SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 13, 2009

BAHARIN KHAMIS: BENTENG BOLA SEPAK NEGARA ERA KEGEMILANGAN (FORMER MALAYSIAN SOCCER KEY DEFENCE PLAYER TOLD THE UNPUBLISHED STORY)


Dekad 1970-an boleh dianggap sebagai era gemilang bola sepak negara. Pada dekad itulah, Malaysia layak ke Olimpik sebanyak dua kali (Munich, 1972 dan Moscow 1980), di samping memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia di Tehran (1974). Menerusi kepimpinan berkarisma Dato’ Haron Idris (Allahyarham bekas Menteri Besar Selangor), Baharin Khamis dari Perak muncul sebagai benteng pertahanan Malaysia yang sukar ditembusi lawan.


Baharin mewakili Malaysia antara 1965 hingga 1977. Dalam perlawanan kelayakan Olimpik 1972 di Seoul, Malaysia berjaya membenam cabaran tuan rumah, Korea Selatan 1-0, selain mudah mengetepikan Jepun 3-0. Semua gol ialah hasil jaringan Syed Ahmad, seorang legenda bola sepak negara yang pernah berhadapan kontroversi.

Sukan Olimpik Munich, Jerman Barat yang turut diingati kerana peristiwa serangan ke atas atlet Yahudi, meletakkan skuad negara bersama-sama pasukan tuan rumah, Amerika Syarikat dan Maghribi. Dalam perlawanan pembukaan yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen hitam putih ketika itu, Malaysia berjaya mengikat Jerman Barat dengan kedudukan 0-0 selama 60 minit sebelum bolos 0-3. 

Kelibat Syed Ahmad sudah tiada kerana digugurkan. Tonggak serangan dibarisi oleh Shaharuddin Abdullah, Abdullah Ali (pakar tendangan sudut melengkung, inswinger) dan Salleh Ibrahim. Jerman Barat diketuai oleh Uli Honess, seorang pemain profesional Jerman. Pemain Malaysia yang lain ialah Wong Kam Fook (penjaga gol), Namat Abdullah, Shukur Abdullah, dan Soh Chin Aun (kini Dato').

Perlawanan menentang Amerika Syarikat hanya bersiaran langsung menerusi radio. Ketika itu, Amerika Syarikat baru berjinak-jinak dengan bola sepak. Malaysia mengambil kesempatan membudak-budakkan Amerika Syarikat dengan jaringan 3-0.

Malaysia hanya memerlukan seri dengan Maghribi untuk mara ke suku akhir. Maghribi sebelumnya sekadar mampu seri 0-0 dengan Amerika Syarikat selain tewas 0-3 di tangan Jerman Barat. Namun, impian itu hampa apabila Malaysia dikejutkan dengan jaringan 0-6 oleh pasukan dari rantau Medditerranean itu.

Selepas era profesional meluas, barulah umur pemain bola sepak Olimpik dihadkan kepada 23 tahun ke bawah. Baharin Khamis merasai pengalaman bermain di Stadium Olimpik Munich. Berada di perkampungan Olimpik bersama-sama jagoan dunia pelbagai acara tidak mungkin luput daripada kenangan beliau.

Selain itu, pengalaman bertanding di Sukan Asia Tehran begitu mendebarkan. Malaysia tewas di tangan Israel 3-8 dan perlu menewaskan Filipina dengan 9-0. Namun, Malaysia berjaya menghadiahi Filipina dengan 11-0, satu rekod yang sukar diatasi hingga kini.

Malaysia tewas 0-1 di tangan Iran  pada peringkat separuh akhir, sebelum menumpaskan Korea Utara 3-2 dalam penentuan pingat gangsa. Baharin Khamis dan Syed Ahmad ialah dua pemain utama ketika itu. Mokhtar Dahari turut serta dalam skuad Sukan Asia itu.

Baharin Khamis memberitahu penulis blog (PB) bahawa elaun harian pemain bola sepak negara era 1970-an hanyalah RM 50 sehari, tetapi peluang menyarung jersi negara tetap menjadi kebanggaan. Baharin pernah menyertai skuad negara menentang Vietnam di sana ketika gerila Vietcong masih giat melancarkan serangan hendap di tempat awam. Helikopter berlegar di ruang udara stadium untuk memantau keadaan dan akan memberi isyarat 'berlindung' jika keadaan memaksa. Dalam keadaan 'kecut perut', permainan diteruskan.


Pada ketika yang lain, Baharin Khamis bersama-sama skuad negara yang baru pulang daripada kejohanan Piala Raja Thai terpaksa berkurung di Wisma FAM di Kerinchi pada 12 Mei 1969. Mujurlah tragedi berdarah 13 Mei dapat dikawal dengan cepat daripada merebak. Sebagai saksi peristiwa berkenaan, beliau bersyukur bahawa pada hari ini masyarakat kita telah banyak belajar daripada sejarah itu.


Ada banyak lagi cerita yang Baharin Khamis kongsikan dengan PB dan rakan yang lain. Antaranya, kejayaan beliau menyekat pergerakan empat pemain 'lipas kudung' Indonesia selepas diberi kata dua akan dipotong elaun jika gagal. Allahyarham Dato' Haron Idris memang seorang pengurus skuad kebangsaan yang bijak!


Baharin Khamis turut membuka cerita tentang taktik pemain di tengah padang ketika itu, tetapi memohon untuk off record. Pasukan lawan yang paling 'menyakitkan hati' ialah Korea Selatan dengan taktik melambat-lambatkan permainan seperti dengan sengaja menjatuhkan badan apabila sedang mendahului. Peraturan kad merah untuk itu belum lagi diwartakan.


Kata-kata Baharin Khamis bahawa dahulu beliau sering balik kampung menjenguk orang tua sudah berlalu justeru beliau pula mengambil giliran sebagai 'orang tua' begitu menyentuh perasaan. Baharin Khamis pernah menggalas tugas sebagai jurulatih Piala Malaysia skuad 'Seladang' (negeri Perak). Maka, PB berpendapat bahawa kisah individu berjasa seperti Baharin Khamis patut dibukukan untuk pedoman  dan tatapan generasi akan datang...




2 comments:

Anonymous said...

Penerangan yang sangat baik tentang pengalaman bekas pemain bola sepak yang menjadi wira negara satu ketika dahulu.

Sangat setuju dengan pendapat penulis blog bahawa pengalaman Baharin Khamis patut dibukukan sebagai pedoman anak-anak muda seperti saya ini.
-AHMAD IZZAT-

Anonymous said...

terima kasih ahmad izzat

moga ada penulis yang berkesanggupan

kerja menulis buku perlu penyelidikan

(bukan macam catatan dalam blog)