SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, July 8, 2009

PEMANSUHAN PPSMI: LANGKAH MEMPERKASA SEMULA BAHASA MELAYU (NATIONAL LANGUAGE REGAIN MOMENTUM)

Pengumuman kerajaan untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai medium pengantar persekolahan, khususnya untuk mata pelajaran sains dan matematik ialah satu langkah yang berani. Seperti biasa, reaksi yang berbelah bahagi daripada pelbagai pihak yang berkepentingan sudah dijangkakan. Namun, satu perkara yang pasti ialah bahawa sesuai dengan status sebuah negara merdeka, agak janggal jika bahasa kebangsaan tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan, khususnya di peringkat sekolah.

Di United Kingdom sendiri, Wales dan Scotland enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sistem persekolahan mereka. Walhal, Wales dan Scotland berkongsi parlimen dan ratu Inggeris yang sama dengan England. Walaupun diakui bahawa bahasa Inggeris sangat dominan, Wales dan Scotland tidak rela bahasa Welsh dan Scottish mengalami nasib yang sama dengan bahasa Sanskrit yang pernah gah sebagai bahasa cendekia dan istana suatu ketika dahulu.

Negara maju yang lain seperti Jepun, Jerman, Peranchis, Itali, dan Sepanyol masih mengekalkan bahasa ibunda dalam segala urusan tanpa berasa rendah diri. Mungkin status mereka sebagai bekas penakluk dan penjajah menjadikan mereka tidak hairan, mahupun kagum dengan martabat bahasa Inggeris. Sebaliknya negara bekas jajahan seperti India, Filipina, dan Pakistan yang meletakkan kedudukan bahasa Inggeris begitu tinggi tidak pula mencapai tahap kemajuan yang bersifat ekspres!

Tentulah tidak wajar untuk kita mengambil sikap terlalu taksub dengan bahasa sendiri hingga gagal memanfaatkan khazanah ilmu dalam bahasa-bahasa lain. Kita kena akur bahawa teknologi Amerika Syarikat mendahului kita 50 tahun ke hadapan, dan barangkali semakin jauh. Begitu juga dengan teknologi automatif (Proton dan Produa) kita yang masih di peringkat bertatih jika dibandingkan dengan Jepun (Honda dan Toyota), Jerman (BMW dan Mercedes), atau Sweden (Volvo) yang berlari kencang.

Nasionalisme bahasa secara melulu tidak membawa kita ke mana-mana. Kita boleh sahaja menghantar pelajar pintar cerdas kita ke serata dunia, tidak terhad kepada UK dan US sahaja, untuk mempelajari sistem sains dan teknologi mereka. Di samping itu, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R & D) diberikan keutamaan dan dibudayakan sejak bangku persekolahan supaya elemen inovasi dan pembaharuan dapat mengeluarkan masyarakat kita daripada status pengguna kepada status pereka cipta dan pengeluar yang disegani di peringkat antarabangsa.

Syarat komunikasi dalam bahasa Inggeris hanyalah alasan para majikan (baca: kapitalis) untuk mengenepikan peluang sesuatu kelompok menyandang kedudukan penting dalam organisasi mereka. Sebenarnya, awal-awal lagi mereka sudah mempunyai calon yang dapat menjaga kelangsungan operasi mereka. Bagi mengubah senario ini sudah tentu memakan masa.

Pada zaman kegemilangan empayar Melaka, bahasa Melayu menikmati status lingua franca, iaitu bahasa serantau yang digunakan untuk urusan perdagangan dan diplomatik. Hal itu bermakna bahawa peniaga dan pelabur asing yang berhasrat untuk menembusi pasaran alam Melayu mesti terlebih dahulu mengenali budaya dan citra masyarakat Melayu menerusi bahasa. Mereka tiada pilihan lain.

Langkah mengembalikan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik bukanlah langkah berundur. Selama enam tahun PPSMI telah diberi peluang bertapak. Tanpa menafikan kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan dasar berkenaan, dan banyak juga catatan kejayaan PPSMI, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, wahana perpaduan dan jati diri bangsa sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara dan akta bahasa kebangsaan, tidak sayugia dipinggirkan. Maka, kepentingan kenegaraan inilah yang mengatasi pertimbangan lain.

Bahasa Inggeris tidak pernah dikesampingkan dalam sistem pendidikan negara kita. Kerajaan telah berjanji untuk menambah bilangan guru bahasa Inggeris, dan mewujudkan jawatan guru pembantu untuk kelas yang mempunyai bilangan murid 35 orang ke atas. Sebanyak 14,000 calon guru bahasa Inggeris akan akan diambil bagi keperluan itu. Bilangan waktu kelas bahasa Inggeris juga bakal ditambah. Modul dan pedagogi bahasa Inggeris akan diberi suntikan transformasi.

Kini, pejuang dan pencinta bahasa Melayu boleh menarik nafas lega. Namun, apakah jaminan mereka untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu terus dapat bertahan sebagai bahasa ilmu yang dihormati dan disegani sampai bila-bila? Zaman bekerja dengan bijak dan bekerja keras sudah kembali. Laungan dan retorik simpanlah buat sementara...

No comments: