Tuesday, July 28, 2009
KEIKHLASAN DALAM KERJAYA KEGURUAN (THE PROMOTION OF TEACHERS)
Klang, 28 Julai 2009
Kini, kerjaya keguruan membuka laluan peningkatan kerjaya yang cukup luas. Secara perbandingan, kaum guru hanya ketinggalan dengan kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dari segi peluang kenaikan pangkat dan gred perjawatan. Pelbagai insentif dan tawaran diberi kepada para guru untuk menjadikan kerjaya keguruan sebagai menarik, berdaya saing, dihormati dan mempunyai masa hadapan yang amat cerah.
Berdasarkan model “kotak hitam” input – proses – output, kecemerlangan kerjaya keguruan bermula daripada pemilihan calon guru yang memiliki keperibadian, komitmen, dan tahap interpersonal yang baik. Di Singapura, calon guru disaring dengan ketat dari segi kecemerlangan akademik, misalnya pencapaian purata kumulatif (CGPA) yang baik di peringkat pengajian tinggi. Sesuai dengan keperluan semasa yang menghendaki guru memiliki IQ, EQ dan SQ yang mantap, kebolehan bekerja dalam persekitaran organisasi yang akomodatif dengan kepesatan perubahan, dan kepintaran kumpulan, seseorang guru tidak hanya kelihatan hebat untuk diri sendiri sahaja.
Kita biasa disogokkan dengan klise bahawa “guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”. Hal itu turut disentuh oleh Ibnu Khaldun, bapa sosiologi moden lewat karyanya, Mukaddimah. Ibnu Khaldun mengatakan bahawa kaum guru biasanya akan memperoleh ganjaran atau imbuhan yang rendah sahaja, dan tidak setimpal dengan bakti yang dicurahkan.
Pada zaman dahulu, kaum guru tidak menyatakan rungutan secara terang-terangan tentang bayaran, justeru mereka boleh menjalankan kegiatan ekonomi yang lain untuk menyara hidup dan keluarga. Pada ketika itu juga, sekolah bukanlah institusi formal yang tertakluk kepada pelbagai macam peraturan dan sistem seperti sekarang. Sebabnya sekolah ditubuhkan untuk mengisi masa lapang anak-anak bangsawan, berbanding dengan golongan masyarakat bawahan (marhaen) yang sibuk membanting tulang dan mengerah keringat demi kelangsungan hidup sekeluarga. Perkataan “school” itu sendiri asalnya membawa maksud masa lapang.
Keadaan sudah jauh berubah. Institusi sekolah sudah diformalkan dan terikat dengan dasar dan terma perkhidmatan awam sesebuah negara. Kaum guru pula tidak boleh sewenang-wenangnya terlibat dengan aktiviti ekonomi luar tanpa kebenaran pihak berkuasa pendidikan. Guru tidak betah memberi alasan untuk menambah pendapatan, atau cuba-cuba menzahirkan gaya hidup yang dipamerkan oleh kakitangan swasta, atau golongan korporat.
Dilemanya ialah pada hari ini ukuran penghormatan atau status pencapaian seseorang dinilai dari segi pemilikan harta kekayaan. Seseorang murid mungkin memandang rendah gurunya yang hanya memandu sebuah Proton Perdana V6 berbanding dengan ibu bapanya dengan Mercedes Benz dan BMW yang gagah menjalar di jalan raya. Guru hanya mampu memiliki sebuah rumah teres, semi-D, atau banglo yang serba sederhana. Hanya jika murah rezeki mewarisi harta pusaka, atau memiliki pasangan hidup yang berharta, situasinya mungkin berlainan.
Persekitaran kerja guru juga kelihatan kurang hebat. Walaupun kelayakan guru hingga menggenggam ijazah Ph.D, mereka hanya memiliki sebuah meja kecil dan kerusi yang kalah dengan kelengkapan perabot seorang pembantu pejabat sekolah. Guru juga harus mengusung laptop sendiri dan menghadapi kesukaran untuk mencetak bahan yang dikehendaki. Guru mesti mengawal kata-katanya walaupun kadang-kadang makan hati dengan karenah staf sokongan yang lain.
Jauh di sudut hati guru, mereka masih bertahan. Selagi amanah boleh ditunaikan, betapa kurangnya kemudahan, tugas akan diteruskan. Setiap sen gaji yang diterima biar berkat dan halal. Murid ialah amanah agama, bangsa dan negara.
Kerjaya keguruan digolongkan sebagai perkhidmatan menolong (helping services). Sejajar dengan kepercayaan bahawa maklumat boleh diakses secara individu, guru berperanan membantu murid membuat diskriminasi dan tapisan data. Maka, pada akhirnya guru akan diingati sebagai orang yang bertanggungjawab menunjuk jalan dan inspirasi supaya murid memilih haluan yang benar dan lurus.
Status kemudahan guru tidak sayugia dibiarkan dalam keadaan yang statik. Sebagai pengamal profesional, suatu anjakan paradigma mesti diberi tempat. Jika negara berhasrat menjana modal insan minda kelas pertama, kedudukan guru sebagai peneraju utama kegiatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah patut mengalami transformasi dari pelbagai sudut.
Keluhan kaum guru bukanlah bermakna mereka golongan yang tidak tahu bersyukur. Di Malaysia, pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya mewujudkan sejumlah 18 laluan peningkatan kerjaya keguruan. Maka, dogma yang mengatakan kerjaya keguruan sebagai jalan mati tiada asas lagi. Sudah menjadi lumrah dalam mana-mana organisasi dan kerjaya, jika hendak merebut kedudukan tertentu, banyak perkara yang perlu dipelajari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment