Ada juga sepanduk yang terhad untuk makluman organisasi tertentu, misalnya anggota sesebuah kelab atau persatuan yang hanya mempunyai keanggotaan sekitar 100 orang. Sepanduk yang ditempah khas terpampang sebelum majlis sebenar berlangsung. Jawatankuasa penganjur mahu menguar-uarkan kemeriahan majlis bagi menggamit kehadiran penuh para anggota mereka.
Sepanduk bagi mengalu-alukan ketibaan tetamu juga makin popular, termasuk majlis perkahwinan. Cara sedemikian dianggap penting bagi mengelakkan kekeliruan jika terdapat beberapa acara dan majlis yang sama berjalan serentak di kawasan berhampiran. Tetamu sudah boleh berat mulut atau malu bertanya, serta tidak perlu bergantung kepada pedoman peta lokasi, atau GPS.
Salah satu strategi kempen yang penting ialah propaganda menerusi sepanduk. Para strategis kempen tidak mengharapkan 100 peratus orang yang melihat sepanduk akan menyahut seruan yang dipaparkan. Memadai jika lima peratus sahaja yang bertindak balas.
Bagi meningkatkan semangat kekitaan dalam sesebuah organisasi, cogan kata, slogan dan tagline tertentu sering digembar-gemburkan. Apabila telah melekat dalam benak fikiran, diharapkan bahawa semua anggota organisasi akan sentiasa fokus untuk memajukan organisasi. Bagi sekolah ternama seperti SMK St Michael, Ipoh (SMI), sepanduk tentang tema tahunan sekolah boleh dilihat di setiap sudut strategik.
Dalam politik parti arus perdana, pakar pemutar (spin doctor) memainkan jarum dan sentimen tertentu bagi meraih sokongan masyarakat, khususnya pengundi dalam pilihan raya. Politik sebagai suatu seni kemungkinan menjurus terhadap permainan persepsi. Walaupun media elektronik, media cetak dan internet disifatkan sangat berpengaruh, penggunaan sepanduk tidak boleh dipandang sebelah mata ...
Kesimpulannya, sepanduk akan terus relevan sebagai medium pemberitahuan dan penyampaian maklumat yang penting. Walaupun perlu mematuhi etika, peraturan dan caj yang tertentu, sepanduk tetap menjadi opsyen teratas. Keberkesanan sesuatu mesej iklan dan propaganda tidak dapat dinilai dengan wang ringgit...
No comments:
Post a Comment