SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, August 24, 2010

DATUK BANDAR RAI ANAK YATIM (CITY COUNCIL SPONSORED FASTING FUNCTION)

Ipoh, Selasa: 24 Ogos 2010 / 14 Ramadan 1431

Sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendekati sebahagian warganya menerusi program berbuka puasa di masjid dan surau yang terpilih mengikut giliran setiap tahun. Tumpuan diberikan kepada masjid dan surau yang masih memerlukan perhatian MBI dari segi kewangan dan program. Surau al-Hidayah yang terletak dalam kariah Taman Desa Indah, Taman Ipoh Jaya Timur, Taman Seri Ampang dan sebahagian Rapat Setia Baru bertuah apabila Dato' Roshidi Hashim, datuk bandar sendiri sudi meluangkan masa kira-kira empat jam bersama jemaah hingga selesai solat tarawih.
Tetamu jemputan majlis ialah seramai 15 orang kanak-kanak yatim dari rumah kebajikan Barakah, yang terletak di Taman Strawberry, Pinggir Rapat Perdana, kira-kira satu kilometer daripada lokasi surau al-Hidayah. Selain diraikan dengan juadah berbuka, setiap seorang anak yatim turut membawa pulang oleh-oleh sumbangan penganjur bersama program, iaitu Ambank,  Bernas, Berita Harian, Hotel Heritage dan Kumpulan Yusof Taiyoob. Rumah kebajikan berkenaan turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 daripada Ambank.
 pengurus kanan Ambank dari Kuala Lumpur menyampaikan oleh-oleh

Dato' Roshidi membawa khabar gembira buat jemaah surau al-Hidayah apabila mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 bagi kerja naik taraf kemudahan surau. Di samping menegaskan komitmen MBI merangka pelan penyuraian kesesakan lalu lintas dalam kawasan tumpuan bandar raya, pembangunan sosial tidak pernah diabaikan. MBI berjaya melaksanakan pelbagai projek justeru kutipan hasil cukai sektor korporat dan sektor perkhidmatan yang semakin "moncah".

 penampilan sederhana datuk bandar

Jemaah Surau Hidayah seakan-akan mendapat bonus yang tidak pernah diduga apabila Ambank turut menyumbang wang tunai berjumlah RM3,000. Pengerusi surau, Ustaz Zul yang ditemui melafazkan kesyukuran justeru lebih banyak program boleh dirancangkan untuk manfaat seluruh jemaah. Perkara yang paling utama ialah bagi menarik seramai mungkin kehadiran jemaah, khususnya generasi muda menunaikan solat lima waktu dan kuliah yang disusun.
Langkah MBI mendekati surau-surau kecil, masyarakat kurang beruntung dan pembayar cukainya patut dipuji. Sekurang-kurangnya pendapatan MBI yang dijana daripada pelbagai sumber itu dapat diagihkan semula kepada semua segmen masyarakat, termasuk mereka yang memerlukan perhatian khusus. Sebagai sebuah organisasi berpengaruh, MBI dapat menggembleng penyumbang besar lain untuk turut serta seperti yang disaksikan di Surau Hidayah pada majlis tersebut...

Monday, August 23, 2010

SENARAI SEMAK PENYELIDIKAN KUANTITATIF (EVALUATING CHECKLIST FOR PREUNIVERSITY RESEARCH)

Seseorang penyelidik hendaklah sentiasa mengambil berat tentang mutu, atau kualiti penyelidikan yang dilaksanakan. Bagi penyelidik muda prauniversiti tingkatan enam, antara kriteria utama yang perlu diukur ialah sama ada penyelidikan yang dilaksanakan akan berguna dalam menambah baik program pengajian di sekolah masing-masing, ataupun sekadar memenuhi syarat tugasan. Senarai semak berikut mungkin membantu penyelidik muda melakukan penilaian kendiri terhadap proses penyelidikan yang telah dilaksanakan.

Tajuk

-  mengandungi antara 10 hingga 12 patah perkataan sahaja

-  menyatakan pemboleh ubah yang hendak diperoleh datanya

-  menyatakan populasi dan lokasi penyelidikan (tidak dinamakan secara khusus)
   (contoh: "Tahap Penggunaan Buku Teks Dalam Kalangan Pelajar Prauniversiti Di Sebuah Sekolah)

Bab 1: Pengenalan

Pernyataan Masalah

-   terdapat hujah bahawa isu yang dibawa adalah penting

-   membandingkan apa yang sebenarnya ada, apa yang seharusnya ada, dan keperluan bagi menyamakan kedua-duanya


Soalan Penyelidikan

-   berdasarkan penyataan objektif

-   dalam bentuk ayat tanya: adakah, apakah; elakkan bagaimanakah, mengapakah. 

Definisi Operasional

-  beri makna pemboleh ubah utama berdasarkan konteks penyelidikan


Bab 2:  Tinjauan Bacaan

-   sejajar dengan keperluan pengetahuan tentang pemboleh ubah penyelidikan

-   menjadi asas kepada proses instrumentasi


Bab 3:  Kaedah Penyelidikan

-    kuantitatif

-    tinjauan soal selidik: item bina sendiri / pentadbiran serentak sekali sahaja

-    sampel bukan rawak bertujuan  (non-random purposive sampling)

-    kadar kembalian 100%

-    statistik deskriptif  (jadual taburan kekerapan, peratusan)

-    berbantu kalkulator / lembaran Excel / perisian SPSS


Bab 4:  Analisis Data

-   persembahan data yang telah diproses dalam bentuk jadual

-   statistik deskriptif yang dipilih menjawab soalan penyelidikan

-   sejajar dengan pernyataan masalah penyelidikan

-   keterangan ciri data: normal / pencong



Bab 5:  Penutup

-   menyatakan semula soalan penyelidikan, ringkasan analisis data

-   implikasi dapatan / keputusan terhadap pihak berkepentingan (yang dinyatakan dalam bab 1)

-   generalisasi dapatan terhadap populasi / batasan penyelidikan

-   cadangan penyelidikan lanjut: tajuk yang mirip / tajuk lain, tetapi masih bidang yang sama


Semua butiran dalam senarai semak ini sebenarnya telah diperincikan dalam nota-nota kuliah  yang lalu, iaitu sejak bermula pengenalan penyelidikan dan penyediaan kertas cadangan penyelidikan hinggalah bab penutup. Penyelidik muda perlu menggunakan senarai semak bagi memastikan bahawa mutu penyelidikan yang dilaksanakan telah mencapai tahap yang dikehendaki. Selepas semakan draf penulisan penuh bab demi bab, penyelidik sepatutnya mula membuat persediaan untuk sesi pembentangan dalam kolokium yang bakal diadakan (selepas cuti hari raya Aidil Fitri).

Usai kolokium, penyelidik muda sekali lagi harus menyemak draf penulisan bab demi bab untuk dimuktamadkan sebagai laporan penyelidikan dalam format yang akan dibincangkan kelak. Hanya satu tambahan penulisan perlu dimasukkan, iaitu abstrak / sinopsis / ringkasan eksekutif di bawah tajuk, dan sebelum bab 1. Tiada unsur kejutan / suspens diperlukan justeru keputusan penyelidikan terus disebut dalam bahagian abstrak...

Sunday, August 22, 2010

PELAJAR SMI YANG PRIHATIN (MICHAELIAN'S BLOOD DONATION DAY)

Ipoh, Jumaat: 20 Ogos 2010 / 10 Ramadan 1431

Kumpulan darah "O" ialah penderma universal, manakala kumpulan darah "AB" ialah penerima universal. Dianggarkan bahawa 80 peratus rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan darah "O". Keadaan ini bermakna bahawa majoriti rakyat Malaysia yang disahkan sihat patut diberi galakan dengan insentif tertentu supaya bekalan darah dalam bank atau tabung darah dapat dikekalkan cukup bagi menampung permintaan yang tinggi daripada pesakit seluruh negara.
Di samping kempen di pasar raya utama, anggota pasukan keselamatan dan pejabat swasta, kempen turut dilebarkan ke peringkat sekolah. Penerangan tentang pentingnya sumbangan derma darah dapat menghilangkan fobia dan keraguan yang mungkin bermain-main dalam minda generasi muda sebagai akibat maklumat yang bersifat separuh masak. Pendedahan tentang statistik tertentu mungkin dapat meningkatkan kesedaran dan keyakinan terhadap perihal mulianya kesanggupan menyumbang demi menyelamatkan nyawa orang lain. 
Di SMK St Michael, Ipoh (SMI), program derma darah kerapkali diadakan tanpa menunggu tarikh yang tetap. Maka, bertempat di dewan sekolah sebanyak 40 orang warga SMI telah sudi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai anggota masyarakat penyayang dan prihatin secara sukarela tampil mengisi tabung darah negara. Sebahagian mereka sudah biasa menderma darah sebelum ini.
Penderma yang tidak terlibat dengan ibadah puasa Ramadan telah diberikan minuman Milo usai proses derma darah. Pelajar yang ditemui menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang lagi. Malah, mereka berasa sangat lega justeru ujian darah yang dijalankan  sebelum proses derma darah menunjukkan mereka disahkan sihat untuk berbuat demikian...

Nota:  foto ihsan Cikgu Corrine Mah dan Kelab Fotografi SMI

Saturday, August 21, 2010

MENJAGA RAHSIA ORGANISASI (STRICTLY CONFIDENTIAL)

Kebolehan membendung maklumat daripada berpindah kepada pihak lain ialah kualiti asas bagi sesiapa yang memiliki ciri kepimpinan. Seseorang pemimpin yang bijaksana berkebolehan menentukan kategori maklumat yang boleh disampaikan, atau maklumat yang perlu disimpan bagaikan simpul mati. Pendek kata, sesuatu maklumat khusus, atau yang bersifat eksklusif tidak seyogia disebarluaskan melainkan setelah tiba waktu yang tepat untuk berbuat demikian.
Pepatah Arab mengatakan bahawa lisan ialah umpama harimau garang yang terkurung. Jika terlepas, harimau garang tadi berkemungkinan besar bakal menerkam sesiapa jua, termasuk tuannya sendiri. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Seseorang lelaki tidak mati kerana tergelincir kakinya, tetapi seseorang lelaki mati kerana tergelincir lidahnya. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Orang yang suka bercakap tanpa berfikir mungkin beranggapan bahawa dirinya peramah dan telus. Maka, segala perkara yang terlintas dalam ingatan akan segera dijadikan bahan bualan. Si mulut becok demikian menyangka bahawa dirinya sentiasa mendapat perhatian dan popular setiap kali dia membuka mulut.

Orang yang bermulut tempayan pula gemar sekali menokok cerita. Sejengkal jadi sehasta, sehasta jadi sedepa. Kalau diibaratkan masakan, segala macam perasa dan perisa ditambahkan sebagai pembangkit selera walaupun hakikatnya yang sedap itu racun.

Di kampung, si tukang gosip atau kaki umpat digelar sebagai wartawan yang menjaja berita tanpa diketahui statusnya, benar atau palsu. Begitu juga halnya di kawasan perumahan apabila muncul kumpulan "mesyuarat tingkap" yang membabitkan suri rumah sepenuh masa. Mereka bercakap semahu-mahunya, lupa adab, lupa akhlak, lupa diri, lupa etika dan lupa iman.

Kini, aktiviti sembang bersemuka bertukar bentuk kepada sembang maya. Kemunculan capaian internet dan telefon bimbit menjadi medium terhangat menyebarkan cerita. Kali ini, skala sembang sudah tidak bersempadan lagi.

Jika anda berada dalam mana-mana majlis, ketika acara berlangsung, sebahagian hadirin sibuk dengan paparan telefon bimbit masing-masing. Begitu juga dalam bas ekspres, tren aliran ringan atau tempat awam. Barangkali begitulah gaya kehidupan era teknologi nano.

Berbual, berbincang, bercerita, berdebat dan bersembang bukanlah sesuatu yang terlarang. Hanyasanya komunikasi yang berlaku perlukan kawalan dan kebijaksanaan. Asalkan bukan percakapan yang sia-sia, atau yang menjerumuskan mana-mana individu dan organisasi menjadi binasa, silakan.

