SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 28, 2009

TABIR BESI BERBISIK: KISAH SI ANI (BEYOND CELL: THE STORY OF ANI)

Pada suatu tengah malam, Rohani, 23 tahun, yang baru balik daripada kegiatan rempit telah dihalau oleh ibu angkatnya. Alasannya, Ani enggan berkahwin dengan Tuan Munir, seorang ah long. Ani mahu dijadikan tebusan. Namun, disebabkan Ani tiada arah tujuan, akhirnya dia mengalah. Malangnya, status isteri hanyalah luaran. Hakikatnya Ani didagangkan.

Pada suatu hari, seorang lelaki yang sangat Ani kenali telah datang. Dia mahu menyelamatkan Ani. Setelah keluar daripada kurungan suami, Ani mendapatkan Rusdi, kekasih lama yang menyelamatkannya itu. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Kali ini Ani terpaksa menjadi pengedar dadah di bawah arahan Rusdi. Suatu hari Ani diberkas polis, lalu dibicarakan di mahkamah. Ani dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah melebihi 100 gram.

Selama tiga tahun mendekam di penjara sementara menyelesaikan proses rayuan, Ani mendekatkan diri dengan Ilahi. Ani insaf, dan menyesali segala perbuatan silamnya. Selain itu, Ani ingin sekali menemui ibu kandungnya. Gambar berusia sesuku abad sukar dijadikan sandaran. Ibunya bekas GRO, seangkatan dengan ibu angkatnya. Ibunya menghilangkan diri tanpa muncul-muncul lagi.

Segala suka duka dan pengalaman hidup Ani ditulis dalam nota dan diletak kemas dalam sebuah kotak kecil untuk diserahkan kepada Seri Mawar, seorang pengarang majalah yang terkenal. Ani mahu kisah hidupnya dikongsi oleh masyarakat untuk dijadikan iktibar dan sempadan.


Tiba saat hendak digantung, hanya dua permintaan terakhir Ani. Pertama, mahu kisah hidupnya dikongsi untuk menjadi iktibar. Kedua, mahu mati dalam keadaan bertelekung, tanda taubat nasuha.

Kisah Ani di atas ialah nukilan A. Wahid Nasir, dari TTDI, Kuala Lumpur, disiarkan menerusi slot Panggung Drama, saluran Klasik Nasional RTM, pukul 12.30 tengah hari pada hari Ahad, 28 Jun 2009. Drama setengah jam itu dijayakan oleh dramatis Dato' Jalaluddin Hassan, Normah Damanhuri, Amyza Adnan dan Azhan. Muzik latar bersesuaian dengan penceritaan, manakala kata bual drama boleh dikatakan menyentuh perasaan pendengar.

Tidak dapat dipastikan jumlah pendengar drama radio era DVD, televisyen kabel dan you tube ini. Pada era 1980-an dahulu drama radio paling ditunggu seisi rumah. Satu lagi siaran radio yang mencatat jumlah pendengar tertinggi ialah "Bangsawan di Udara".

Tidak dapat juga dipastikan sama ada remaja kini mengambil peduli tentang drama radio atau tidak. Mungkin kalau drama sebabak Aznil dan Din Beramboi, Era FM lebih menangkap imaginasi mereka. Atau mereka lebih senang dengan celoteh FBI dan Fafau di Hot FM.

Bagi peminat drama tegar, mereka tidak kisah. Namun, bagi penganalisis drama, skrip yang berorientasi dera sosial (social torture) sangat mendukacitakan. Berapa lama masyarakat hendak disogokkan dengan ceritera lara yang tidak berpenghujung? Mana skrip yang menjurus kepada motivasi dan inspirasi buat titipan generasi muda?

Walaupun zaman berubah, peminat drama masih banyak. Khalayak pendengar drama radio dahagakan karya-karya yang lebih matang, dan terselit mesej yang disampaikan secara bersahaja, santai dan tidak membebankan minda. Slot drama masih dijadikan wahana hiburan ringan oleh masyarakat, sepertimana penglipur lara dan wayang kulit pada zaman dahulu kala.

Bagi memastikan generasi muda, khususnya murid sekolah akan terus menghargai genre drama, maka buku teks komsas memasukkan beberapa skrip drama yang ditulis oleh sasterawan ternama negara. Bahkan, judul drama "Kerusi" diangkat sebagai judul buku teks komponen sastera (komsas) tingkatan lima. Namun, murid tingkatan empat sudah mulai menggunakan teks antologi komsas yang baharu.

Saturday, June 27, 2009

SMI KETIGA HOKI PREMIER (MICHAELIANS NO. 3 IN PREMIER SCHOOL'S HOCKEY)








Bota Kanan, Parit
Sabtu, 27 Jun 2009 (4 Rejab 1429)

Skuad hoki SMI akhirnya mencatat sejarah baru apabila berjaya merebut tempat ketiga dalam pertandingan hoki sekolah premier zon Perak 2009, satu pencapaian tertinggi sejak penyertaannya dalam temasya berkenaan. Dalam perlawanan yang berlangsung di padang rumput SMK Dato' Abdul Rahman Yaakub (SMDARY), SMI menjinakkan SMK Sultan Iskandar Shah, Parit (tuan rumah bersama temasya sukan sekolah premier zon Perak, selain Main Convent, Ipoh) dengan kemenangan selesa 3 - 1. Perlawanan bermula pukul 8.30 pagi.

Kedua-dua pasukan pada mulanya mengamalkan permainan berhati-hati sambil menguji kekuatan dan kelemahan lawan. Pada minit ke-19, Raj menghadirkan keceriaan buat SMI apabila menyempurnakan tolakan penalti sudut ke gawang lawan. Namun, belum pun rasa puas yang tergambar di wajah pemain SMI hilang, pasukan lawan berjaya menembusi pertahanan SMI yang agak terleka dengan satu gol padang. Setelah itu, permainan agak seimbang.

Sebaik separuh masa kedua dimulakan, kedua-dua pasukan saling berbalas-balas serangan. Pujian harus diberi kepada Jeetenraj, penjaga gawang SMI yang banyak kali menafikan ancaman penyerang SMK Iskandar Shah dengan tampanan yang tepat dan keberanian mengeluarkan bola daripada kawasan D. SMI kembali di hadapan dengan satu gerakan cantik dan disudahkan dengan satu tolakan kencang Charles Santiagao. SMI membenam sisa-sisa harapan lawan dengan gol ketiga pada minit ke-22 dengan cara yang hampir sama, kali ini giliran S. Singh.

Penyampaian pingat dan sijil berlangsung di Stadium Mini, Parit, iaitu 20 kilometer daripada tempat perlawanan hoki. Majlis disempurnakan oleh Ahli Parlimen Parit, dan wakil Pengarah JPN (Ketua Sektor Kemanusiaan, Haji Idris Ramli). Pengetua SMi juga kelihatan. Kemudian, pegawai dan pemain diraikan dalam satu jamuan makan tengah hari sambil diiringi persembahan gamelan SMK Convent, Ipoh.

Keputusan lain:

Hoki akhir: Anderson (juara kebangsaan 2008) mengalahkan Clifford 2-0;

Bola sepak akhir: Clifford kalahkan Anderson (juara kebangsaan 2008) 2-1;

Bolak sepak tempat 3-4: SYS Batu Gajah kalahkan King Edward, Taiping 3-1;

Bola jaring akhir: Ave Maria (juara kebangsaan 2008) kalahkan RPS, Ipoh 38-33;

Bola jaring tempat 3-4: SMK St Bernedette Convent, Batu Gajah kalahkan Convent Taiping 23-9.

Pada tahun ini ragbi dan hoki perempuan direhatkan.
Edisi 2010 akan merehatkan hoki lelaki, dan satu lagi permainan yang bakal diputuskan kemudian.

Johan setiap acara akan mewakili zon Perak ke peringkat kebangsaan.
Perak ialah juara keseluruhan kebangsaan sekolah-sekolah sejak beberapa tahun.

WACANA BAHASA DI CONVENT (LANGUAGE TALK AT MAIN CONVENT, IPOH)


nota: tarikh foto ialah 26.6.2009, bukan 1.1.2007;
note: the actual date of photos are 26th June 2009, not 1.1.2007





Jumaat, 26 Jun 2009 (3 Rejab 1430)

Penulis blog telah diberi penghormatan mengisi majlis dengan perbincangan beberapa aspek bahasa yang berkaitan dengan pelajar menengah atas. Kira-kira 300 orang pelajar dan sejumlah guru telah SMK Convent, Ipoh hadir. Perbincangan berlangsung lebih dua jam bermula pukul 10 pagi bertempat di Dewan Besar sekolah.

Antara perkara yang dibincangkan ialah perbezaan antara isi tersurat dengan isi tersirat berdasarkan sesuatu petikan. Cara menulis pendahuluan dan penutup sesuatu penulisan juga turut dibincangkan. Majlis menjadi hangat apabila proses mengenal pasti kata tugas dalam sesuatu pernyataan atau tugasan soalan dibangkitkan. Pelajar mengakui bahawa penentuan kata kunci didapati perlu lebih teliti supaya tidak tersalah jawab. Terdapat pelajar mencadangkan supaya pelajar mencuba beberapa kata kunci untuk dijadikan kata tugas soalan sebagai jalan selamat.

Isu tatabahasa seperti ejaan tercantum dan ejaan terpisah juga mendapat perhatian. Sebagai contoh< perkataan sekali gus yang dieja secara tercantum dalam Kamus Dewan Edisi i dan Edisi II. Begitu juga ejaan martabak yang dipengaruhi ejaan di pasar malam, iaitu "murtabak". Kisah peribahasa "melepaskan batok di tangga" yang diselewengkan menjadi "melepaskan batuk di tangga" juga disentuh.

Kajian novel Julia dan Perlumbaan Kedua sebagai teks komsas, di samping Anak Laut dan Kerusi dibincangkan secara holistik. Pelajar dapat membezakan cara menulis elemen-elemen komsas yang berlainan. Tidak ketinggalan juga saranan tentang kaedah menulis idea berasaskan KBKK diperhalusi.

Convent sudah pun menyambut perayaan 100 tahun pada 2007. Maknanya, Convent lebih senior daripada SMK ST Michael, Ipoh (SMI). Namun demikian, pelajar Convent yang memilih pengajian prauniversiti (tingkatan 6) akan mendaftar di SMI. Hubungan di peringkat itu sudah lama.

Thursday, June 25, 2009

HOKI SEKOLAH PREMIER: SMI KE PENENTUAN TEMPAT KETIGA (PREMIER SCHOOL’S HOCKEY: MICHAELIANS TO SETTLE 3RD PLACING)





Pertandingan akhir sekolah premier negeri Perak merupakan ulangan pertemuan dua finalis tahun lalu, Anderson dan Clifford, Kuala Kangsar. Kedua-dua pasukan projek hoki negeri itu menepati ramalan awal apabila membenam kesemua cabaran lawan dengan mudah. Anderson ialah juara bertahan dengan kemenangan bergaya 6 - 0 ke atas Clifford untuk edisi 2008. Anderson juga ialah naib juara hoki MSSM selaku wakil Perak apabila tewas tipis di tangan SSBJ (Bukit Jalil) yang mewakili Selangor.

Bertemu dengan Anderson sudah dikira suatu penghormatan. Walaupun tubuh pemain Anderson bersaiz lebih kecil kerana kebanyakan pemain yang diturunkan masih di peringkat menengah rendah, namun pemain yang dikumpul dari segenap ceruk negeri Perak ternyata perkasa di padang hoki. Michaelian cuba memberi saingan, namun kemahiran taktikal dan hantaran jauh Anderson berada di kelas yang tersendiri. Maka, SMI akan bertarung dengan tuan rumah temasya sekolah premier edisi 2009,SMK Idris Shah, Parit untuk merebut tempat ketiga Sabtu ini, pukul 8.30 pagi di padang hoki SMK Dato' Abdul Rahman Yaakub, Bota.

Walaupun dihadiahi sedozen jaringan, namun jumlah itu masih kecil dibandingkan dengan nasib yang diterima oleh pasukan lain sebelum ini. SMI akan terus mencongak peluang untuk meningkat lebih maju pada kejohanan lain yang bakal disertai. Kita mampu mara lebih jauh dengan syarat kita sanggup berusaha lebih keras, lebih bijak dan lebih berdisiplin. Sukan berprestasi tinggi kini ialah gabungan sains dan seni, iaitu memerlukan sentuhan intelektual dan penyelidikan.

Wednesday, June 24, 2009

HARI UCAPAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH 2009 SMK ST MICHAEL, IPOH (THE MICHAELIAN SPEECH DAY AND EXCELLENCE AWARDS GIVING)















Klik foto untuk paparan penuh

(click photo to enlarge)

GUBAH BUNGA SMI: KELAB CATUR MENANG (MICHAELIANS FLOWER ARRANGEMENTS: CHESS CLUB WINS)







Ipoh, 24 Jun 2009 (Rabu)

Sempena Hari Ucapan dan penyampaian Hadiah 2009, satu pertandingan menggubah bunga antara kelab dan persatuan di SMK St Michael, Ipoh (SMI) berlangsung selama dua jam mulai pukul 8.00 pagi. Tujuan utamanya untuk menyerlahkan kreativiti pelajar SMI, di samping memilih gubahan terbaik untuk menghias pentas acara majlis di Dewan Besar SMI. Pertandingan ini telah menjadi tradisi SMI sejak sekian lama.

Ia suatu proses pembelajaran yang unik. Nilai kerjasama, kesabaran dan kepimpinan perlu diadunkan sekali bagi mengilhamkan gubahan yang berjaya memikat hati juri yang arif dalam bidang berkenaan. Konsep yang dipersetujui itu perlu dipindahkan dalam bentuk hasil kerja manipulatif yang asli dan kontemporari.

Setelah diadili, gubahan bunga Kelab Catur telah dipilih sebagai pemenang utama, diikuti oleh Kelab Pembimbing Rakan Sebaya. Gubahan juara menghiasi meja pengacara majlis hari ucapan, manakala gubahan kedua terbaik diletakkan di atas meja tetamu kehormat. Gubahan lain menghiasi sekitar pentas.

Tuesday, June 23, 2009

HOKI SEKOLAH PREMIER: SMI LAYAK KE SEPARUH AKHIR (PREMIER SCHOOL’S HOCKEY: MICHAELIANS SET CLASH WITH ANDERSON)



Kuala Kangsar, 23 Jun 2009 (Selasa)

Bagaikan ulangan skrip perlawanan ketika menentang Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR) tempoh hari, skuad hoki SMK St Michael, Ipoh (SMI) berjaya melakar kemenangan ke atas pasukan tuan rumah suku akhir kedua, iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Perlawanan yang dijadualkan pukul empat petang tertunda selama sejam ekoran hujan lebat dan masalah teknikal. Disebabkan pihak MC tidak menyediakan pasukan sorak mereka sebagaimana lazim, padang MC seakan-akan milik penuh SMI. Hanya suara penyokong SMI yang kedengaran.

Turun sebagai pilihan, MC tidak menunggu lama. Seawal minit kedua, MC berjaya menyumbat gol pendahuluan dengan satu tolakan kencang dalam kawasan D. MC memperoleh lima pukulan sudut penalti, namun tiada satu pun yang berhasil. Permainan separuh masa pertama lebih banyak berlegar di kawasan SMI. Penjaga gawang SMI sibuk sekali memastikan tiada lagi bola menerjah jaring.

Pasukan ‘lambat panas’ SMI bagaikan menyedari bahawa mereka mesti cepat-cepat mencari gol penyamaan supaya moral pasukan tuan rumah dapat dipudarkan. SMI memperkemas kawalan bola dan membuat umpanan-umpanan cantik untuk memperdaya pertahanan lawan. Pada pertengahan separuh masa kedua, Matthews Jude, kapten SMI berjaya menghadiahkan jaringan yang ditunggu-tunggu. Kemudian, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Perlawanan sepenuh masa berakhir dengan kedudukan seri 1 – 1. Justeru perlawanan timbal balik tidak jadi dilaksanakan, maka penentuan pemenang perlu dibuat menerusi tolakan penalti. Pengalaman SMI mencatat kemenangan ke atas STAR dengan cara yang serupa memberi sedikit kelebihan. Dua tolakan awal MC tersasar dan dapat ditampan oleh penjaga gawang SMI, sedangkan SMI berhasil dengan kedua-dua pukulan. MC merapatkan jurang menerusi pemain ketiga. SMI kemudian berjaya menjadikan kedudukan 3 – 1. Kegagalan pemain keempat MC menolak tepat ke gawang mengakibatkan tuan rumah kecundang.

Pengadil perlawanan ialah guru SMK Clifford, dan seorang lagi guru dari Sungai Siput Utara. Tiada insiden kecederaan yang berlaku. Hanya dua orang pemain (masing-masing satu SMI, satu MC) mengalami kekejangan otot. Setelah diberi bantuan oleh pegawai perlawanan, kedua-dua mereka dapat meneruskan saingan.

SMI akan bertemu dengan SMK Anderson pada peringkat separuh akhir hujung minggu ini. Anderson ialah salah satu pasukan elit dan mengambil bahagian dalam Liga Hoki Malaysia. Tahun lalu di peringkat awal, SMI berjaya mencemaskan Anderson dengan hanya melepaskan satu gol. Di atas kertas, Anderson pasti jadi pilihan. Namun, perlawanan akan berlangsung di padang, bukan di atas kertas. Selamat berusaha mencipta kejutan, Michaelians!

Monday, June 22, 2009

HARI UCAPAN SMI 2009 (SPEECH DAY FOR MICHAELIANS)



Ipoh, 22 Jun 2009 (Isnin)

Hanya dua hari lagi pelajar cemerlang St Michael, Ipoh tahun 2008 akan diberi pengiktirafan. Fokus Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah ialah pencapaian kurikulum, sama ada peperiksaan awam, mahupun peperiksaan dalaman. Sesuatu yang unik ialah pada ketika kebanyakan sekolah memilih untuk menjenamakan semula Hari Ucapan kepada Majlis Anugerah Kecemerlangan, SMI masih mengekalkan nama klasik berkenaan.

Majlis akan berlangsung mulai pukul dua petang pada hari Rabu ini. Tempatnya di Dewan besar SMI. Tetamu kehormat ialah Dato' Seri Lee Oi Hian, bekas Michaelian yang kini menerajui kumpulan KL-Kepong Berhad, sebuah konglomerat perladangan, hartanah dan pembuatan yang tersenarai di papan utama, Bursa Saham Malaysia. Beliau juga ialah Pengerusi Lembaga Pengelola SMI. Terima kasih Dato' Seri.

Di samping ucapan, majlis bakal diserikan dengan persembahan choral speaking, orkestra Cina Michaelian (MCO) dan school rally. Bagi memastikan kelancaran majlis, dua sesi raptai dijalankan, termasuk raptai penuh sehari sebelum acara sebenar. Moga Hari Ucapan kali ini mengukuhkan lagi pengisian tema "Upholding the Great Michaelian Ethos."

Saturday, June 20, 2009

KAJIAN TINDAKAN: TIGA GURU BENTANG (PRACTITIONER RESEARCH IN EDUCATION: THREE ST MICHAEL'S TEACHERS PRESENTED FINDINGS)





Educational research has been in the spotlight in the late 1990s. This is partly because of the criticisms levelled by certain academics and partly because of an enhanced appreciation that teaching must become a research-based profession (Tony Bush, University of Leicester, 1999). Joyce, one of the most prominent figure in the educational research identifies school-based research as one of the five 'doors' to school improvement. Investigating practice provides both the evidence to justify change and the probability that teachers will be motivated to innovate if they have been directly involved in identifying the need. The advantages of the so-called school-based research are frequently small-scale and focus. At the same time, the need to ground policy decisions in data about how the school is functioning is paramount. This kind of site-based practitioner research conducted and administered by teachers themselves is actually an attempt to change the school culture which was long ago stimulated changes from outside the institution such as inspectorate or the local educational authorities. The five 'doors' are:

1 collegiality: professional relations within schools;
2 research: effective instructional practice related to the findings;
3 site-specific information;
4 curriculum intitatives / innovation; and
5 instructional initiatives: organising teachers to study skills and strategies.

To narrowing down practitioner research to the school, the main aim of research shifted from the nature to produce new knowledge toward improve practice. As such, action research means to bring about change, and to promote reflection among teachers.


Begitulah panjangnya mukadimah tentang kajian tindakan yang kini dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia, tidak terkecuali SMK St Michael, Ipoh (SMI). Pagi tadi (Sabtu 20 Jun 2009), tiga pembentangan kajian tindakan dijayakan semasa program latihan dalam perkhidmatan (LADAP) siri 3. Pembentang mewakili Jabatan Bahasa, Jabatan Sains dan Jabatan Kemanusiaan. Wakil Jabatan Vokasional dan Teknik akan berbuat demikian pada sesi Ladap akan datang.

Friday, June 19, 2009

TAWARAN REJAB DATANG LAGI! (THE REJAB OFFER)

Hari ini 25 Jamadil Akhir 1430 Hijriyyah, bermakna bulan Rejab sudah di ambang pintu. Kedatangan bulan Rejab, disusuli bulan Syaaban, bermakna umat Islam semakin merindui Ramadan, iaitu bulan penuh ganjaran. Mudah-mudahan kita dipanjangkan umur dimurahkan rezeki, Insya-Allah.

Berdasarkan keterangan kitab Mukasyafah al-Qulub (Penenang Jiwa), Junjungan Baginda Sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda, mafhumnya: "Rejab ialah bulan Allah, Syaaban itu bulanku, dan Ramadan ialah bulan umatku."

Abu Hurairah radiallahu anhu meriwayatkan telah bersabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam, mafhumnya; "Sesiapa puasa 27 Rejab, maka dituliskan untuknya puasa 60 bulan. Itulah hari untuk pertama kalinya Jibril turun kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam di-Israk Mikraj-kan.

Dalam riwayat lain, baginda Sallallahu alaihi wasallam bersabda, mafhumnya: "Rejab ialah bulan Allah. Sesiapa puasa sehari dari bulan Rejab kerana iman dan mengharapkan akan Redha Allah, pasti dia mendapatkan Redha Allah Yang Maha Agung"

Marilah kita memperbanyak amal ibadah dan kebajikan sepanjang bulan Rejab. Mudah-mudahan kelaziman berbuat demikian akan menjadi pembawaan diri kita sepanjang hayat, Insya-Allah.