SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, August 31, 2009

PENGALAMAN ZAMAN PERANG : WIRA YANG TIDAK DIKENALI (WAR TIME EXPERIENCES: THE UNSUNG HEROES)



Lahir pada tahun Malayan Union dimasyhurkan oleh penjajah Inggeris (1946). Jepun yang menduduki Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua (1942-45) terpaksa menyerah kalah kepada imperialis Barat apabila Hiroshima dan Nagasaki bagaikan padang jarak padang terkukur akibat ledakan bom atom yang digugurkan oleh tentera Amerika Syarikat. Akibatnya, hingga ke hari ini Jepun tidak dibenarkan menubuhkan pasukan tentera sendiri, sebaliknya kedaulatan Jepun dijaga oleh tentera Amerika Syarikat.

Tuan Haji Ibrahim bin Mohamad menceritakan bahawa justeru tinggal di kampung yang terpencil, perkembangan perang, darurat dan perjuangan kemerdekaan tidak begitu diketahuinya. Ketika merdeka, Haji Ibrahim baharu 11 tahun dan sedang asyik bermain dengan kawan sebaya di kawasan "hutan" kampung. Namun, berdasarkan cerita ayah beliau, semua ketumbukan penjajah termasuk Inggeris dan Jepun serta Bintang Tiga (komunis) tidak pernah sampai ke kampung mereka kerana telah "dipagar" oleh Tok Guru Haji Mahmud, iaitu moyang beliau sendiri.

Haji Ibrahim pernah mendengar nama Tuan Guru Abdul Rahman Limbong yang berjuang mengusir penjajah di Hulu Terengganu. Barang diingat, askar Jepun mendarat di utara Kelantan, sambil Hulu Terengganu turut menjadi laluan mereka. Nama Abdul Rahman Limbong tercatat dalam buku teks sejarah sekolah menengah.

Haji Ibrahim merasai kesusahan hidup zaman sebelum merdeka. Haji Ibrahim berjaya menamatkan persekolahan sekolah Melayu dan kemudian dihantar belajar di sebuah madrasah di Kelantan. Namun pengajian menengah beliau tidak dihabiskan kerana perlu membantu ibu bapa membanting tulang di bendang dan di kebun.

Kecenderungan sebenar Haji Ibrahim lebih kepada bidang teknikal dan hands-on. Buktinya, tanpa pengajian formal, Haji Ibrahim berjaya menjadi tukang rumah yang dikenali. Haji Ibrahim bukan sekadar boleh membina rumah kampung, tetapi banglo mewah. Dua orang anak beliau mewarisi minat itu; seorang pelajar kejuruteraan mekanikal dan seorang lagi CAD-CAM Design. Seorang lagi akauntan perkapalan, seorang guru dan seorang pengajar komputer.




Tuan Haji Ismail bin Abdullah, 84 mempunyai pengalaman yang jauh lebih panjang. Semasa remaja, beliau secara sukarela menawarkan diri bekerja di landasan kereta api "maut" Siam - Burma (kini Myanmar yang diperintah junta tentera). Namun, Haji Ismail hanya bekerja di wilayah Siam kerana demam. Rayuan bapa saudaranya diterima Jepun, dan Haji Ismail dihantar pulang.

Haji Ismail pernah dilantik sebagai mandur kayu pasung dan menjaga 100 orang pekerja bawahan. Tetapi semangat untuk berdikari menyebabkan Haji Ismail meletak jawatan dan mula berniaga kecil-kecilan daripada menjual ais krim, roti, mengusahakan kedai runcit dan berniaga kelapa kering hingga ke Kuala Lumpur. Haji Ismail dapat menceritakan dengan terperinci perkembangan Kuala Lumpur, dan hotel pada masa itu.

Malah, 40 hari selepas peristiwa 13 Mei 1969, Haji Ismail begitu berani berniaga ke Kuala Lumpur walaupun tauke (pengasas minyak cop Buruh) melarangnya berbuat demikian. Kata Haji Ismail lagi, jalan Bentong - Kuala Lumpur begitu sempit. Jika berselisih, salah sebuah lori terpaksa ke tepi dan memberi laluan.

Haji Ismail berumah tangga dengan Hajjah Che Safiah. Pasangan bahagia itu memiliki tiga orang anak, dua daripadanya pendidik. Selain itu 13 cucu dan 8 cicit. Haji Ismail memiliki pemikiran yang tajam dan pendirian yang tegas.

Haji Ismail berpesan kepada anak-anak muda supaya sentiasa bijak dalam merencanakan segala tindakan, tidak cukup sekadar pandai sahaja. Sebagai individu yang banyak merasai asam garam kehidupan susah dan dunia perniagaan, Haji Ismail turut berpendapat bahawa pemilikan aset seperti hartanah patut diutamakan daripada asyik bertukar kenderaan yang sentiasa terdedah kepada susut nilai. Pada Haji Ismail, selain tanah air, pendidikan kerohanian akan menjadi benteng kekuatan bangsa dan umat.

No comments: