SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 13, 2009

BAHARIN KHAMIS: BENTENG BOLA SEPAK NEGARA ERA KEGEMILANGAN (FORMER MALAYSIAN SOCCER KEY DEFENCE PLAYER TOLD THE UNPUBLISHED STORY)


Dekad 1970-an boleh dianggap sebagai era gemilang bola sepak negara. Pada dekad itulah, Malaysia layak ke Olimpik sebanyak dua kali (Munich, 1972 dan Moscow 1980), di samping memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia di Tehran (1974). Menerusi kepimpinan berkarisma Dato’ Haron Idris (Allahyarham bekas Menteri Besar Selangor), Baharin Khamis dari Perak muncul sebagai benteng pertahanan Malaysia yang sukar ditembusi lawan.


Baharin mewakili Malaysia antara 1965 hingga 1977. Dalam perlawanan kelayakan Olimpik 1972 di Seoul, Malaysia berjaya membenam cabaran tuan rumah, Korea Selatan 1-0, selain mudah mengetepikan Jepun 3-0. Semua gol ialah hasil jaringan Syed Ahmad, seorang legenda bola sepak negara yang pernah berhadapan kontroversi.

Sukan Olimpik Munich, Jerman Barat yang turut diingati kerana peristiwa serangan ke atas atlet Yahudi, meletakkan skuad negara bersama-sama pasukan tuan rumah, Amerika Syarikat dan Maghribi. Dalam perlawanan pembukaan yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen hitam putih ketika itu, Malaysia berjaya mengikat Jerman Barat dengan kedudukan 0-0 selama 60 minit sebelum bolos 0-3. 

Kelibat Syed Ahmad sudah tiada kerana digugurkan. Tonggak serangan dibarisi oleh Shaharuddin Abdullah, Abdullah Ali (pakar tendangan sudut melengkung, inswinger) dan Salleh Ibrahim. Jerman Barat diketuai oleh Uli Honess, seorang pemain profesional Jerman. Pemain Malaysia yang lain ialah Wong Kam Fook (penjaga gol), Namat Abdullah, Shukur Abdullah, dan Soh Chin Aun (kini Dato').

Perlawanan menentang Amerika Syarikat hanya bersiaran langsung menerusi radio. Ketika itu, Amerika Syarikat baru berjinak-jinak dengan bola sepak. Malaysia mengambil kesempatan membudak-budakkan Amerika Syarikat dengan jaringan 3-0.

Malaysia hanya memerlukan seri dengan Maghribi untuk mara ke suku akhir. Maghribi sebelumnya sekadar mampu seri 0-0 dengan Amerika Syarikat selain tewas 0-3 di tangan Jerman Barat. Namun, impian itu hampa apabila Malaysia dikejutkan dengan jaringan 0-6 oleh pasukan dari rantau Medditerranean itu.

Selepas era profesional meluas, barulah umur pemain bola sepak Olimpik dihadkan kepada 23 tahun ke bawah. Baharin Khamis merasai pengalaman bermain di Stadium Olimpik Munich. Berada di perkampungan Olimpik bersama-sama jagoan dunia pelbagai acara tidak mungkin luput daripada kenangan beliau.

Selain itu, pengalaman bertanding di Sukan Asia Tehran begitu mendebarkan. Malaysia tewas di tangan Israel 3-8 dan perlu menewaskan Filipina dengan 9-0. Namun, Malaysia berjaya menghadiahi Filipina dengan 11-0, satu rekod yang sukar diatasi hingga kini.

Malaysia tewas 0-1 di tangan Iran  pada peringkat separuh akhir, sebelum menumpaskan Korea Utara 3-2 dalam penentuan pingat gangsa. Baharin Khamis dan Syed Ahmad ialah dua pemain utama ketika itu. Mokhtar Dahari turut serta dalam skuad Sukan Asia itu.

Baharin Khamis memberitahu penulis blog (PB) bahawa elaun harian pemain bola sepak negara era 1970-an hanyalah RM 50 sehari, tetapi peluang menyarung jersi negara tetap menjadi kebanggaan. Baharin pernah menyertai skuad negara menentang Vietnam di sana ketika gerila Vietcong masih giat melancarkan serangan hendap di tempat awam. Helikopter berlegar di ruang udara stadium untuk memantau keadaan dan akan memberi isyarat 'berlindung' jika keadaan memaksa. Dalam keadaan 'kecut perut', permainan diteruskan.


Pada ketika yang lain, Baharin Khamis bersama-sama skuad negara yang baru pulang daripada kejohanan Piala Raja Thai terpaksa berkurung di Wisma FAM di Kerinchi pada 12 Mei 1969. Mujurlah tragedi berdarah 13 Mei dapat dikawal dengan cepat daripada merebak. Sebagai saksi peristiwa berkenaan, beliau bersyukur bahawa pada hari ini masyarakat kita telah banyak belajar daripada sejarah itu.


Ada banyak lagi cerita yang Baharin Khamis kongsikan dengan PB dan rakan yang lain. Antaranya, kejayaan beliau menyekat pergerakan empat pemain 'lipas kudung' Indonesia selepas diberi kata dua akan dipotong elaun jika gagal. Allahyarham Dato' Haron Idris memang seorang pengurus skuad kebangsaan yang bijak!


Baharin Khamis turut membuka cerita tentang taktik pemain di tengah padang ketika itu, tetapi memohon untuk off record. Pasukan lawan yang paling 'menyakitkan hati' ialah Korea Selatan dengan taktik melambat-lambatkan permainan seperti dengan sengaja menjatuhkan badan apabila sedang mendahului. Peraturan kad merah untuk itu belum lagi diwartakan.


Kata-kata Baharin Khamis bahawa dahulu beliau sering balik kampung menjenguk orang tua sudah berlalu justeru beliau pula mengambil giliran sebagai 'orang tua' begitu menyentuh perasaan. Baharin Khamis pernah menggalas tugas sebagai jurulatih Piala Malaysia skuad 'Seladang' (negeri Perak). Maka, PB berpendapat bahawa kisah individu berjasa seperti Baharin Khamis patut dibukukan untuk pedoman  dan tatapan generasi akan datang...




Wednesday, November 11, 2009

BADMINTON PERSAHABATAN: KILAS TANGKIS 2, RAPAT SETIA 5 (THE NEW LOOKS OF SMI'S KILAS TANGKIS CLUB AGAINST RAPAT SETIA GROUP)

Ipoh, Selasa 10 November 2009 / 22 Zulkaedah 1430

Kelab Kilas Tangkis yang bernaung dengan Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) meneruskan siri perlawanan persahabatan buat kesekian kalinya. Kali ini dengan kumpulan Rapat Setia. Tampil dengan "jersi" baru, nyata pemain Kilas Tangkis bagaikan dirasuk semangat melawan yang meluap-luap.



Pasangan Azmi - Shahrul memberi amaran awal apabila menumpaskan beregu lawan dengan kiraan 21 - 6. Setiap perlawanan dibuat dalam satu set sahaja, namun melibatkan pertukaran servis untuk meraih mata, dan ada servis kedua. Maka, cabaran getir berdasarkan format campuran lama dan baharu ini ialah ketahanan stamina dan mental daripada melakukan kesilapan yang bakal dihukum beregu lawan.


Kehebatan Azmi - Shahrul dituruti oleh Maulid - Prakas yang menang dengan bergaya, 21 - 16. Namun, mereka dipaksa bekerja keras oleh pihak lawan yang lebih senior. Sebagai orang muda, kedua-dua pemain Kilas Tangkis ini menggunakan rejaman padu (smash), hantaran silang dan pukulan pancung yang sukar dijawab. Nampaknya kombinasi Maulid - Prakas memang serasi.


Tetapi sayang seribu kali sayang. Lima lagi beregu Kilas Tangkis terpaksa akur dengan nasib masing-masing. Empat daripada pasangan beregu berkenaan memberikan saingan sengit hingga suku ketiga permainan. Namun, bagaikan dipukau mereka tidak cukup "angin" untuk mengakhiri skrip permainan dengan kemenangan. Mereka ialah Shakir - Tiong, Sohot - Zulkarnain, Ravi - Zulkifli, dan Chin - Shahruzzaman. Mereka bagaikan tergamam di penghujung saingan.


Beregu ketujuh gandingan Azhar - Ibrahim nyata bukan tandingan beregu terakhir Rapat Setia. Kesukaran bermain di gelanggang simen dan lampu sisi nampaknya mengganggu rentak Ibrahim yang kebiasaannya bermain secara agresif. Usai perlawanan ini, pemain kedua-dua pasukan beredar ke medan selera bersebelahan Dewan Serbaguna Rapat Setia untuk menikmati hidangan "ringan" tuan rumah.


Kedua-dua pasukan becadang untuk mengadakan perlawanan ulangan. Kalah menang ialah perkara "kedua". Kilas Tangkis akan mencongak strategi seterusnya bagi mencipta kemenangan pertama. Insya-Allah...

Friday, November 6, 2009

KARNIVAL JUALAN DI SK SERI AMPANG (JUMBLE SALE TO GENERATE FUND FOR ELEMENTARY SCHOOL)

Ipoh, Sabtu: 7 November 2009 / 19 Zulkaedah 1430

Pembiayaan sekolah di Malaysia masih mengamalkan sistem berpusat. Walaupun konsep pengurusan berasaskan sekolah beransur-ansur diperkenalkan dengan pemberian taraf Pusat Tanggungjawab (PTJ) kepada sekolah-sekolah terpilih, geran dan waran peruntukan per kapita murid datangnya daripada Perbendaharaan (Kementerian Kewangan). Namun, dana yang disalurkan itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan, Tatacara Kewangan Sekolah dan pekeliling lain yang sedang berkuat kuasa.


Jika sesebuah sekolah berhasrat untuk melaksanakan projek atau program yang tidak boleh menggunakan peruntukan kerajaan, sumber lain harus dicari. Pihak sekolah perlu terlebih dahulu menyediakan kertas cadangan untuk kelulusan mengutip wang daripada orang awam dengan mematuhi syarat yang tertentu. Pengetua dan Guru Besar perlu memastikan pengurusan dan perakaunan sesuatu aktiviti yang boleh menjana kewangan dikawal dengan cekap dan wajar.


Sekolah Kebangsaan Seri Ampang (SKSA) yang terletak di Jalan Raja Musa Mahdi (dahulunya Jalan Dairy), lapan kilometer dari pusat bandaraya Ipoh mengadakan karnival jualan bagi melengkapkan kemudahan pembelajaran, khususnya prasarana teknologi maklumat. Di bawah kepimpinan YM Raja Zainal Abidin, salah satu niche area SKSA ialah sekolah elektronik. Kini, ibu bapa boleh mengakses kandungan buku rekod mengajar guru menerusi laman sesawang rasmi SKSA.


Selain hebahan program menerusi murid dan kakitangan, SKSA juga membuat publisiti menerusi Perak FM dan akhbar Sinar Harian edisi Perak. Sambutan masyarakat setempat begitu menggalakkan. Penyertaan agensi, kerajaan, swasta dan peniaga juga ternyata sekali memeriahkan karnival.

Penganjuran program karnival ini bukanlah semudah menguruskan tapak pasar malam. Pihak sekolah perlu membuat perancangan teliti dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan seperti tempat letak kereta, protokol, seranta, sistem siar raya dan penyelarasan. Kupon yang dijual juga harus ada ciri keselamatan yang unik supaya tidak mudah di"klon" oleh si durjana.

Hubungan baik pihak sekolah dengan PIBG dan pemimpin masyarakat setempat amatlah penting demi kelangsungan sesuatu aktiviti atau proram seumpama karnival SKSA. Sebagai sekolah yang pernah dinobatkan sebagai Sekolah Harapan Negara, SKSA yang dirintis tidak sampai 20 tahun (Encik Abdul Rahim Abdullah Azizi, sahabat PB sebagai caretaker memulakan penubuhan SKSA, kini di JPN Perak), pemimpin SKSA telah berjaya melonjakkan sekolah hingga dapat menyaingi sekolah pilihan ibu bapa seperti SK Sungai Rokam yang sudah lama bertapak. Pencapaian UPSR yang bakal diumumkan minggu hadapan sedikit sebanyak akan menjadi kayu ukur kecemerlangan SKSA.

Antara teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 - 2010 ialah memperkasa sekolah kebangsaan (maksudnya SK dan SMK) bertujuan mengubah komposisi enrolmen yang didominasi oleh murid Melayu kepada gambaran sebenar masyarakat Malaysia. Tawaran kemudahan pembelajaran yang lebih canggih dan pensiswazahan guru SK diharapkan dapat menjadi daya tarikan. SKSA menggalas tugas berat kerana jirannya, sebuah SJKC berjaya merebut majoriti murid Cina dengan citra bahasa ibunda mereka.

Walaupun timbul saranan sekolah satu aliran dan sekolah wawasan, pelaksanaannya dijangka mengambil masa dua tiga dekad lagi. Pihak berkuasa pendidikan juga perlu menangani isu-isu pendidikan yang agak sensitif justeru berkaitan dengan sejarah, kebudayaan, warisan dan keagamaan. Buat masa ini usaha integrasi murid dilakukan menerusi program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan), di samping menjenamakan semula mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan.

Berbalik kepada karnival SKSA. Di samping jualan, pihak penganjur juga menyediakan pameran mini, dan pertandingan mewarna. Namun, disebabkan lokasi kedua-dua acara agak tersudut, jumlah pengunjung agak sederhana. Mungkin gimik boleh dibuat di pintu masuk utama untuk menarik perhatian pengunjung. Peraduan tentang maklumat pameran juga mungkin boleh difikirkan untuk karnival yang seumpamanya.

Keadaan cuaca cerah telah melancarkan segala aktiviti. Ahli jawatankuasa yang sentiasa bergerak dari lokasi ke lokasi telah banyak membantu peniaga dan pengunjung mendapatkan maklumat yang diperlukan. Syabas SKSA, semoga terus memuncak di persada kecemerlangan. Insya-Allah...


PERSEDIAAN CALON SPM SAINS SMI DITERUSKAN (MICHAELIAN SPM SCIENCE'S CANDIDATES ATTENDED BAHASA TALK)

Ipoh, Jumaat: 6 November 2009 / 18 Zulkaedah 1430

Kehadiran murid tingkatan 5 masih baik. Buktinya, seminar perancangan jawapan Bahasa Melayu 2 SPM masih mendapat perhatian dan sambutan. Program dua jam anjuran bersama Panitia Bahasa Melayu dan Unit Kaunseling itu berlangsung di Dewan Kuliah Utama SMI.


Slot pertama disisi oleh Encik Ravi, Ketua Unit Kaunseling yang memberi pengukuhan tentang motivasi kendiri menjelang detik SPM dan laluan pengajian tinggi selepas SPM. Encik Ravi mengambil masa kira-kira setengah jam bagi melayan kemusykilan yang diajukan oleh murid. Beliau memang disenangi dan sering diserbu sebaik sahaja keputusan sesuatu peperiksaan awam diumumkan.


Penulis blog (PB) diamanahkan untuk menyampaikan kaedah perancangan jawapan Bahasa Melayu 2 SPM. Bagi memudahkan perbincangan, semua murid dibekalkan dengan satu set kertas spesimen SPM. Tayangan slaid power point juga digunakan supaya penceramah dan khalayak dapat terus fokus terhadap pencapaian objektif program dalam tempoh masa yang sangat terhad.

PB menekankan tentang pentingnya keakuran terhadap dasar penulisan jawapan bagi setiap bahagian dalam kertas soalan. Murid diingatkan supaya tidak terlalu mengharapkan kelonggaran yang tinggi risikonya. Semuanya telah dijelaskan oleh guru semasa proses pembelajaran harian di bilik darjah.

PB mencadangkan supaya calon menulis rumusan dalam empat perenggan, setiap satunya mewakili pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan penutup. Pendahuluan ditulis dalam satu ayat dengan mencantumkan "Petikan tentang / membincangkan.. dengan kata tugas yang digantikan dengan perkataan setara, dan ganti juga satu dua kata / frasa penerangan jika perlu. Bahagian ayat soalan yang diambil kira ialah tugasan isi tersurat sahaja.


Bagi penulisan isi tersurat, PB menyarankan kaedah potong dan tampal, bukannya salin dan tampal. Huraian dan contoh hendaklah digugurkan. Walaupun hanya enam isi tersurat yang dikehendaki, calon boleh menulis isi tersurat ketujuh sebagai simpanan, asalkan sentiasa membuat kawalan terhadap jumlah perkataan (catat dalam bahagian margin kiri).

Isi tersirat pula tidak semestinya idea canggih. Cukuplah sekadar menulis isi yang biasa dan sederhana, tetapi dapat dibuat generalisasi idea berdasarkan pihak yang berlainan. Sebagai misalan, pihak kerajaan, pihak media dan pihak pertubuhan (sekolah / belia). Jika pihak telah ditetapkan, tulis isi daripada tahap biasa hingga ke tahap ekstrem: contohnya kursus/seminar/kempen --> pemantauan --> penguatkuasaan undang-undang --> pendakwaan di mahkamah.

Ayat penutup hendaklah dimulai dengan Kesimpulannya,... +  cadangan yang dikaitkan dengan tugasan + supaya... (harapan / kesan cadangan). Tulis kesimpulan dalam satu ayat sahaja, dan pastikan apabila sampai noktah, masih dalam lingkungan 120 patah perkataan.

