SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, October 20, 2013

KESELAMATAN PELAJAR DALAM PERJALANAN KE SEKOLAH (COST BENEFIT ANALYSIS FOR YOUNG DRIVER)

Pemandangan murid sekolah berbasikal di sekolah-sekolah harian nampaknya semakin kurang, terutama di kawasan bandar. Kebanyakan murid dihantar oleh ibu bapa masing-masing dengan kenderaan persendirian sama ada kereta atau motosikal. Sebahagian kecil murid masih menggunakan perkhidmatan bas sekolah atau bas henti-henti atas sebab kesibukan ibu bapa atau laluan yang berlainan dengan tempat kerja mereka.

Ibu bapa di bandar biasanya tidak membiarkan anak-anak ke sekolah bersendirian atas alasan keselamatan di jalan raya dan juga ancaman jenayah. Kebimbangan yang lebih tinggi dalam kalangan ibu bapa ialah terhadap keselamatan murid perempuan. Anak-anak pada usia yang masih mentah mungkin tidak dapat membaca niat buruk seseorang yang menghampiri mereka.

Kanak-kanak juga membentuk kumpulan dan puak yang berkongsi persamaan cita rasa dan minat tertentu. Jadi, kemungkinan untuk berlaku krisis dan persaingan tidak mustahil boleh sahaja tercetus walaupun berpunca daripada hal yang remeh-temeh. Bermula dengan bertegang leher, kanak-kanak yang tidak mampu mengawal diri mungkin terbabit dengan serangan fizikal.

Murid yang berbasikal ke sekolah mempunyai risiko pendedahan yang lebih tinggi terhadap pembentukan kelompok dan puak yang dimaksudkan. Kejadian buli dan ugutan sering dipendamkan sahaja kerana murid yang menjadi mangsa takut dikenakan lebih teruk. Guru dan ibu bapa harus lebih peka terhadap keresahan murid yang mungkin telah menjadi mangsa.

Ibu bapa yang berkemampuan boleh menyediakan motosikal kepada anak yang sudah mencecah usia 16 tahun justeru layak memiliki lesen memandu B2. Namun, dalam kes yang sangat terpencil, disebabkan keadaan fizikal budak zaman sekarang yang tinggi lampai dan gempal, terdapat murid yang baru berusia 15 tahun sudah berani memandu kereta di jalan raya. Mereka mungkin berjaya mengaburi mata pihak berkuasa lalu lintas, tetapi kemungkinan yang paling buruk boleh sahaja berlaku.

Murid tingkatan lima yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan-bulan terawal mungkin dibenarkan oleh ibu bapa untuk memandu sendiri kereta ke sekolah. Tiket kebebasan daripada kos menunggu kenderaan awam atau menumpang orang lain sudah di tangan. Walaupun begitu, kemungkinan-kemungkinan yang lain juga perlu difikirkan. 

Gaya pemanduan orang Malaysia masih di tahap mentaliti dunia ketiga, iaitu bersifat agresif. Pemandu kenderaan besar enggan menghormati pemandu kenderaan yang lebih kecil dan pengguna jalan raya yang lain. Mereka tidak berusaha untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain, sebaliknya membunyikan hon jika laluan mereka terhalang. 

Berdasarkan tingkah laku pemanduan itu, murid yang menunggang motosikal berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk terbabit dengan nahas jalan raya. Motosikal paling mudah terbalik jika bergesel atau dihimpit oleh kenderaan yang bersaiz lebih besar. Kecenderungan penunggang motosikal untuk mencelah (bahasa basahannya 'cilok') memburukkan lagi keadaan.

Pelajar perempuan yang menunggang motosikal berhadapan dengan risiko yang berganda, terutama ancaman jenayah culik, ragut dan seksual. Dengan itu, mereka wajib melalui jalan raya yang lebih sibuk, justeru pergerakan kenderaan menjadi lebih perlahan, sementara bantuan kecemasan juga lebih mudah diperoleh jika berlaku kerosakan motosikal atau diekori orang yang mencurigakan. Lebih selamat lagi jika pelajar perempuan hanya dibenarkan memandu kereta, bukannya menunggang motosikal.

Keselamatan murid dan pelajar dalam perjalanan ke sekolah wajar diberi perhatian yang teratas oleh semua pihak yang berkepentingan bermula daripada penggubal dasar, pelaksana di peringkat sekolah dan ibu bapa. Pelaburan dalam keselamatan pelajar mungkin membabitkan kos yang tinggi sedikit, tetapi pengorbanan itu sangat berbaloi demi menjamin ketibaan mereka yang bergerak dari rumah ke sekolah dan sebaliknya dengan tenang lagi yakin (klik di sini untuk bacaan lanjut). Pada masa yang sama, kempen mesra sesama pengguna jalan raya perlu digiatkan lagi dalam kalangan masyarakat pemandu di negara kita ...

No comments: