SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, August 16, 2010

PENYELIDIK MUDA SMI MASUK FASA AKHIR (THE FINISHING TOUCH OF MICHAELIAN'S YOUNG RESEARCHERS)

Setelah lebih dua bulan menerima pendedahan tentang dunia penyelidikan secara ilmiah, penyelidik muda prauniversiti tingkatan 6 Rendah, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini berada pada penghujung perjalanan menyiapkan projek masing-masing. Terdapat hampir 100 pasangan penyelidik yang telah bertungkus-lumus melaksanakan projek yang berupa kejutan budaya dalam proses pembelajaran mereka. Walaupun pernah menyediakan folio, serta kajian tempatan semasa menengah rendah, skala penyelidikan kali ini jauh lebih luas dan mendalam sekali.
Kini, penyelidik muda SMI telah masuk kepada bab penutup. Maknanya, mereka telah menyiapkan draf bab pengenalan, bab tinjauan bacaan, bab kaedah penyelidikan, dan bab analisis data. Bab terakhir ini bakal menyerlahkan potensi mereka sebagai penyelidik muda  bagi memanfaatkan segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada pelaksanaan projek penyelidikan sejajar dengan masalah penyelidikan yang mereka tetapkan sendiri.
Unit Penyelidikan Prauniversiti SMI telah mengambil kira kawalan sumber yang dipunyai oleh pelajar sebelum mereka bentuk format penyelidikan yang seragam, iaitu penyelidikan tinjauan dengan persampelan bukan rawak bertujuan; proses instrumentasi sendiri dan pentadbiran soal selidik secara serentak di tempat yang sama, serta sekali sahaja. Walaupun skala penyelidikan yang dijalankan telah disederhanakan, asas ilmu penyelidikan yang dipraktikkan tidak pernah dikurangkan. Penyelidik muda SMI telah dilengkapkan dengan proses dan tatacara penyelidikan secara teori, serta terus dilaksanakan.
Aktiviti penyelidikan ala tutorial di SMI dilaksanakan pada setiap hari Selasa bermula penghujung Jun yang lalu. Minggu ini pelajar prauniversiti 6 Rendah SMI menjalani penilaian akademik yang pertama. Maka, aktiviti penyelidikan bab penutup ditunda ke hari Selasa minggu hadapan.
Sebelum draf semua bab dimuktamadkan sebagai laporan penyelidikan, semua pasangan penyelidik perlu melakukan pembentangan hasil penyelidikan dalam kolokium yang telah diatur selama tiga minggu selepas cuti hari raya. Pembentangan ala viva, iaitu suatu bentuk pentaksiran secara lisan bagi mempertahankan projek masing-masing itu, akan dinilai oleh guru akademik tingkatan 6 berdasarkan format pentaksiran terselaras. Pembentang terbaik akan dipilih mewakili setiap kelas dalam kolokium ketiga bagi menentukan pembentang terbaik peringkat sekolah.
Sesungguhnya kejayaan penyelidik muda SMI menyempurnakan proses penyelidikan daripada tahap penyediaan cadangan (proposal), pembentangan projek, dan serahan laporan penyelidikan yang lengkap membayangkan satu pencapaian luar biasa. Pengalaman pembelajaran sedemikian diperoleh atas kepercayaan dan prinsip bahawa keberanian melakukan penerokaan ilmu dengan bantuan pakar adalah lebih baik daripada berpeluk tubuh sambil melayan cakap-cakap yang bertaraf amatur. Tahniah buat semua penyelidik muda SMI...

No comments: