Bagi pemegang kad kredit, mereka hanya perlu menyuakan kad di kaunter ketika hendak membuat bayaran. Sebab itu kad kredit digelar juga sebagai wang plastik justeru tiada bayaran tunai dilakukan. Kini, kebanyakan bank perdagangan menawarkan kad kredit yang berlandaskan hukum syarak.
Isu hutang yang lebih menarik ialah meminjam daripada adik-beradik, kawan sekerja dan orang lain yang dikenali walaupun tidak begitu rapat. Berbagai-bagai taktik pujuk rayu digunakan untuk meraih simpati. Biasanya, orang yang hendak berhutang seolah-olah memberi jaminan bahawa hutangnya hanyalah sehari, esoknya terus dibayar balik.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Orang yang berhutang buat muka selamba seakan-akan orang suci yang perlu dihormati. Kalau ditanya, tanpa rasa bersalah sekelunit pun, dia akan mohon tangguh, tangguh dan tangguh.
Mungkin di dalam hati si penghutang, biarlah si pemiutang tadi berasa bosan untuk menagih kembali wangnya, lalu melafazkan "halal" sahaja! Apa-apa sahaja justifikasi akan digunakan termasuk tanggungjawab sesama adik-beradik: yang kaya membantu yang susah, kawan tolong kawan dan berbagai-bagai alasan yang zahirnya sangat logik. Orang yang berhutang juga membuat andaian bahawa kalau dia mati kelak, bayarannya bakal dilangsaikan oleh anggota keluarga yang masih hidup.
Secara analogi, hutang ibarat pertukaran antara bahagia dengan derita. Orang yang memiliki wang ialah si bahagia, manakala orang yang tiada wang sebagai si derita. Apabila proses hutang berlaku, si bahagia akan menyerahkan wangnya kepada si derita. Si bahagia mulai berharap wangnya cepat kembali, sedangkan si derita mula menguntum senyuman berbisa.
Lama-kelamaan si bahagia bertukar menjadi si derita, si derita yang asal kini menjadi si bahagia pula. Orang yang memberi hutang hakikatnya telah menyerahkan kebahagiaannya. Sebagai ganti, dia akan mengambil alih penderitaan orang yang berhutang.
Sebab itu dalam perkhidmatan awam, perbuatan berhutang sesama kakitangan awam dimasukkan sebagai kesalahan tatatertib bab D. Maknanya, kedua-dua pihak: yang berhutang, dan yang memberi hutang boleh disabitkan dengan hukuman yang diperuntukkan dalam perintah am kerajaan. Langkah yang paling baik ialah dengan mengggunakan semua sumber pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan dan swasta, dan ukurlah baju di badan sendiri...
No comments:
Post a Comment