SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, July 17, 2009

ISRAK DAN MIKKRAJ: SOLAT TIANG AGAMA (PRAYER IN ISLAM: TO GENERATE EXCELLENCE CONDUCT)

27 Rejab ialah tarikh Junjungan Nabi Salallahu alaihi Wasallam diperjalankan dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis, Palestin), dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, antara lain untuk menerima perintah solat fardu lima waktu. Setiap Muslim wajib mempercayai peristiwa besar berkenaan, kerana jika tidak, bermakna aqidahnya sudah rosak. Artikel ini menumpukan analisis terhadap peranan solat dalam membina kecemerlangan umat yang senantiasa berhadapan dengan cabaran getir akhir zaman.

Sebelum solat fardu beberapa syarat perlu disempurnakan. Antaranya ialah wuduk, iaitu mengambil air sembahyang. Secara simbolik, wuduk ialah proses membersihkan diri secara fizikal. Kaedah fiqah menyebutkan, ma la yatimmul wajib illa bihi fahua wajib, tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan jalan kepadanya juga wajib. Jika ketiadaan air, tayamum dibolehkan.

Perbuatan solat didahului dengan niat kerana Allah (bagi mencapai Redha-Nya) bersekali dengan takbiratul ihram, dengan lafaz Allahu Akbar. Allah Maha besar. Maknanya, ternafi segala kebesaran dan keagungan lain yang terlintas dalam fikiran manusia. Tertolak segala taghut yang tidak jemu berusaha memesongkan pegangan aqidah, syariat dan akhlaq umat yang dipacu oleh dua sumber utama, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, di samping pedoman faqih dan ulama muktabar dalam himpunan Ijmak dan Qiyas, Istihsab, Istihsan, Masalih Mursalah, Uruf, dan lain-lain.

Sesudah itu terdapat sejumlah tiga belas rukun solat yang perlu disempurnakan dengan tertib, di samping sunat ab'adh dan sunat hai-ah yang lain. Tuntutan khusyuk (fokus, beri tumpuan) dan tukmakninah (teratur) sangat diberi perhatian. Sesungguhnya solat ialah perjalanan kerohanian yang begitu istimewa, tanda hubungan makhluk dengan Pencipta. Solat secara berjemaah bertaraf fardu kifayah (mazhab Syafie) untuk kaum lelaki. Solat Jumaat menjadi perhimpunan mingguan di masjid.

Solat ialah rukun Islam yang kedua. Tiada Seorang Muslim pun boleh mengecualikan diri, kecuali wanita yang uzur (haid dan nifas). Jika terlantar sekalipun, dengan isyarat mata pun masih difardukan. Begitu juga musafir yang diberi rukhsah (keringanan) untuk solat jamak dan qasar.

Kewajipan berwuduk bererti bahawa umat perlu sedaya upaya menyediakan bekalan air yang mencukupi. Dalam konteks sistem perumahan dan bangunan moden, reka bentuk kejuruteraan sumber air perlu diuruskan terlebih dahulu. Seseorang jurutera sumber air perlu menjalani proses pengajian di universiti sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun. Selain jurutera, sekumpulan pakar pengurusan, kewangan, dan teknikal yang lain turut diperlukan.

Pakaian dalam solat pula bererti wujud keperluan penawaran fabrik dan tekstil yang berkaitan. Begitu juga dengan pembinaan masjid moden, terutama di lokasi penduduk berkepadatan tinggi. Hal demikian bermakna bahawa pakar perancangan bandar dan wilayah mesti memiliki kepekaan yang tinggi terhadap sistem lalu lintas dan kawasan letak kereta yang dapat menampung kedatangan jemaah dalam bilangan yang besar.

Secara keseluruhannya, solat bukan sahaja menjadi urusan individu dan sekumpulan penduduk sesuatu kariah, bahkan membabitkan aspek dasar, kepakaran dan perancangan dalam konteks makro. Namun, pada akhirnya solat tetap bermatlamatkan pencapaian Redha Ilahi.

No comments: