SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, July 22, 2011

KRITERIA MEMILIH WAKIL SEKOLAH (EQUITY IN EDUCATION)

Dasar "1 Murid 1 Sukan" yang dilancarkan baru-baru ini diharap dapat membuka peluang penyertaan yang lebih adil kepada semua murid dalam aktiviti sukan, khususnya di peringkat sekolah. Pertandingan-pertandingan yang dianjurkan boleh dikategorikan semula, misalnya untuk atlet prestasi tinggi, sederhana dan potensi. Maka, penglibatan dalam aktiviti sukan akan lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa kerat muka yang sama justeru dibantu oleh kelebihan fizikal dan akses latihan yang teratur.

Selain acara sukan, banyak lagi aktiviti pertandingan koakademik dan kokurikulum yang lain. Pertandingan yang membabitkan kemahiran komunikasi seperti debat ala-parlimen, forum remaja, pantun, pidato, puisi dan lagu sebagai contoh memerlukan calon peserta yang cerdas mindanya, serta berupaya mempengaruhi hakim dengan isi dan hujah yang jitu. Walaupun mereka akan dibimbing oleh guru sebelum pertandingan, tetapi apabila sudah berada di ruang pertandingan, mereka akan kembali bersendirian, atau berkumpul bersama rakan sepasukan sahaja.

Pemilihan pemimpin murid, sama ada pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, majlis ketua tingkatan dan pembimbing rakan sebaya juga tidak sunyi daripada persepsi atau cakap belakang tentang kelayakan mereka yang tersenarai. Adakah pemilihan dilakukan secara tunjuk-tunjuk seperti membeli kuih-muih di pasar malam? Adakah semua kriteria yang telah digariskan dalam tatacara pengambilan pemimpin murid dipatuhi sepenuhnya?

Memandangkan persaingan merebut tempat terbaik di institut pengajian tinggi terkemuka, biasiswa dan temu duga jawatan memasukkan merit terhadap penglibatan, serta pencapaian dalam acara bersifat pertandingan di sekolah, maka pemilihan peserta perlu lebih jelas, telus dan utuh. Ibu bapa yang prihatin akan cuba menggalakkan penyertaan anak masing-masing supaya meraih markah penglibatan dan pencapaian dalam aktiviti luar bilik darjah. Maka, sebarang bentuk pemilihan peserta yang dianggap sambil lewa boleh mengundang kritikan ibu bapa.

Sudah ada kes mahkamah bahawa seorang hakim memfailkan saman kepada pihak sekolah (swasta) kerana menggugurkan penyertaan anak beliau dalam satu pertandingan koakademik. Mujurlah pihak sekolah berkenaan didapati telah akur akan garis panduan yang tertulis, serta tidak melakukan sebarang khilaf. Namun, kes itu merupakan duluan (precedent) supaya tidak berlaku sebarang kecuaian yang bakal menyusahkan pihak sekolah dan imej pihak berkuasa pendidikan.

Konflik kepentingan lebih ketara berlaku di sekolah-sekolah rendah. Keadaan demikian berpunca daripada terdapatnya guru yang turut mendaftarkan anak-anak sebagai murid di sekolah tempat mereka bertugas. Maka, apabila anak-anak mereka dipilih sebagai pemimpin murid atau wakil sekolah, kontroversi tentunya sukar ditepis begitu sahaja.

Penggunaan "kabel" juga telah sekian lama menjadi rahsia umum. Terdapat segelintir ibu bapa yang berpengaruh menghubungi pihak sekolah supaya mempertimbangkan pemilihan anak atau cucu masing-masing dalam hierarki kepimpinan murid atau anggota pasukan sekolah dalam sesuatu pertandingan. Dari satu sudut, tindakan itu hanyalah sebahagian ikhtiar ibu bapa, tetapi pihak sekolah tidak wajar menjadikannya sebagai tekanan untuk berlaku pilih kasih.

Barangkali satu manual panduan tentang tatacara pemilihan pemimpin murid dan wakil sekolah dalam pertandingan perlu disusun oleh pihak berkuasa pendidikan. Walaupun garis panduan mungkin dianggap satu lagi bentuk kongkongan yang menyusahkan, sekurang-kurangnya prinsip kesamarataan peluang (aksesibiliti) dan keadilan (ekuiti) benar-benar dapat dilaksanakan di sekolah. Semua murid, termasuk daripada kelompok kurang beruntung akan memiliki peluang bagi mengembangkan bakat, fakulti dan potensi yang ada dalam diri masing-masing...

No comments: