SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 6, 2009

PERSEDIAAN CALON SPM SAINS SMI DITERUSKAN (MICHAELIAN SPM SCIENCE'S CANDIDATES ATTENDED BAHASA TALK)

Ipoh, Jumaat: 6 November 2009 / 18 Zulkaedah 1430

Kehadiran murid tingkatan 5 masih baik. Buktinya, seminar perancangan jawapan Bahasa Melayu 2 SPM masih mendapat perhatian dan sambutan. Program dua jam anjuran bersama Panitia Bahasa Melayu dan Unit Kaunseling itu berlangsung di Dewan Kuliah Utama SMI.


Slot pertama disisi oleh Encik Ravi, Ketua Unit Kaunseling yang memberi pengukuhan tentang motivasi kendiri menjelang detik SPM dan laluan pengajian tinggi selepas SPM. Encik Ravi mengambil masa kira-kira setengah jam bagi melayan kemusykilan yang diajukan oleh murid. Beliau memang disenangi dan sering diserbu sebaik sahaja keputusan sesuatu peperiksaan awam diumumkan.


Penulis blog (PB) diamanahkan untuk menyampaikan kaedah perancangan jawapan Bahasa Melayu 2 SPM. Bagi memudahkan perbincangan, semua murid dibekalkan dengan satu set kertas spesimen SPM. Tayangan slaid power point juga digunakan supaya penceramah dan khalayak dapat terus fokus terhadap pencapaian objektif program dalam tempoh masa yang sangat terhad.

PB menekankan tentang pentingnya keakuran terhadap dasar penulisan jawapan bagi setiap bahagian dalam kertas soalan. Murid diingatkan supaya tidak terlalu mengharapkan kelonggaran yang tinggi risikonya. Semuanya telah dijelaskan oleh guru semasa proses pembelajaran harian di bilik darjah.

PB mencadangkan supaya calon menulis rumusan dalam empat perenggan, setiap satunya mewakili pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan penutup. Pendahuluan ditulis dalam satu ayat dengan mencantumkan "Petikan tentang / membincangkan.. dengan kata tugas yang digantikan dengan perkataan setara, dan ganti juga satu dua kata / frasa penerangan jika perlu. Bahagian ayat soalan yang diambil kira ialah tugasan isi tersurat sahaja.


Bagi penulisan isi tersurat, PB menyarankan kaedah potong dan tampal, bukannya salin dan tampal. Huraian dan contoh hendaklah digugurkan. Walaupun hanya enam isi tersurat yang dikehendaki, calon boleh menulis isi tersurat ketujuh sebagai simpanan, asalkan sentiasa membuat kawalan terhadap jumlah perkataan (catat dalam bahagian margin kiri).

Isi tersirat pula tidak semestinya idea canggih. Cukuplah sekadar menulis isi yang biasa dan sederhana, tetapi dapat dibuat generalisasi idea berdasarkan pihak yang berlainan. Sebagai misalan, pihak kerajaan, pihak media dan pihak pertubuhan (sekolah / belia). Jika pihak telah ditetapkan, tulis isi daripada tahap biasa hingga ke tahap ekstrem: contohnya kursus/seminar/kempen --> pemantauan --> penguatkuasaan undang-undang --> pendakwaan di mahkamah.

Ayat penutup hendaklah dimulai dengan Kesimpulannya,... +  cadangan yang dikaitkan dengan tugasan + supaya... (harapan / kesan cadangan). Tulis kesimpulan dalam satu ayat sahaja, dan pastikan apabila sampai noktah, masih dalam lingkungan 120 patah perkataan.

Bagi soalan pemahaman dan novel, PB menyarankan calon mengenal pasti aras soalan terlebih dahulu, sama ada: soalan petikan, soalan kbkk, atau soalan komsas. Jawapan bagi soalan petikan juga disarankan menggunakan kaedah potong dan tampal (daripada ayat soalan + isi petikan); soalan kbkk diklasifikasikan dengan pelbagai pihak; dan soalan komsas mesti jelas dari segi cara menulis isi dan huraiannya. Isi dan huraian hendaklah dipisahkan dalam dua ayat yang berasingan.


Konsep huraian bukan bererti menulis secara berjela-jela. Jika sudah ada elemen selain subjek dan predikat sudah dikira huraian. Misalnya: Untuk menjadi ahli sukan yang berjaya, saya akan mengamalkan disiplin diri supaya tidak mudah hilang tumpuan dalam latihan. Bahagian ayat selepas supaya itu ialah huraian.

Bagi jawapan novel, huraian ditulis berdasarkan bukti peristiwa yang menyokong isi yang dikemukakan. Mungkin satu ayat isi dan dua ayat huraian sudah memadai. (bagi setiap isi yang diberi). Tidak perlu berpanjang lebar.

Bahagian tatabahasa menguji kemahiran morfologi, sintaksis, hukum tatabahasa, kosa kata dan peribahasa. Sekali lagi PB menegaskan supaya jawapan ditumpukan ke arah memenuhi kehendak tugasan daripada memikirkan idea canggih-manggih yang memakan masa. Kaedah penulisan jawapan bagi setiap pecahan soalan tatabahasa yang berkemungkinan turut dibincangkan.

Walaupun masa perbincangan begitu terhad, PB sempat berinteraksi dengan murid 5 Sains 2, 3, 4 5 dan 6 yang hadir. Antara soalan yang ditanyakan ialah konsep huraian yang PB kemukakan. Masih ragu-ragu?

Sesi perancangan menulis jawapan Bahasa Melayu 2 berakhir pada pukul 10 pagi. PB mengharapkan calon SPM 2009 yang hadir lebih berkeyakinan menduduki kertas berkenaan pada pukul 2.00 - 4.30 petang, tanggal 18 November (dua minggu lagi). Semoga kalian berjaya dalam peperiksaan SPM dan cemerlang dalam meniti perjalanan hidup seterusnya... Insya-Allah.




No comments: