SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 2, 2013

PERBANDINGAN PASARAN PERSAINGAN SEMPURNA DENGAN MONOPOLI (PRICING AND WELFARE)

Pendahuluan

Dari segi asal usul perkataan (etimology), mono bererti tunggal, manakala poli bererti banyak. Dalam percakapan biasa, kita biasa mendengar istilah monogami (beristeri satu) dan poligami (beristeri lebih daripada satu). Dalam konteks ekonomi, monopoli bermaksud firma tunggal yang menguasai pasaran.

Oleh itu, firma monopoli juga ialah industri monopoli. Monopoli wujud kerana sekatan kemasukan firma baharu ke dalam pasaran. Monopoli tidak sejajar dengan kebajikan masyarakat (pengguna) kerana tingkat harga yang tinggi, tetapi dengan keluaran yang rendah.

Amerika Syarikat menggunakan Indeks Monopoli Bain (klik di sini dan di sini) bagi mengukur had maksimum urus niaga monopoli yang dibenarkan. Bill Gates dan Microsoft Inc. pernah didenda berbilion USD oleh mahkamah negara berkenaan kerana didapati melanggar akta monopoli. Malaysia juga telah menubuhkan Suruhanjaya Persaingan (klik di sini) yang telah mengenakan hukuman denda RM10 juta kepada syarikat penerbangan kebangsaan (MAS) dan Air Asia kerana didapati berpakat menguasai pasaran yang menjurus kepada amalan monopoli (klik di sini).

Andaian analisis grafikal

Bagi memudahkan perbincangan, monopoli dibandingkan dengan pasaran persaingan sempurna (PS). Struktur kos kedua-dua pasaran diandaikan sama dan berada dalam keseimbangan jangka panjang. Maksudnya, keluk kos purata jangka panjang (LAC) dan kos sut jangka panjang (LMC = SS) kedua-dua pasaran dikongsi bersama, tetapi keluk permintaan (DD = AR) dan hasil sut (MR) yang berbeza.
sumber ambilan: lembaran kerja pelajar LA1, SMK St. Michael, ipoh

Keseimbangan PS tercapai pada titik Es apabila MRs = LMC dengan harga Ps dan kuantiti Qs. Firma berkeadaan untung normal kerana pada keluaran seimbang Qs, ARs = LAC. Saiz jumlah hasil (TR) dan jumlah kos (TC) adalah sama, iaitu OQsEsPs.

Keseimbangan monopoli pula tercapai pada titik Em apabila MRm (keluk berwarna merah yang bercerun negatif) bersilang dengan LMC dengan harga Pm dan kuantiti Qm. Firma berkeadaan untung lebih normal kerana pada keluaran seimbang Qm, ARs > LAC. Kawasan untung ialah PmABPo, iaitu TR - TC atau OQmAPm - OQmBPo.

Keputusan Perbandingan

Pada tingkat keseimbangan didapati bahawa:

1  Harga monopoli lebih tinggi daripada harga PS:  Pm > Ps

2  Keluaran monopoli lebih rendah daripada keluaran PS:  Qm < Qm

3  Monopoli beroleh untung lebih normal, PS beroleh untung normal

4  Saiz lebihan pengguna monopoli, iaitu PmAF lebih kecil daripada lebihan pengguna PS, iaitu PsEsF.
    Kebajikan pengguna lebih terjamin dalam pasaran PS berbanding dengan monopoli.

5  PS beroperasi pada keluaran optimum (titik minimum LAC) iaitu titik Es, tetapi monopoli beroperasi             pada bahagian LAC sedang turun, iaitu titik B. Maknanya firma PS mencapai tahap kecekapan 
    pengeluaran, iaitu kapasiti penuh atau tanpa pembaziran sumber. 

6  PS juga mencapai kecekapan peruntukan, iaitu pada P = LMC, juga pada titik Es kerana keluk ARs =
    MRs = DD = P. Monopoli tidak mencapai kecekapan peruntukan kerana pada keluaran seimbang Qm, 
    didapati bahawa P > LMC.

Nota Hujung: Cara Melukis Keluk ikut tertib.
1  Paksi / label
2  LAC, terus tanda titik minimum LAC
3  ARs = MRs = DD = P
4  LMC potong minimum LAC
5  ARm = DDm = Pm bercerun -ve memotong titik minimum LAC
6  MRm = 1/2 ARm
7  Es, Em
8  Ps, Qs, titik untung normal
9  Pm, Qm, kawasan untung lebih normal
10  Lebihan pengguna: di bawah garis DD, di atas garis harga

Kesimpulan

Pasaran PS memiliki kelebihan dari segi kebajikan pengguna (harga lebih rendah, kuantiti lebih banyak dan lebihan pengguna lebih besar) berbanding dengan monopoli. Selain itu PS juga didapati lebih cekap dari segi penggunaan sumber, iaitu mencapai kecekapan pengeluaran (keluaran optimum dan tiada pembaziran sumber), serta mencapai kecekapan peruntukan (harga = hasil sut).

No comments: