berdasarkan hubungan khusus dengan kanak-kanak tidak boleh atas apa-apa jua alasan untuk berlaku cuai sehingga mendedahkan mereka kepada risiko. Kalau dalam rombongan sekolah, sebelum bas bergerak, guru pengiring hendaklah menghitung bilangan peserta rombongan beberapa kali sehingga berpuas hati dan muktamad. Terima kasih PU Yeop atas perkongsian pengalaman benar yang begitu berterus terang ...

Monday, December 15, 2014

GURU BOLEH HIDUP MEWAH? (FAMILY BACKGROUND AND LUCKY DRAW)

Kakitangan perkhidmatan awam, termasuk guru pada amnya tergolong dalam kumpulan berpendapatan sederhana sahaja. Emolumen yang diterima setiap bulan tidaklah sampai melayakkan mereka muncul sebagai orang kaya baharu (OKB) sepertimana usahawan berjaya atau selebriti terkenal. Namun, ada jalannya untuk guru menikmati status kehidupan kelas atasan dengan beberapa syarat.

Sebagai contoh, guru datang daripada latar belakang keluarga yang kaya raya. Walaupun baru melapor diri untuk bertugas, guru sedemikian sudah mampu memandu kereta mewah BMW 5 siri dan menggunakan telefon bimbit tercanggih. Penampilan dari segi gaya dan pakaian juga melambangkan ciri-ciri individu yang berpendapatan lumayan dan moncah.

Penaja guru tadi ialah ibu bapa yang mahu menggembirakan anak dengan hadiah sebagai dorongan untuk melaksanakan tugas sepenuh hati tanpa perlu berfikir tentang langkah berhutang sana sini. Tuah badan macam itu macam cerita khayalan Aladin dengan lampu ajaib. Namun, dalam borang isytihar harta, sumber pembelian kereta mewah yang tersebut hendaklah dicatatkan sebagai pemberian kasih sayang.

Terdapat juga cikgu yang sangat beruntung justeru dikurniakan jodoh yang memiliki akses kewangan yang sangat kukuh. Misalnya, guru wanita bertemu jodoh dengan ahli perniagaan yang murah rezeki, atau sebaliknya guru lelaki bertemu jodoh dengan peniaga wanita seperti itu. Tempias kehidupan pasangan yang senang-lenang turut terkena kepada cikgu ditakdirkan dengan teman hidup bercita rasa tinggi.
sumber ambilan gambar di sini

Selain itu, ada juga guru yang beroleh rezeki dari arah yang tidak diduga-duga seperti janji Allah dalam surah at-Talaq (67:2-3) yang juga dikenali sebagai ayat seribu dinar. Dalam paparan gambar di atas, dua orang guru wanita secara tiba-tiba menjadi pemilik BMW 3 siri yang bernilai lebih daripada Ringgit Malaysia suku juta. Tanpa meletakkan harapan yang menggunung, rezeki datang menggolek.

Guru-guru lain yang bergantung kepada emolumen bulanan serta harus pula menanggung ibu bapa dan adik-beradik yang menjalani kehidupan ala kadar harus menerima hakikat bahawa mereka perlu merancang perbelanjaan yang ketat setiap bulan. Gaji dan elaun yang diterima siap sedia untuk diagihkan kepada insan yang dikasihi, di samping bayaran hutang kenderaan, perumahan, bil utiliti, perbelanjaan rumah tangga dan kad kredit, jika ada. Walaupun pada zahirnya kelihatan sengkek, guru berkenaan wajib bersyukur kerana kesempatan berbakti dengan ikhlas ialah amalan mulia di sisi Ilahi.

Ibnu Khaldun, bapa sosiologi moden yang menamatkan sisa usia dengan mendekam di sebalik jeriji besi, pernah menyatakan bahawa kaum guru hanya menikmati ganjaran kewangan yang rendah. Walaupun demikian, beberapa buah negara telah melonjakkan pendapatan guru melebihi penjawat awam yang lain, misalnya Singapura yang hanya menerima calon guru dalam kalangan bakat terbaik. Di Malaysia sendiri, calon guru perlu mencatat pencapaian 8A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia andai kata berhajat bagi memohon tajaan biasiswa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk ke institut pendidikan guru (IPG) atau ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Sebelum kaedah laluan pantas naik pangkat dan time-based diperkenalkan untuk kerjaya keguruan, hanya pengetua sahja yang akan bersara sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG2 bersamaan DG 48 sekarang. Namun, kini semua guru memiliki kesempatan untuk mencapai gred gaji DG 54 (bersamaan profesor madya) tanpa perlu menggalas jawatan pentadbiran sekolah, pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri atau KPM. Walaupun harus menunggu sehingga ke penghujung perkhidmatan untuk merasai pendapatan yang boleh tahan tingginya, guru sudah dilazimkan dengan keikhlasan dalam menjalankan amanah justeru bekalan di sana jauh lebih bernilai tinggi ...

Sunday, December 14, 2014

MEMPERKENALKAN ANTOLOGI BAHARU TINGKATAN 4 TAHUN 2015 (ISTANBUL LOOK ON THE COVER)

Murid tingkatan empat pasti tersenyum meleret kerana antologi teks komsas untuk mereka kini lebih nipis dan ringan. Bilangan keseluruhan karya yang dimuatkan juga hanya berjumlah sebelas buah. Genre tradisional pula tinggal tiga buah karya sahaja, iaitu dua buah puisi tradisional: Syair Bidasari dan Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga); serta prosa tradisional tunggal: Kepimpinan Melalui Teladan.

Judul antologi "Jaket Kulit Kijang dari Istanbul" merupakan cerpen ketiga yang termuat mulai muka surat 65 hingga 82. Cerpen berkenaan ialah karya Maskiah Haji Masrom, pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Maskiah, 49, sedang menyiapkan tesis doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Maka, kulit hadapan antologi memberi gambaran tentang suasana latar tempat cerpen berkenaan dengan pemandangan bandaraya Instanbul di pinggir Selat Bosphorus yang memisahkan bahagian benua Asia dengan benua Eropah negara Turki. Kulit belakang antologi juga berlatar belakang negara Turki, berkemungkinan laluan Grand Bazaar sebagaimana yang tercatat pada halaman 67. Kisah jaket kulit kijang yang bermula dengan sikap hipokrit peniaga di bazar dengan keramahan peniaga pasaran gelap diadun dengan kepekaan terhadap bahan jaket daripada kijang yang dikorbankan begitu menarik walaupun berupa pengalaman yang biasa dan ringkas bagi seorang pelancong yang pernah mengunjungi destinasi dunia ketiga.
Selain 10 halaman berangka roman, antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul (JKKDI) mempunyai 106 muka surat, termasuk halaman kosong dan ilustrasi. Muka surat 107- 110 memaparkan biodata lapan orang pengarang asal karya puisi moden (empat), cerpen (tiga) dan drama (satu). Antologi JKKDI edisi murid dijual pada harga senarai (sebelum potongan harga) RM5.60.

Dengan jumlah karya yang sedikit itu, perbincangan, tumpuan dan pembelajaran boleh dilakukan secara lebih terperinci. Kegiatan pembelajaran tidak perlu dilakukan dengan tergesa-gesa. Nampaknya antologi JKKDI telah mengambil kira rungutan murid, khususnya bukan penutur jati Bahasa Melayu yang mengalami kesukaran untuk mendekati teks asal, sebaliknya bergantung kepada buku ulasan atau tulisan dalam laman sesawang (weblog) seperti ini.

Perancangan pembelajaran juga boleh bersifat lebih lentur (fleksibel), serta memasukkan lebih banyak kemahiran berfikir aras tinggai (kbat) sebagaimana yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025). Karya pilihan yang mesra pembelajaran murid seperti ini boleh dikatakan sebagai akur terhadap peluang menikmati pengalaman pembelajaran komsas yang berkesan, menarik dan menyeronokkan. Tidak timbul lagi soal fobia atau berasa terbeban mempelajari komsas sebagai wahana pembinaan jati diri generasi muda Malaysia.
Agak menarik juga apabila Syair Bidasari (muka surat 5 -7) turut menyediakan nota kaki cara lama bagi menjelaskan maksud istilah lama yang digunakan. Syair lapan rangkap itu keseluruhannya mengandungi 32 baris dengan persamaan rima akhir aa, bb. Syair Bidasari akan menangkap imaginasi murid ke zaman feudal silam yang menjadi asas kenegaraan moden.

Puisi moden menampilkan Sang Gembala Kuda (Mohd Hashim Othman), Aku Membaca Lagi (Razali Mohd. Yussof), www.sibermerdeka.com.my (Abdul Ghaffar Ibrahim) dan Gelanggang (Onn Malini). Kebetulan, penulis blog (PB) pernah mengenali Cikgu Hashim dalam suatu progam rasmi beberapa tahun yang lalu, serta berkesempatan bertukar-tukar fikiran dengan beliau. Maka, tidaklah menghairankan bahawa Cikgu Hashim, 50, mampu menulis sebuah sajak yang boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut, misalnya kepimpinan orang berkuasa. Nanti kita akan membincangkan kandungan sajak Cikgu Hashim secara lebih khusus.

Selain JKKDI, genre cerpen turut menampilkan judul 'Kaduk, Ayam dan Raja' (Dato' Dr. Zurinah Hassan, 65) dan Munsyi (Husna Nazri, nama pena bagi Ustaz Nazri Hussien, 48). Zurinah Hassan cuba mengangkat semula maruah keturunan Kaduk menerusi watak cucunya, Hakim. Jika datuknya Kaduk menjadi mangsa raja ketika zamannya, Hakim juga menjadi mangsa RAJA, singkatan nama syarikat Rangkaian Jasa Agrikultur.

Akhir sekali, karya genre drama tunggal 'Berkhidmat Untuk Negara' tulisan Affix Zukarnaen Adam, pegawai kebudayaan di Universiti Selangor, Unisel. Drama berkisar tentang watak Aiman yang keberatan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) walaupun sekalian teman rapat dan bapanya, Khir Ghazali, berpendapat sebaliknya. Hanya Puan Masnah, ibu Aiman, yang menyokong pendirian Aiman, tetapi bagaimanakah kesudahannnya?

Friday, December 12, 2014

BUDAK SBP MELAWAT JEPUN (MEMORABLE MOMENTS ABROAD)

Peribahasa mengatakan jauh berjalan luas pandangan. Islam juga menggalakkan pengembaraan yang bertujuan meningkatkan ketaqwaan diri menerusi tanda-tanda kebesaran Ilahi sama ada pemandangan alam sekitar yang mempersona atau tinggalan sejarah yang merakam pertarungan antara yang haq dengan yang batil. Maka, individu atau keluarga yang memiliki keupayaan kewangan, seelok-eloknya telah menyediakan perbelanjaan untuk perbelanjaan menunaikan fardu haji, boleh merancang perjalanan ke negara-negara yang lain pula.

Antara destinasi menarik perjalanan yang banyak mendatangkan manfaat ialah negara maju yang membudayakan disiplin yang tinggi dalam kalangan masyarakat mereka. Iltizam mereka terhadap keutuhan (integriti) dan kecekapan menjadi jawapan terhadap kemajuan yang dikecapi. Pengamatan secara peribadi di sana sudah pasti memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat berguna untuk diteladani sebaik mungkin.
matahari terbenam berhampiran Gunung Fuji

Jepun ialah sebuah negara maju yang disegani setelah menempuh jatuh bangun perjalanan sejarah dari zaman Meiji, Shogun Tokugawa dan kini demokrasi acuan Amerika Syarikat. Negara yang juga terkenal dengan jolokan negara matahari terbit itu menawarkan tempat pelancongan yang menakjubkan. Selain Gunung Fuji, lawatan ke taman tema Disney, muzium istana Osaka dan menara Tokyo sudah pasti meninggalkan kenangan manis apabila pulang ke tanah air.

Di sebalik kemajuan kebendaan yang pada zahirnya sangat mengujakan, sisi kehidupan kekeluargaan masyarakat Jepun agak menarik untuk dikaji. Kaum lelaki yang begitu kuat bekerja sehingga kurang memberi perhatian kepada keluarga sebenarnya tidak begitu disenangi oleh para isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa apabila memasuki gerbang perkahwinan. Seperti Korea Selatan yang pernah ditawan oleh Jepun sebelum perang dunia kedua dahulu, kedudukan kaum hawa masih tertakluk kepada tradisi maskulin sebagaimana kebanyakan negara Asia yang lain.
menggayakan busana istana silam pemerintahan Meiji
 kena sewa 300 yen setiap persalinan

Pada 4 hingga 12 Disember yang lalu, sejumlah 20 orang pelajar sekolah berasrama penuh di Perak yang mengikuti kelas bahasa Jepun telah memiliki kesempatan untuk merasai sendiri pengalaman persekitaran penutur jati di sana. Mereka berlepas dengan pesawat MH 53 dari lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur dan mendarat di Narita.

...
Gundam yang berjaya dijual ke serata dunia

...

...

KISAH DI JALAN MASJID INDIA (WHEN ACTION SPEAKS LOUDER)

I   Dalam perjalanan ke masjid India

Peniaga jalanan (tanpa lesen) memaki hamun seorang wanita 50-an yang terlanggar barang jualannya yang menghalang laluan pejalan kaki

II  Usai Solat Jumaat

     Orang ramai beratur panjang apabila seorang dermawan (mirip pemilik Jakel) bersedekah RM5

      Peminta sedekah warga asing berkeliaran

III  Seorang Pak Arab berjubah menendang troli seoarang Bangla di belakangnya tanpa menoleh kerana berang dengan ungkapan excuse me. Sebaliknya wanita kulit putih yang sedang mendorong stroller anaknya mengucapkan sorry setelah diberi izin laluan (macam bahasa bahas ala-parlimen)

IV  Di hadapan balai berlepas KLIA

Seorang pemandu teksi menyerang warga Afrika kerana van yang dipandu kena hentam dari sebelah kiri akibat kereta sewa warga Afrika keluar dari tempat letak kereta secara mengejut.


...

...

...


...

Thursday, December 11, 2014

PERCATURAN TAKTIKAL DOLAH SALLEH MENJADI, MALAYSIA KE AKHIR AFF (COMBINATION OF EXPERIENCE AND SPEED)

Tahniah kepada skuad Harimau Malaya kerana berjaya memadam kelebihan Vietnam di laman mereka sendiri sebentar tadi. Gol awal menerusi tendangan penalti Safiq Rahim pada minit ketiga memberikan peluang yang seimbang kepada kedua-dua pasukan kerana Vietnam sudah tidak boleh lagi bergantung kepada peraturan jaringan di tempat lawan ketika menang 2-1 di Shah Alam Khamis lalu. Mat Yo (Nor Shahrul Idlan Talaha) juga pada akhirnya menamatkan kemarau gol peribadi apabila mampu mencetak gol menarik pada minit ke-16.

Strategi merehatkan penjaga gol utama, Apek (Khairul Fahmi) dan Mahalli Jasuli, pemain pertahanan yang gemar meninggalkan posisi sebenar ternyata mampu mengurangkan kesilapan bagi menahan asakan bertali arus skuad tuan rumah. Disiplin dan komunikasi benteng skuad negara kelihatan lebih baik serta teratur. Kemasukan semula kapten pasukan, Shukor Adan dan penyerang veteran prolifik, Amri Yahyah menjadi tonik untuk mengkucar-kacirkan formasi gerakan pasukan Vietnam yang menaruh keyakinan untuk layak ke saingan akhir menentang Thailand.

Debaran perlawanan memasuki fasa baharu apabila giliran Vietnam pula dihadiahi sepakan penalti pada minit ke-22. Le Cong Vinh yang menggalas harapan penyokong yang memenuhi Stadium Nasional di Hanoi tidak menghampakan mereka. Namun, kelegaan tuan rumah hanya seketika apabila tujuh minit kemudian Dinh Tien Thanh tertendang bola ke gawang sendiri hasil tekanan barisan hadapan Malaysia.

Shukor Adan menambah keceriaan kem negara apabila menanduk masuk bola tendangan sudut pada minit ke-43. Menyedari bahawa Vietnam sudah terdesak, Malaysia mengamalkan corak permainan bertahan dalam separuh masa kedua. Tambahan pula, sebahagian pemain Malaysia sudah kurang angin dan harus menyimpan tenaga untuk aksi akhir yang dijadualkan pada hari Rabu berikutnya di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Taktik berkubu di kawasan sendiri mendedahkan pintu gol Malaysia sentiasa berisiko tinggi untuk dibolosi. Sayang sekali kerana pemain Malaysia begitu cepat membuang bola tanpa arah tujuan menyebabkan kawalan menjadi milik lawan sepenuhnya. Jurulatih perlu mengulang kaji kelemahan sedemikian apabila berhadapan dengan pemain-pemain muda Thai yang lebih bertenaga.

Nasib baik Vietnam hanya berhasil memperoleh satu gol tambahan menerusi Le Cong Vinh sekali lagi pada minit ke-79. Mungkin Harimau Malaya patut membuat hantaran pendek di bahagian tengah padang, bukan membiarkan lawan bermaharajalela berdekatan kotak penalti. Perlawanan berakhir dengan keputusan jaringan 4-2, iaitu kemenangan mutlak secara agregat 5-4 buat Malaysia.

...

...

Wednesday, December 10, 2014

Tuesday, December 9, 2014

BILANGAN JUTAWAN DI KUALA LUMPUR TERTINGGI DI DUNIA (BIG PUSH AND TRICKLING DOWN)

Ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur (KL) dilaporkan mencatat bilangan jutawan menghampiri angka 14,000 orang. Wealthnsight, sebuah firma penyelidikan antarabangsa juga menyebut bahawa jumlah berkenaan melebihi separuh daripada 26,105 orang jutawan Malaysia pada tahun 2013. Dalam tempoh empat tahun sahaja lagi, angka berkenaan dijangka melonjak kepada 30,054 orang (klik di sini).

Penarafan jutawan yang dilakukan adalah dalam ukuran dolar Amerika Syarikat (USD). Belakangan ini Ringgit Malaysia (RM) mengalami kejatuhan nilai, iaitu sekitar USD1 = RM2.40 +. Dalam jangka pendek, kejatuhan RM memberi keuntungan kepada sektor eksport dan pelancongan, tetapi tidak boleh dibiarkan terus merudum dalam jangka panjang.

Tom Carlisle yang menganalisis data Wealthnsight berkenaan dipetik sebagai berkata bahawa antara faktor kemunculan jutawan KL ialah kemajuan Malaysia sebagai peneraju dan hub sistem kewangan Islam, di samping kepesatan sektor hartanah dan pembinaan. Jutawan KL juga didapati banyak membuat pelaburan potfolio kewangan yang kukuh di rantau Asia Pasifik.

...

...

...

...

...

Monday, December 8, 2014

PINJAMAN PERUMAHAN KALI KEDUA BAGI KAKITANGAN AWAM (PRIVILEGE WITHOUT PREJUDICE)

Mendiami kuarters kerajaan atau menyewa rumah dalam tempoh yang panjang bukanlah suatu idea yang baik. Maka, apabila syarat kelayakan pinjaman sudah dipenuhi eloklah cepat-cepat membeli rumah daripada pemaju atau membina rumah di atas tapak tanah sendiri. Penyewa terdedah kepada risiko notis pindah atau tuan punya rumah mungkin mempunyai rancangan yang lain.

Pinjaman perumahan kakitangan kerajaan diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan (Kementerian Kewangan Malaysia, klik di sini). Kalau berkesempatan, boleh terus ke ibu pejabat bahagian berkenaan di Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Pegawai dan kakitangan kaunter yang bertugas bersedia melayan kemusykilan yang diajukan tanpa mengambil masa yang panjang.