Melainkan dengan izin, sisi kehidupan peribadi seseorang, dan hal-ehwal dalaman sesebuah organisasi tidak wajar didedahkan. Murid dan pelajar sekolah juga harus dilatih supaya dapat menahan diri daripada menyebarkan cerita-cerita tertentu dalam bilik darjah sehingga berpotensi mengundang fitnah, serta menjejaskan nama baik sekolah. Sebaik-baiknya berpeganglah kepada peribahasa yang berbunyi: yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan...

Friday, August 20, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA BEKAS PELAJAR SMI (BRIDGING GENERATIONS)

Ipoh, Jumaat: 20 Ogos 2010 / 10 Ramadan 1431

Antara ciri penting sekolah berkesan ialah hubungan berterusan bekas pelajarnya. Di SMK St Michael, Ipoh (SMI), persatuan bekas pelajar (OMA) memang aktif dalam konteks memberi perhatian terhadap kemajuan sekolah. Biro Bekas Pelajar Islam OMA yang diselaraskan oleh  Cikgu Adi Yusri, dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam SMI buat kesekian kalinya berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang warga SMI.
Majlis yang bermula seawal 6.30 petang itu diisi dengan tahlil dan ramah mesra. Menariknya tahlil dipimpin oleh Tuan Haji Khairuddin, imam Masjid Abu Bakar as-Siddiq, Bangsar yang sanggup turun ke SMI semata-mata mahu menjengah alma mater beliau. Haji Khairuddin mula bersekolah di SMI dalam kelas peralihan pada tahun 1971.
Bekas pelajar SMI yang lain sanggup datang dari jauh, termasuk Dr Kamaruddin (Manjung) dan Cikgu Abdul Rahman (Tapah). Di samping majlis berbuka puasa, mereka juga bercadang untuk menganjurkan pula rumah terbuka Aidil Fitri yang dijangkakan pada pertengahan bulan September ini. Lebih ramai bekas pelajar yang telah berjaya dalam bidang masing-masing bakal berkumpul dalam perjumpaan yang dirancangkan itu.
Kira-kira pukul 7.28 petang, azan Maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka. Dari dewan sekolah, majlis berpindah ke medan selera SMI. Kelihatan wajah ceria dalam kalangan semua yang hadir.
Usai berbuka, hadirin kembali ke dewan sekolah untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah. Sementara menunggu waktu Isyak, slot ceramah motivasi disampaikan oleh Dr Kamaruddin yang bersekolah di SMI antara tahun 1974 - 78 sebelum ditawarkan mengikuti program matrikulasi UKM, dan seterusnya di fakulti perubatan. Sejak 1992, beliau mengendalikan klinik persendirian di Manjung.
Majlis disambung dengan solat Isyak dan tarawih sebanyak 8 rakaat + 3 rakaat witir. Sekali lagi solat dipimpin oleh Haji Khairuddin, yang kemudiannya turut menyampaikan tazkirah ringkas 2 minit. Antara ingatan penting beliau ialah supaya generasi muda SMI bijak memilih rakan supaya dapat memelihara solat...

Thursday, August 19, 2010

HUTANG: BERTUKAR SUKA DUKA (THE WISDOM IN BUDGETING)

Apabila seseorang berhajat hendak berbelanja melebihi pendapatan, maka orang itu mungkin terpaksa berhutang. Pengecualiannya ialah jika dia menggunakan tabungan yang lepas. Jika tidak, pilihannya ialah mencari sumber kewangan daripada pihak lain, termasuk keluarga terdekat, sahabat handai, atau institusi kewangan berlesen.
Individu yang terdesak mungkin sanggup mengambil risiko dengan mendapatkan hutang daripada ceti tidak berlesen atau ah long yang mengenakan kadar bunga yang melampau. Bagi orang Islam, penglibatan dalam urus niaga yang membabitkan kadar bunga diklasifikasikan sebagai riba. Hukumnya jelas haram, dan individu berkenaan boleh didakwa di mahkamah syariah jika terdapat aduan rasmi kepada pihak berkuasa Islam.
Bagi pemegang kad kredit, mereka hanya perlu menyuakan kad di kaunter ketika hendak membuat bayaran. Sebab itu kad kredit digelar juga sebagai wang plastik justeru tiada bayaran tunai dilakukan. Kini, kebanyakan bank perdagangan menawarkan kad kredit yang berlandaskan hukum syarak.

Isu hutang yang lebih menarik ialah meminjam daripada adik-beradik, kawan sekerja dan orang lain yang dikenali walaupun tidak begitu rapat. Berbagai-bagai taktik pujuk rayu digunakan untuk meraih simpati. Biasanya, orang yang hendak berhutang seolah-olah memberi jaminan bahawa hutangnya hanyalah sehari, esoknya terus dibayar balik.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Orang yang berhutang buat muka selamba seakan-akan orang suci yang perlu dihormati. Kalau ditanya, tanpa rasa bersalah sekelunit pun, dia akan mohon tangguh, tangguh dan tangguh.

Mungkin di dalam hati si penghutang, biarlah si pemiutang tadi berasa bosan untuk menagih kembali wangnya, lalu melafazkan "halal" sahaja! Apa-apa sahaja justifikasi akan digunakan termasuk tanggungjawab sesama adik-beradik: yang kaya membantu yang susah, kawan tolong kawan dan berbagai-bagai alasan yang zahirnya sangat logik. Orang yang berhutang juga membuat andaian bahawa kalau dia mati kelak, bayarannya bakal dilangsaikan oleh anggota keluarga yang masih hidup.

Secara analogi, hutang ibarat pertukaran antara bahagia dengan derita. Orang yang memiliki wang ialah si bahagia, manakala orang yang tiada wang sebagai si derita. Apabila proses hutang berlaku, si bahagia akan menyerahkan wangnya kepada si derita. Si bahagia mulai berharap wangnya cepat kembali, sedangkan si derita mula menguntum senyuman berbisa.

Lama-kelamaan si bahagia bertukar menjadi si derita, si derita yang asal kini menjadi si bahagia pula. Orang yang memberi hutang hakikatnya telah menyerahkan kebahagiaannya. Sebagai ganti, dia akan mengambil alih penderitaan orang yang berhutang.

Sebab itu dalam perkhidmatan awam, perbuatan berhutang sesama kakitangan awam dimasukkan sebagai kesalahan tatatertib bab D. Maknanya, kedua-dua pihak: yang berhutang, dan yang memberi hutang boleh disabitkan dengan hukuman yang diperuntukkan dalam perintah am kerajaan. Langkah yang paling baik ialah dengan mengggunakan semua sumber pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan dan swasta, dan ukurlah baju di badan sendiri...

Wednesday, August 18, 2010

BAZAR RAMADAN BERTEMANKAN HUJAN (SEASONAL BUSINESS GENERATES ECONOMIC ACTIVITIES)

Selain amalan kebajikan dan ibadah dalam bulan Ramadan yang berkat ini, bab bazar Ramadan juga turut mencuri perhatian masyarakat. Kesibukan dan penjimatan masa ialah klise bagi mewajarkan juadah berbuka tunjuk, kuih tunjuk dan macam-macam tunjuk lagi. Jalan mudah ialah berbondong-bondong ke tapak bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai pilihan yang mungkin menepati selera masing-masing.
Untuk minggu pertama tahun ini kerancakan bazar Ramadan terjejas sedikit dek musim hujan pada lewat sebelah petang. Kes di Jasin dan di Kota Bharu (hujan lebat dan angin kencang) menunjukkan betapa sudah terdapat keperluan perancangan dari segi logistik dan keselamatan apabila berhadapan dengan cuaca yang sukar diramalkan. Di Pakistan, bencana banjir yang dahsyat telah mendatangkan ujian keimanan dan kemanusiaan bukan sahaja kepada hampir 20 juta orang mangsa, bahkan kepada saudara seagama dan manusia seluruhnya.
Penulis blog (PB) berkesempatan mengunjungi dua tiga buah bazar Ramadan sekitar bandar raya Ipoh. Antaranya di tapak pasar tani mega, bersebelahan Stadium Perak. Kebetulan cuaca  petang itu cerah dan titik-titik hujan hanya turun sekejap-sekejap.
Tidak hairanlah jika 15,000 orang pembida sanggup beratur panjang bagi mendapatkan borang undian 500 tapak bazar yang disediakan di sebuah lokasi di ibu kota. Kelihatannya pengunjung bazar Ramadan tidak banyak soal dan siasat. Kebanyakannya terus "tunjuk-tunjuk" dan kemudian memancarkan rasa puas dengan membimbit berbungkus-bungkus juadah yang dibeli.
PB masih ingat satu ceramah kesihatan semasa bertugas di SM Teknik, Persiaran Prash. Penceramah mengingatkan tentang kealpaan orang ramai tentang penyebaran hepatetis B menerusi cecair badan seperti air liur dan peluh, terutama ketika membeli makanan di luar. Walaupun peniaga disyaratkan menjalani pemeriksaan kesihatan, pengguna mesti sentiasa berwaspada terhadap tahap kebersihan makanan dan juga gelagat orang ramai yang suka bercakap-cakap di hadapan makanan, atau menyentuh uji makanan yang dijual.
gambar hiasan, tiada kena-mengena dengan isu ikan rebus dalam artikel ini

Seorang penjual yang ditanya tentang status ikan rebus yang disekalikan dengan nasi goreng  di gerainya tidak dapat memberi jaminan tentang kebersihan ikan berkenaan. Barang diingat, ikan yang  bersaiz melebihi dua jari mesti dibersihkan perutnya supaya bebas daripada najis. Ertinya, pengguna harus menjaga diri masing-masing daripada risiko sebegitu akibat sikap tidak prihatin segelintir peniaga yang hanya memikirkan al-fulus.
Pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa kesihatan harus sentiasa membuat pemantauan, pemeriksaan mengejut, dan mengambil sampel makanan yang dijual untuk diuji di makmal. Walaupun saranan ini mungkin dianggap keterlaluan, demi kebaikan semua pihak - penjual dan pembeli - ketegasan mesti ada. Dengan adanya jaminan kualiti dari segi kebersihan, harga dan hak pembeli, bazar Ramadan dapat dicanang-canangkan sebagai suatu produk pelancongan.
Sesungguhnya berniaga suatu ibadah, asalkan beberapa syarat dipenuhi. Antaranya tiada unsur kesamaran dan syak dari segi halalnya barang yang diniagakan. Selain itu, peniaga tidak sampai leka berniaga hingga meninggalkan ibadah asas, terutama solat...

Tuesday, August 17, 2010

BEKAS PENYELIA PETANG SMI PENGARAH BARU JPN PERAK (FORMER SMI'S SENIOR ASSISTANT APPOINTED AS THE NEW DIRECTOR OF PERAK EDUCATION DEPARTMENT)

Negeri Perak menerima Pengarah Pelajaran yang baharu, Encik Mohd Rauhi bin Isa. Beliau  ialah mantan Pengetua Cemerlang Jusa C yang mula menyandang jawatan berkenaan semasa menerajui Kolej Melayu Kuala Kangsar. Sebelum dilantik sebagai pengarah negeri, Encik Rauhi ialah Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selama lebih kurang dua bulan.
Encik Rauhi diapit oleh Encik Kamaruddin dan Encik Anuar

Nama Encik Rauhi mulai dikenali ramai dengan projek jalur gemilang terbesar sempena sambutan kemerdekaan semasa bertugas sebagai pengetua SMK Seri Ampang, Ipoh. Semasa hari belia di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali, Menteri Besar Perak ketika itu memperkenalkan Encik Rauhi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Penulis blog (PB) hadir atas kapasiti guru pengiring murid SM Teknik Ipoh, Persiaran Brash.

Mungkin kepada orang lain projek bendera gergasi itu tidak berfaedah dan membazir. Namun, bagi Encik Rauhi itu hanyalah lambang kepada cita-cita dan minda yang besar. Beliau  gemar  sekali bermetafora: kepantasan meluru mungkin dibezakan oleh jenama dan  jenis kasut yang dipakai oleh seseorang.
Pertama kali PB diperkenalkan dengan Encik Rauhi ialah di kantin SMK Ulu Kinta ketika bertugas sebagai pentaksir ujian lisan. Jawatan yang disandang Encik Rauhi pada masa itu ialah Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Beliau lebih banyak mendengar daripada bercakap.

Sentuhan magis Encik Rauhi pernah menaikkan semula Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban sebagai sebuah sekolah elit di Malaysia. Beliau juga turut melonjakkan nama MCKK di persada antarabangsa, terutama setelah berjaya menganjurkan persidangan pelajar peringkat dunia tahun lalu.

