SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 28, 2009

TABIR BESI BERBISIK: KISAH SI ANI (BEYOND CELL: THE STORY OF ANI)

Pada suatu tengah malam, Rohani, 23 tahun, yang baru balik daripada kegiatan rempit telah dihalau oleh ibu angkatnya. Alasannya, Ani enggan berkahwin dengan Tuan Munir, seorang ah long. Ani mahu dijadikan tebusan. Namun, disebabkan Ani tiada arah tujuan, akhirnya dia mengalah. Malangnya, status isteri hanyalah luaran. Hakikatnya Ani didagangkan.

Pada suatu hari, seorang lelaki yang sangat Ani kenali telah datang. Dia mahu menyelamatkan Ani. Setelah keluar daripada kurungan suami, Ani mendapatkan Rusdi, kekasih lama yang menyelamatkannya itu. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Kali ini Ani terpaksa menjadi pengedar dadah di bawah arahan Rusdi. Suatu hari Ani diberkas polis, lalu dibicarakan di mahkamah. Ani dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah melebihi 100 gram.

Selama tiga tahun mendekam di penjara sementara menyelesaikan proses rayuan, Ani mendekatkan diri dengan Ilahi. Ani insaf, dan menyesali segala perbuatan silamnya. Selain itu, Ani ingin sekali menemui ibu kandungnya. Gambar berusia sesuku abad sukar dijadikan sandaran. Ibunya bekas GRO, seangkatan dengan ibu angkatnya. Ibunya menghilangkan diri tanpa muncul-muncul lagi.

Segala suka duka dan pengalaman hidup Ani ditulis dalam nota dan diletak kemas dalam sebuah kotak kecil untuk diserahkan kepada Seri Mawar, seorang pengarang majalah yang terkenal. Ani mahu kisah hidupnya dikongsi oleh masyarakat untuk dijadikan iktibar dan sempadan.


Tiba saat hendak digantung, hanya dua permintaan terakhir Ani. Pertama, mahu kisah hidupnya dikongsi untuk menjadi iktibar. Kedua, mahu mati dalam keadaan bertelekung, tanda taubat nasuha.

Kisah Ani di atas ialah nukilan A. Wahid Nasir, dari TTDI, Kuala Lumpur, disiarkan menerusi slot Panggung Drama, saluran Klasik Nasional RTM, pukul 12.30 tengah hari pada hari Ahad, 28 Jun 2009. Drama setengah jam itu dijayakan oleh dramatis Dato' Jalaluddin Hassan, Normah Damanhuri, Amyza Adnan dan Azhan. Muzik latar bersesuaian dengan penceritaan, manakala kata bual drama boleh dikatakan menyentuh perasaan pendengar.

Tidak dapat dipastikan jumlah pendengar drama radio era DVD, televisyen kabel dan you tube ini. Pada era 1980-an dahulu drama radio paling ditunggu seisi rumah. Satu lagi siaran radio yang mencatat jumlah pendengar tertinggi ialah "Bangsawan di Udara".

Tidak dapat juga dipastikan sama ada remaja kini mengambil peduli tentang drama radio atau tidak. Mungkin kalau drama sebabak Aznil dan Din Beramboi, Era FM lebih menangkap imaginasi mereka. Atau mereka lebih senang dengan celoteh FBI dan Fafau di Hot FM.

Bagi peminat drama tegar, mereka tidak kisah. Namun, bagi penganalisis drama, skrip yang berorientasi dera sosial (social torture) sangat mendukacitakan. Berapa lama masyarakat hendak disogokkan dengan ceritera lara yang tidak berpenghujung? Mana skrip yang menjurus kepada motivasi dan inspirasi buat titipan generasi muda?

Walaupun zaman berubah, peminat drama masih banyak. Khalayak pendengar drama radio dahagakan karya-karya yang lebih matang, dan terselit mesej yang disampaikan secara bersahaja, santai dan tidak membebankan minda. Slot drama masih dijadikan wahana hiburan ringan oleh masyarakat, sepertimana penglipur lara dan wayang kulit pada zaman dahulu kala.

Bagi memastikan generasi muda, khususnya murid sekolah akan terus menghargai genre drama, maka buku teks komsas memasukkan beberapa skrip drama yang ditulis oleh sasterawan ternama negara. Bahkan, judul drama "Kerusi" diangkat sebagai judul buku teks komponen sastera (komsas) tingkatan lima. Namun, murid tingkatan empat sudah mulai menggunakan teks antologi komsas yang baharu.

No comments: