Tahun 2015 menyaksikan Malaysia bergelut dengan gelora politik tempatan dan hubungan ekonomi antarabangsa. Hal itu akan bersambung ke tahun 2016 justeru titik noktahnya belum muncul. Pengenalan GST sebagai punca hasil persekutuan yang baharu bagi menampung penyusutan sumbangan Petronas masih hangat diperkatakan.
Kepada individu, kedatangan tahun baharu bererti keperluan perancangan yang utuh bagi menginjak usia yang semakin meningkat dari segi angka, tetapi berkurangan dari segi jangka hayat. Ada yang baharu memulakan pengajian menengah, prauniversiti dan ijazah asas. Ada juga yang masih mengamggur atau sudah mula menceburi kerjaya pilihan.
Seisi keluarga juga memprruntukkan sumber dengan cekap supaya serba serbi kecukupan. Kebijaksanaan silam menegaskan perihal ukur baju di badan sendiri. Susunan keutamaan bererti bahawa terdapat banyak pengorbanan kecil kena dilakukan supaya tujuan yang lebih besar dapat dicapai.
Kenangan tahun 2015 mumgkin sangat indah mungkin juga sebaliknya. Kenangan ialah pengalaman yang perlu dipelajari. Kehidupan jangan diikat dengan kenangan, tetapi sebagai pedoman untuk bertindak dan membuat keputusan hari muka.
Muhasabah diri terhadap kekuatan dan kelemahan silam menjadi penanda aras untuk bergerak menuju kesempurnaan. Memang manusia biasa tidak sesekali sempurna, tetapi wajib cuba menghampirinya. Maka, ungkapan sentiasa terbaik patut menjadi pegangan tanpa maksud ujub, riak dan segala sifat mazmummah yang seumpamanya.
Kini, tahun 2015 hanyalah suatu sejarah. Masa yang lalu tidak akan kembali dan tidak dapat dibeli. Bunyi letupan mercun di luar sana tidak membawa sebarang makna jika esok, daya usaha dan pencapaian masih di takuk lama.
Marilah kita melakar perubahan ke arah daya usaha dan pencapaian yang lebih baik hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun selagi hayat dikandung badan. Sesungguhnya orang yang sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan, nescaya tidak sia-sia. Bukalah lembaran al-Quran, al-hadith dan kata-kata hukamak tentang hal itu.
Tiada masalah jika membina azam tahun baru sama ada ketika awal Muharam atau 1 Januari. Buat azam setiap kali bangun oagi pun lebih baik. Lidah sentiasa basah dengan lafaz kesyukuran, taubat dan zikir. Selawat dan bacaan kitab suci menjadi rutin di samping segala amalan fardu yang lain.
Marilah kita berdoa semoga panjang umur murah rezeki, serta senantiasa beroleh perlindungan Ilahi. Kita melakukan yang terbaik sama ada hubungan dengan Pencipta, dengan sesama insan san dengan segala ciptaan Allah yang lain. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di akhirat, serta terhindar daripada azab neraka. Amin ...
No comments:
Post a Comment