Orang yang bermulut tempayan pula gemar sekali menokok cerita. Sejengkal jadi sehasta, sehasta jadi sedepa. Kalau diibaratkan masakan, segala macam perasa dan perisa ditambahkan sebagai pembangkit selera walaupun hakikatnya yang sedap itu racun.
Di kampung, si tukang gosip atau kaki umpat digelar sebagai wartawan yang menjaja berita tanpa diketahui statusnya, benar atau palsu. Begitu juga halnya di kawasan perumahan apabila muncul kumpulan "mesyuarat tingkap" yang membabitkan suri rumah sepenuh masa. Mereka bercakap semahu-mahunya, lupa adab, lupa akhlak, lupa diri, lupa etika dan lupa iman.
Kini, aktiviti sembang bersemuka bertukar bentuk kepada sembang maya. Kemunculan capaian internet dan telefon bimbit menjadi medium terhangat menyebarkan cerita. Kali ini, skala sembang sudah tidak bersempadan lagi.
Jika anda berada dalam mana-mana majlis, ketika acara berlangsung, sebahagian hadirin sibuk dengan paparan telefon bimbit masing-masing. Begitu juga dalam bas ekspres, tren aliran ringan atau tempat awam. Barangkali begitulah gaya kehidupan era teknologi nano.
Berbual, berbincang, bercerita, berdebat dan bersembang bukanlah sesuatu yang terlarang. Hanyasanya komunikasi yang berlaku perlukan kawalan dan kebijaksanaan. Asalkan bukan percakapan yang sia-sia, atau yang menjerumuskan mana-mana individu dan organisasi menjadi binasa, silakan.
Melainkan dengan izin, sisi kehidupan peribadi seseorang, dan hal-ehwal dalaman sesebuah organisasi tidak wajar didedahkan. Murid dan pelajar sekolah juga harus dilatih supaya dapat menahan diri daripada menyebarkan cerita-cerita tertentu dalam bilik darjah sehingga berpotensi mengundang fitnah, serta menjejaskan nama baik sekolah. Sebaik-baiknya berpeganglah kepada peribahasa yang berbunyi: yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan...
No comments:
Post a Comment