Antara nasihat Encik Rauhi kepada guru ialah supaya tahan telinga jika hendak menapak hierarki yang lebih tinggi dalam dunia pendidikan. Sifat lembap dan toksik juga mesti dijauhi sama sekali. Ciri kepimpinan yang bertindak cekap dan cepat hendaklah disemai dalam jiwa.

Encik Rauhi percaya kepada inovasi dan kreativiti dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Projek Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Jusa C beliau ialah 3M (Main, Muzik, Makan) yang dilaksanakan kepada sekumpulan murid orang Asli. Menerusi kaedah berkenaan, nyata bahawa pemupukan pembelajaran dalam kalangan peserta projek menampakkan kemajuan yang begitu drastik.

Sebagai pemimpin pendidikan, Encik Rauhi menggalakkan guru bercakap tentang tema-tema yang positif sahaja. Bagi beliau, keluhan dan sungutan tidak banyak membantu. Sebaliknya, guru harus lebih bersedia melakukan perancangan, di samping sentiasa mencari jalan ke arah pelaksanaan tugas dan perubahan yang menuju pencapaian terbaik.

Encik Rauhi juga tidak pernah lokek berkongsi kepakaran dalam pentaksiran bahasa dan penilaian tahap kecekapan. Beliau memberi penekanan terhadap kemahiran generik berbanding dengan kemahiran kandungan. Kebijaksanaan seseorang akan terserlah menerusi cara mempersembahkan idea dalam percakapan dan penulisan.

Selamat bertugas tuan pengarah...

Monday, August 16, 2010

PENYELIDIK MUDA SMI MASUK FASA AKHIR (THE FINISHING TOUCH OF MICHAELIAN'S YOUNG RESEARCHERS)

Setelah lebih dua bulan menerima pendedahan tentang dunia penyelidikan secara ilmiah, penyelidik muda prauniversiti tingkatan 6 Rendah, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini berada pada penghujung perjalanan menyiapkan projek masing-masing. Terdapat hampir 100 pasangan penyelidik yang telah bertungkus-lumus melaksanakan projek yang berupa kejutan budaya dalam proses pembelajaran mereka. Walaupun pernah menyediakan folio, serta kajian tempatan semasa menengah rendah, skala penyelidikan kali ini jauh lebih luas dan mendalam sekali.
Kini, penyelidik muda SMI telah masuk kepada bab penutup. Maknanya, mereka telah menyiapkan draf bab pengenalan, bab tinjauan bacaan, bab kaedah penyelidikan, dan bab analisis data. Bab terakhir ini bakal menyerlahkan potensi mereka sebagai penyelidik muda  bagi memanfaatkan segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada pelaksanaan projek penyelidikan sejajar dengan masalah penyelidikan yang mereka tetapkan sendiri.
Unit Penyelidikan Prauniversiti SMI telah mengambil kira kawalan sumber yang dipunyai oleh pelajar sebelum mereka bentuk format penyelidikan yang seragam, iaitu penyelidikan tinjauan dengan persampelan bukan rawak bertujuan; proses instrumentasi sendiri dan pentadbiran soal selidik secara serentak di tempat yang sama, serta sekali sahaja. Walaupun skala penyelidikan yang dijalankan telah disederhanakan, asas ilmu penyelidikan yang dipraktikkan tidak pernah dikurangkan. Penyelidik muda SMI telah dilengkapkan dengan proses dan tatacara penyelidikan secara teori, serta terus dilaksanakan.
Aktiviti penyelidikan ala tutorial di SMI dilaksanakan pada setiap hari Selasa bermula penghujung Jun yang lalu. Minggu ini pelajar prauniversiti 6 Rendah SMI menjalani penilaian akademik yang pertama. Maka, aktiviti penyelidikan bab penutup ditunda ke hari Selasa minggu hadapan.
Sebelum draf semua bab dimuktamadkan sebagai laporan penyelidikan, semua pasangan penyelidik perlu melakukan pembentangan hasil penyelidikan dalam kolokium yang telah diatur selama tiga minggu selepas cuti hari raya. Pembentangan ala viva, iaitu suatu bentuk pentaksiran secara lisan bagi mempertahankan projek masing-masing itu, akan dinilai oleh guru akademik tingkatan 6 berdasarkan format pentaksiran terselaras. Pembentang terbaik akan dipilih mewakili setiap kelas dalam kolokium ketiga bagi menentukan pembentang terbaik peringkat sekolah.
Sesungguhnya kejayaan penyelidik muda SMI menyempurnakan proses penyelidikan daripada tahap penyediaan cadangan (proposal), pembentangan projek, dan serahan laporan penyelidikan yang lengkap membayangkan satu pencapaian luar biasa. Pengalaman pembelajaran sedemikian diperoleh atas kepercayaan dan prinsip bahawa keberanian melakukan penerokaan ilmu dengan bantuan pakar adalah lebih baik daripada berpeluk tubuh sambil melayan cakap-cakap yang bertaraf amatur. Tahniah buat semua penyelidik muda SMI...

Sunday, August 15, 2010

SEPANDUK DI SANA SINI (THE INFLUENCE OF BANNERS)

Sepanduk ialah kain (dan lain-lain) yang dibawa dalam perarakan (dan lain-lain) dalam menyatakan sesuatu kepada orang ramai. Takrifan Kamus Dewan Edisi III itu merangkumkan kain rentang dan poster juga sebagai sepanduk. Jika dahulu sepanduk ditulis menggunakan cat warna, kini cetakan komputer lebih berleluasa.
Sebagai medium iklan dan promosi yang berkesan, sepanduk dipasang di kawasan strategik yang menjadi laluan orang ramai. Kebiasaannya sepanduk mengandungi ilustrasi dan sejumlah kecil perkataan supaya dapat dibaca sepintas lalu sahaja. Jika terlalu banyak yang perlu dibaca, orang tidak akan peduli.
Ada juga sepanduk yang terhad untuk makluman organisasi tertentu, misalnya anggota sesebuah kelab atau persatuan yang hanya mempunyai keanggotaan sekitar 100 orang. Sepanduk yang ditempah khas terpampang sebelum majlis sebenar berlangsung. Jawatankuasa penganjur mahu menguar-uarkan kemeriahan majlis bagi menggamit kehadiran penuh para anggota mereka.
Sepanduk bagi mengalu-alukan ketibaan tetamu juga makin popular, termasuk majlis perkahwinan. Cara sedemikian dianggap penting bagi mengelakkan kekeliruan jika terdapat beberapa acara dan majlis yang sama berjalan serentak di kawasan berhampiran. Tetamu sudah boleh berat mulut atau malu bertanya, serta tidak perlu bergantung kepada pedoman peta lokasi, atau GPS.
Salah satu strategi kempen yang penting ialah propaganda menerusi sepanduk. Para strategis kempen tidak mengharapkan 100 peratus orang yang melihat sepanduk akan menyahut seruan yang dipaparkan. Memadai jika lima peratus sahaja yang bertindak balas.
Bagi meningkatkan semangat kekitaan dalam sesebuah organisasi, cogan kata, slogan dan tagline tertentu sering digembar-gemburkan. Apabila telah melekat dalam benak fikiran, diharapkan bahawa semua anggota organisasi akan sentiasa fokus untuk memajukan organisasi. Bagi sekolah ternama seperti SMK St Michael, Ipoh (SMI), sepanduk tentang tema  tahunan sekolah boleh dilihat di setiap sudut strategik.
Dalam politik parti arus perdana, pakar pemutar (spin doctor) memainkan jarum dan sentimen tertentu bagi meraih sokongan masyarakat, khususnya pengundi dalam pilihan raya. Politik sebagai suatu seni kemungkinan menjurus terhadap permainan persepsi. Walaupun media elektronik, media cetak dan internet disifatkan sangat berpengaruh, penggunaan sepanduk tidak boleh dipandang sebelah mata ...
Kesimpulannya, sepanduk akan terus relevan sebagai medium pemberitahuan dan penyampaian maklumat yang penting. Walaupun perlu mematuhi etika, peraturan dan caj yang tertentu, sepanduk tetap menjadi opsyen teratas. Keberkesanan sesuatu mesej iklan dan propaganda tidak dapat dinilai dengan wang ringgit...