Bagi soalan pemahaman dan novel, PB menyarankan calon mengenal pasti aras soalan terlebih dahulu, sama ada: soalan petikan, soalan kbkk, atau soalan komsas. Jawapan bagi soalan petikan juga disarankan menggunakan kaedah potong dan tampal (daripada ayat soalan + isi petikan); soalan kbkk diklasifikasikan dengan pelbagai pihak; dan soalan komsas mesti jelas dari segi cara menulis isi dan huraiannya. Isi dan huraian hendaklah dipisahkan dalam dua ayat yang berasingan.


Konsep huraian bukan bererti menulis secara berjela-jela. Jika sudah ada elemen selain subjek dan predikat sudah dikira huraian. Misalnya: Untuk menjadi ahli sukan yang berjaya, saya akan mengamalkan disiplin diri supaya tidak mudah hilang tumpuan dalam latihan. Bahagian ayat selepas supaya itu ialah huraian.

Bagi jawapan novel, huraian ditulis berdasarkan bukti peristiwa yang menyokong isi yang dikemukakan. Mungkin satu ayat isi dan dua ayat huraian sudah memadai. (bagi setiap isi yang diberi). Tidak perlu berpanjang lebar.

Bahagian tatabahasa menguji kemahiran morfologi, sintaksis, hukum tatabahasa, kosa kata dan peribahasa. Sekali lagi PB menegaskan supaya jawapan ditumpukan ke arah memenuhi kehendak tugasan daripada memikirkan idea canggih-manggih yang memakan masa. Kaedah penulisan jawapan bagi setiap pecahan soalan tatabahasa yang berkemungkinan turut dibincangkan.

Walaupun masa perbincangan begitu terhad, PB sempat berinteraksi dengan murid 5 Sains 2, 3, 4 5 dan 6 yang hadir. Antara soalan yang ditanyakan ialah konsep huraian yang PB kemukakan. Masih ragu-ragu?

Sesi perancangan menulis jawapan Bahasa Melayu 2 berakhir pada pukul 10 pagi. PB mengharapkan calon SPM 2009 yang hadir lebih berkeyakinan menduduki kertas berkenaan pada pukul 2.00 - 4.30 petang, tanggal 18 November (dua minggu lagi). Semoga kalian berjaya dalam peperiksaan SPM dan cemerlang dalam meniti perjalanan hidup seterusnya... Insya-Allah.




Wednesday, November 4, 2009

PENGAKAP KELANA SMI BINA MENARA (MICHAELIAN ROVER SCOUT'S FOUR MEN TOWER PROJECT)

Ipoh, Rabu: 4 November 2009 / 16 Zulkaedah 1430

Setelah tamat menduduki peperiksaan akhir tahun, pelajar Tingkatan 6 Rendah meneruskan aktiviti kokurikulum. Pertemuan petang ini ialah yang kedua terakhir bagi tahun 2009. Pasukan Pengakap Kelana SMI (Kinta 02) memberi peluang kepada anggotanya memperoleh kecekapan membina menara 4-orang yang kukuh dan selamat.


Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyusun empat batang tiang yang perlu diikat kemas sebagai rangka asas menara. Setelah mengaplikasikan kaedah ikatan yang dipelajari sebelum ini, rangka menara ditegakkan pada tapak yang sesuai. Langkah seterusnya ialah membina pelantar yang memungkinkan anggota pengakap mendaki menara hingga ke puncak. Ujian ketahanan pelantar turut dilakukan.


Menara asas itu boleh ditambah dengan meja dan kerusi yang diikat daripada pelantar. Maka, menara itu dapat digunakan sebagai tapak tinjau ketika perkhemahan di kawasan berisiko, atau sebagai tempat jamuan dan mesyuarat.  Jika ada keperluan, menara 4-orang itu boleh ditinggikan lagi kepada menara 12-orang.


Secara fizikal, anggota pengakap kelana dapat mempelajari bahawa dengan teknik susunan tiang dan pelantar, serta kaedah ikatan tali yang kemas, kayu dan tali yang pada asalnya hanya diletak di dalam stor berubah menjadi menara yang kukuh. Kayu dan tali yang ringan itu dapat menampung beban sehingga 500 kilogram. Hal ini menunjukkan bahawa pasukan pengakap mampu memanipulasikan sumber paling asas daripada persekitaran untuk mencipta 'keajaiban'!


Anggota pengakap yang lebih hebat dapat menghubungkan aktiviti pembinaan menara  berkenaan terhadap rahsia ikatan dalam proses memperkasa masyarakat pada segenap peringkat. Sebagai misalan, jika pelajar tingkatan 6 berjaya menggabungkan sumber yang paling kecil sekalipun, pencapaian yang menakjubkan boleh dijana. Dengan itu, hasrat bagi mewujudkan kelompok modal insan yang berkualiti, berdaya saing dan inovatif akan segera menjadi kenyataan...



Tuesday, November 3, 2009

MAJLIS PERPISAHAN TINGKATAN 5 SMI (FAREWELL LUNCH FOR MICHAELIAN'S FIFTH FORM

Ipoh, Selasa: 3 November 2009 / 15 Zulkaedah 1430

Enrolmen murid tingkatan 5 SMI melebihi 350 orang. Analisis keputusan SPM 4 tahun belakangan (2004 - 2008) mencatat pencapaian sekitar 95 hingga 98 peratus. Sebagai sebuah sekolah harian bantuan modal, sekalipun diberi status sekolah kawalan, sekolah bestari dan sekolah lima bintang, pencapaian itu boleh dianggap baik, justeru dasar kenaikan automatik ke tingkatan empat sedikit sebanyak meletakkan cabaran getir kepada pihak sekolah untuk mensasarkan pencapaian yang hebat.


Dengan persekitaran bandar raya dan tarikan peluang kerja sambilan yang di depan mata, segelintir murid mula berbelah bahagi antara tumpuan pembelajaran dengan memiliki pendapatan sendiri. Di satu ekstrem yang lain pula, perasaan taksub kepada pusat tuisyen atau guru tuisyen persendirian mengakibatkan sekolah hanya seakan-akan tempat pertemuan sosial atau babby sitter bagi pelajar yang berlatar belakang keluarga berada. Kajian sekolah bandar di negara maju seperti Amerika Syarikat menunjukkan dapatan yang sama.


Di SMI, Unit Bimbingan dan Kaunseling yang diketuai oleh Encik Ravi, bersama-sama tiga guru kaunselor pelajar sepenuh masa (Encik Omar, Puan Adhariah dan Puan Nurul) menggalas tugas berat untuk menolong murid menerokai potensi diri, selain memanfaatkan segala sumber kepakaran guru secara optimum.Salah satu program wajib yang dilaksanakan saban tahun ialah majlis perpisahan murid tingkatan 5. Selain menyuntik motivasi saat akhir, murid diraikan dengan jamuan tengah hari yang cukup istimewa!

Ketika berucap dalam majlis itu, pengetua mengharapkan kohort murid tingkatan 5 tahun 2009 akan menunjukkan pencapaian yang cemerlang walaupun menyedari wujudnya unsur devian dalam kalangan segelintir kecil murid.  Beliau turut memberi contoh beberapa orang Michaelian yang hebat dan berbakti seantero dunia. Ucapan ringkas Encik Phoon berjaya menarik perhatian khalayak.

Turut melontarkan kata-kata perangsang ialah bekas Michaelian yang kini kembali ke SMI sebagai guru yang disegani. Mereka ialah Encik Peter Khiew dan Encik Waran.

Kolej universiti yang banyak membantu SMI juga dijemput memberikan taklimat peluang pembelajaran di IPTS sebagai pilihan kepada murid yang berminat ke arah itu.


Monday, November 2, 2009

KAPTEN HOKI MALAYSIA 1980-AN SAMPAIKAN HADIAH KOKURIKULUM (FORMER MALAYSIAN HOCKEY CAPTAIN PRESENTED MICHAELIAN'S CO-CURRICULAR AWARD)

Ipoh, Selasa; 3 November 2009 / 15 Zulkaedah 1430


Dengan reputasi selaku pemenang pingat gangsa kejohanan hoki Piala Dunia di Argentina 1978 (ketika berusia 20 tahun), pingat emas Sukan Sea (1981- Kuala Lumpur, 1983 - Singapura) dan pingat gangsa Sukan Asia, Bombay 1982, Foo Keat Seong muncul pada era gemilang hoki negara. Beliau mula menjadi kapten hoki negara sejak 1982 terus melakar kejayaan manis termasuk mengemudi jentera pasukan kebangsaan menduduki tangga keempat temasya Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan. Kini, beliau meneruskan sumbangan sebagai jurulatih.


Ketibaan Foo Keat Seong, Michaelian 1970-an disambut dengan perbarisan kehormat unit pakaian seragam SMI. Beliau kemudiannya diiring masuk ke dewan oleh pengetua. Sejurus itu, tayangan slaid pencapaian bekas jaguh hoki itu ditayangkan.

Bahagian pertama penyampaian sijil kepada sejumlah 58 orang pelajar SMI yang mencatat kehadiran penuh disempurnakan oleh pengetua. Setelah itu, Foo Keat Seong menyampaikan sijil dan hadiah kepada 17 orang pelajar yang mencatat pencapaian cemerlang kokurikulum 2009. Antara penerima ialah Siau Junyi yang memenangi emas acara menembak Sukma 25m air pistol.

Kriteria pemenang ialah pencapaian minimum peringkat negeri. Antara permainan yang menonjol ialah polo air, ragbi, tenis, bola keranjang dan skuasy. Tidak ketinggalan juga sukan ekstrem seperti mountain bike yang diwakili oleh Ahmad Amirul Hakim dari 5V1.

Hadir sama ialah jurulatih hoki terkenal, Len Olivero, yang juga bekas guru SMI, Encik Steven,  dan wakil PIBG (Harneak Singh, Stanley Fella Design). Seorang lagi pemain hoki negara, Mohamad Abdul Hadi tidak dapat hadir .

Sesungguhnya kegiatan kokurikulum ialah komponen penting dalam proses pembelajaran di sekolah. Sebagai pelengkap kecemerlangan akademik, kegiatan kokurikulum direka bentuk bagi memupuk pengalaman organisasi, kepimpinan, kepengikutan, kebajikan dan  komunikasi interpersonal. Negara memerlukan modal insan yang berdaya saing dan memiliki jati diri ke arah pencapaian masyarakat madani, serta status negara maju dengan acuan sendiri....

Sunday, November 1, 2009

DUA GURU SMI TUNAI HAJI (TWO TEACHERS TO PERFORM HAJJ)

Ipoh: Isnin, 2 November 2009 / 14 Zulkaedah 1430


Bertempat di Surau SMI, Badan Kebajikan Guru dan kakitangan Islam SMI (BERKAT) meraikan keberangkatan dua orang bakal jemaah haji tahun ini, iaitu Puan Rasidah Ismail (guru ekonomi) dan Puan Khamsiah Muda (guru BM). Majlis yang dipengerusikan oleh as-Sheikh Tuan Haji Ahmad Shakir dimulai dengan bacaan surah Yasin oleh sejumlah kira-kira 30 orang guru yang berkelapangan waktu, diketuai Ustaz Marhalim.


Seterusnya, Tuan Haji Tauhid Ahmad bin Haji Shamsuddin selaku penasihat Berkat sudi berkongsi pengalaman di tanah suci. Beliau menekankan hal keberkatan doa di sana dan menyatakan betapa jemaah perlu mengawal tutur kata, tingkah laku dan lintasan hati kerana segala-galanya mudah termakbul. Peristiwa yang dilalui oleh jemaah terdahulu elok dijadikan iktibar supaya pekerjaan haji dapat dilakukan dengan penuh tertib dan berjaya.

Puan Rasidah Ismail

Kedua-dua jemaah yang diberi peluang berucap turut meminta doa rakan dan seterusnya memohon maaf atas apa-apa jua kesalahan yang mungkin disedari ataupun sebaliknya. Puan Rasidah dan Puan Khamsiah juga mohon halal atas segala makan minum. Seperti impian semua jemaah haji, hanya haji mabrur jua yang diharapkan.

Puan Khamsiah Muda

Puan Rasidah dijadualkan berlepas pada 6 November di lapangan Terbang Kuala Terengganu, manakala Puan Khamsiah pada 15 November di KLIA. Kedua-dua orang guru ini sebenarnya berasal dari pantai timur, tetapi telah lama menetap di negeri Perak Darul Ridzuan.

 

Majlis yang bermula pukul 9.30 pagi itu berakhir sejam kemudiannya dengan jamuan ringan. Pihak Berkat turut menyampaikan "sumbangan" kecil sebagai tanda sokongan kepada kedua-dua bakal jemaah. Mudah-mudahan kedua-dua mereka sihat sejahtera dan selamat dalam segala pekerjaan haji, Insya-Allah...
 

ZUL LHDN UNGGULI BOWLING JEMPUTAN (NOVICE BOWLING INVITATION GAME: HOME INLAND STAFF WON)

Ipoh, 1 November 2009 / 13 Zulkaedah 1430

Oktober 2009 tinggal sejarah buat selama-lamanya. Kini, Insya-Allah, panjang umur murah rezeki sama-samalah kita meniti November dan seterusnya. Hanya dua bulan sahaja untuk 2009 melabuhkan tirainya dengan puing-puing kenangan buat kita jadikan renungan.