Harga rumah tetap melambung tinggi dengan pelbagai alasan kos walaupun harga minyak dunia terus menunjukkan arah aliran menurun. Harga seunit rumah teres satu tingkat boleh mencecah RM250,000 manakala teres dua tingkat menghampiri RM400,000. Jika bernasib baik dapat membeli rumah lelong atau menerusi Mudah.com mungkin boleh membida rumah berkembar atau banglo dengan harga yang lebih rendah daripada itu.

Pembelian rumah daripada pemaju menjadi pilihan kerana proses pinjaman dan urusan bayaran lebih mudah berbanding dengan membeli rumah terpakai atau membina rumah di atas lot tanah sendiri. Hanya wang pendahuluan diperlukan bagi menempah unit yang dikehendaki, di samping melantik peguam yang akan membantu urusan seterusnya. Secara mudah, hitungan bayaran balik bulan (secara konservatif) ialah jumlah ribu yang dipinjam darab dengan 5.6.

Contohnya, pinjaman sejumlah RM300,000:  300 X 5.6 = RM1,660 sebulan termasuk harga takaful sebagai perlindungan risiko andainya peminjam menyahut panggilan Ilahi sebelum tamat tempoh bayaran balik. Waris yang dinamakan akan memperoleh hak milik rumah berkenaan tanpa perlu melangsaikan bayaran justeru ditanggung oleh pihak takaful. Pada kebiasaannya, kelayakan pinjaman ditentukan berdasarkan jumlah bayaran balik yang tidak melebihi 40 peratus gaji pokok peminjam (baca lebih lanjut di sini).

Dalam contoh di atas, gaji pokok kakitangan awam yang meminjam sepatutnya lebih kurang RM3,500 sebulan. Tujuannya supaya kakitangan awam tidak menanggung beban hutang yang berat sehingga bercanggah dengan tatatertib perkhidmatan. Maka, peminjam boleh merancang sumber-sumber lain jika berhajat memilik rumah idaman yang melebihi kelayakan pinjaman.

Andai kata, setelah menikmati kenaikan pangkat dan emolumen yang tinggi, seseorang penjawat awam teringin pula menaik taraf kediaman rumah teres kepada banglo yang dibina di atas lot tanah sendiri. Jika kakitangan itu hendak memohon pinjaman kedua, terlebih dahulu dia kena melunaskan semua baki pinjaman perumahan kali pertama secara sekali gus (lump-sum). Hitungan rebat yang muktamad boleh diperoleh terus dari Bahagian Pinjaman Perumahan dengan menulis surat permohonan rasmi kepada mereka.

Setelah proses bayaran selesai, langkah seterusnya ialah memeriksa jumlah pinjaman kedua yang layak dinikmati. Hitungannya memang berbeza kerana gaji pokok semasa dan tarikh bersara akan diambil kira. Jumlah kelayakan pinjaman ialah berdasarkan 60 peratus gaji pokok semasa, serta tertakluk kepada syarat bayaran balik bulanan yang tidak melebihi 40 peratus tadi.

Permohonan perlu dibuat secara atas talian, tetapi salinan bercetak yang mendapat perakuan ketua jabatan kena dihantar kemudian. Dokumen sokongan tentang pelan rumah yang beroleh kelulusan pihak berkuasa tempatan, profil kontraktor pembinaan yang dilantik dan lain-lain hendaklah ditandatangani oleh peguam pemohon. Anggaran belanja upah melukis pelan RM8,000, peguam RM15,000 dan lain-lain memang sudah disediakan lebih awal sebelum memohon pinjaman.

Rumah ialah keperluan asas sama seperti makanan, pakaian dan pengangkutan. Suatu dasar tegas yang melindungi kebajikan pembeli, khususnya harga yang lebih munasabah, serta menghukum pemaju yang mengaut keuntungan melebihi had yang dibenarkan wajar digubal segera. Suruhanjaya khas yang mengawal selia hal perumahan sebagaimana Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang pernah mendenda MAS dan Air Asia barangkali boleh ditubuhkan segera ...