Penulis blog (PB) menerima tetamu dari Kuala Lumpur, seorang pemuda yang bertugas dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kedatangannya bukanlah untuk urusan cukai, sebaliknya untuk bertarung dengan PB dalam permainan bowling. Maka, bertempat di arena bowling Greentown Mall, mulai pukul 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari cabaran pun bermula. Di arena inilah Zul berjinak-jinak dengan dunia bowling sebelum bermain di arena Mutiara Bowl, Segambut dengan rakan.


Pertandingan dilakukan secara dua blok. Setiap blok mengandungi dua perlawanan. Permainan turut dimeriahkan dengan kehadiran pemain junior, Ahmad, 11.


PB berjaya mendominasi blok pertama dengan 219 jatuhan pin, meninggalkan Zul dengan 173 jatuhan pin. Ahmad pula mencatat 115 jatuhan pin.


Keadaan berubah dalam blok kedua apabila Zul menemui rentak permainan sehingga mencatat 299 jatuhan pin (125 + 174), manakala PB mengalami kemerosotan apabila hanya merekodkan 172 jatuhan pin (77 + 95). Ahmad menunjukkan peningkatan dengan 120 jatuhan pin (49 + 71).

Walaupun pencapaian ketiga-tiga pemain novis berkenaan masih rendah, justeru setiap permainan boleh mencapai 300 mata penuh (atau kalau dalam blok dua permainan = 600 mata), namun setiap pemaian berjaya memecahkan rekod peribadi masing-masing. PB mencatat 136 jatuhan pin, Zul: 174 dan Ahmad: 71.


Zul akan bertandang lagi ke Ipoh untuk mencatatkan jatuhan pin melebihi 200, katanya. Pengurus arena bowling Greentown yang ditemui mengatakan setakat ini belum ada pemain mencatat perfect game, tetapi ramai yang merekodkan 250 - 270 jatuhan pin di situ. Untuk mencatat 200 jatuhan pin sahaja memerlukan sekurang-kurangnya 5 strike, atau 4 strike dan 1 spare.

Bermain bowling memang menyeronokkan, tetapi ongkosnya juga selaju luncuran bola bowling yang menjatuhkan pin. Purata satu permainan membabitkan kos RM4 seorang (hujung minggu), atau RM 3 (hari biasa). Sewa kasut RM 3, atau percuma bergantung kepada jumlah bayaran permainan. Di Greentown, bayaran RM 30 ke atas boleh dicajkan menerusi kad kredit.

(Catatan permainan ujian badminton Jumaat, 30 Oktober yang melibatkan PB sahaja:
  PB - Maulid kalahkan Prakas - Shahruzzaman 17 - 14;
  PB - Maulid kalahkan Prakas - Aziz 15 - 11;
  PB - Shakir kalahkan Prakas - Shahruzzaman 15 - 5)

Thursday, October 29, 2009

KESELAMATAN DALAM AKTIVITI KOKURIKULUM DI SEKOLAH (THE APPLICATION OF SAFE SCHOOL CONCEPT IN THE CO-CURRICULAR ACTIVITIES)


Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran (organisation that nurture learning). Niat ibu bapa dan masyarakat menghantar anggota keluarga muda mereka ke sekolah antara lain berasaskan kepercayaan bahawa sekolah ialah tempat yang selamat dan anak mereka berada dalam kawalan sekumpulan profesional yang memiliki tahap kecekapan tugas yang tinggi. Bentuk serahan ini menjadikan guru menjalankan fungsi in loco parentis, suatu konsep undang-undang yang bererti bahawa guru seolah-olah mengambil alih peranan ibu bapa dalam lingkungan tertentu yang dibataskan pula oleh konsep duty of care, iaitu kewajipan berjaga-jaga.


Dalam Penyata Razak 1956, murid sekolah dirujuk sebagai "budak". Dari segi undang-undang pula, individu yang berusia 18 tahun dan ke bawah dikategorikan sebagai juvana. Maka, murid sekolah dari umur tadika hingga tingkatan lima digolongkan sebagai kanak-kanak walaupun memiliki ketinggian dan saiz badan yang mengatasi ibu bapa dan guru.


Pengaruh yang tersebar menerusi pelbagai medium dan gajet telekomunikasi telah mengakibatkan murid terdedah kepada pelbagai ragam tingkah laku. Segelintir murid yang bolos daripada kawalan institusi keluarga dan sekolah dipujuk untuk menjadi rekrut kepada kumpulan gangster dan kongsi gelap. Di United Kingdom, murid yang terbabit dengan jenayah berat boleh didakwa di mahkamah jenayah, bukan lagi mahkamah juvana.

Bersambung...