Sunday, July 31, 2011
BERMULA RAMADAN (THE MONTH OF CHARITY AND SPRITUAL TRAINING)
Kebetulan umat Islam menyambut tanggal 1 Ramadan 1432 bersamaan 1 Ogos 2011. Setiap individu yang beriman, yang cukup segala syarat mula menjalani ibadah puasa, iaitu rukun Islam yang ketiga. Dalam persekitaran iklim Khatulistiwa, tempoh berpuasa ialah kira-kira 14 jam, bermula lebih kurang pukul 5.30 pagi.
Malam sebelum bermula hari puasa, umat Islam mula menunaikan solat tarawih, sama ada secara sendirian atau berjemaah selepas solat Isyak. Kebiasaannya selepas doa, niat akan dilafazkan. Waktu tidur dipercepat sedikit supaya boleh bangun seawal pukul 5.00 pagi untuk persediaan sahur, dan mengerjakan solat malam.
Aktiviti harian harus berjalan seperti biasa. Puasa bukanlah alasan untuk bermalas-malas atau menjadi kurang produktif. Hakikatnya puasa ialah suatu proses pendidikan rohani dan kejiwaan yang mengajar erti kesyukuran dan kecekalan diri dalam mengangkat martabat taqwa masing-masing.
Dari segi biologi, organ-organ yang selama ini bekerja keras memproses makanan tanpa henti kini berpeluang untuk berehat. Dalam satu hadith dilaporkan bahawa bekas yang paling buruk untuk dipenuhkan oleh anak Adam ialah perutnya. Sepatutnya hanya sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan baki sepertiga lagi untuk bernafas.
Antara nikmat orang yang berpuasa ialah ketika menunggu waktu berbuka. Seisi keluarga menghadap hidangan seadanya tanpa perlu membazir. Makan dengan banyak kononnya untuk "balas dendam" hanya mengakibatkan perut menjadi berat dan terkejut, dan seterusnya mata menjadi kuyu tidak berdaya lagi untuk beribadah.
Hampir semua masjid dan surau juga mengadakan majlis berbuka puasa dengan kerap, kalaupun tidak saban hari. Hubungan sesama umat Islam di sesuatu kawasan kejiranan dapat dieratkan apabila dapat berkumpul untuk berbuka. Lebih afdal, jika majlis berbuka itu dihadiri oleh golongan fakir miskin, anak-anak yatim, pelajar dan musafir.
Suasana masjid dan surau terang-benderang dengan kunjungan jemaah berkali ganda ramainya daripada hari-hari biasa, melainkan ketika solat Jumaat. Selingan tazkirah yang disampaikan akan memberi mesej supaya para jemaah dapat memakmurkan masjid dan surau sepanjang masa bagi membina kekuatan umat yang kini menghadapi cabaran daripada pelbagai penjuru. Tinjauan rambang menunjukkan bahawa kebanyakan jemaah memilih solat sunat terawih sebanyak 8 rakaat.
Umat Islam hendaklah mengutamakan perpaduan dan menjauhi perselisihan yang merugikan. Namun, perpaduan itu hendaklah dibina atas ikatan aqidah, syariat dan akhlak. Tiada kompromi tentang perkara-perkara keji dan mungkar.
Bazar Ramadan ialah suatu fenomena bulan puasa di mana-mana. Kesibukan bekerja dan minat memasak yang rendah menyebabkan bazar Ramadan diserbu oleh pembeli, termasuk orang-orang bukan Islam. Ujian tentang etika berniaga dan sifat berhemat pembeli akan terus teruji buat kesekian kalinya.
Keistimewaan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain ialah Lailatul Qadar. Sesiapa yang berjaya mengisi malam tersebut dengan munajat akan beroleh ganjaran 1,000 bulan, iaitu bersamaan lebih 83 tahun. Berdasarkan keterangan-keterangan hadith, para ulama menyatakan kemungkinan besar bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada 10 malam terakhir bertarikh ganjil (21, 23, 25, 27, 29 Ramadan).
Namun, sebenarnya sukar untuk memuktamadkan tarikh genap atau ganjil, justeru penetapan tarikh bermula dan berakhir puasa yang tidak sama antara wilayah geografi. Demikian juga bahawa lokasi yang berbeza mengakibatkan tempoh waktu malam yang juga berbeza-beza. Demikianlah hikmah rahsia Allah ke atas hamba-hamba-Nya agar mereka berusaha menambah baik amalan mereka sepanjang masa.
Sebelum berakhir Ramadan, umat Islam menunaikan kewajipan zakat fitrah kepada amil supaya dapat diagih-agihkan kepada para penerima (asnaf) yang layak. Kepada umat Islam yang peka, zakat fitrah ialah permulaan kepada infaq (membelanjakan harta) ke jalan Allah. Mereka dengan suci hati akan sentiasa sudi menghulurkan pertolongan kepada saudara seagama sama ada secara terang-terangan atau bersembunyi dengan setulus hati tanpa kepentingan atau maksud yang melencong.
Ibadah puasa digandingkan dengan taqwa. Orang yang berpuasa mestilah berupaya menahan diri daripada lapar dan dahaga, selain menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Amalan seperti membaca al-Qur'an, zikir, bersedekah dan hal-hal kebajikan yang lain akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda, tertakluk kepada niat, cara dan sumber yang digunakan.
Segala amal berkenaan bagaimanapun akan hanya bersifat adat (ritual) jika dilakukan tanpa ilmu. Sebagai contoh, bacaan al-Qur'an secara tadarus bukan setakat membetulkan makhraj, sebutan dan tajwid, bahkan perlu berlaku perbincangan tentang pelaksanaan perintah Allah dalam ayat-ayat yang dibaca dalam kehidupan sebenar. Gabungan kepakaran jemaah boleh digembleng bagi menggandakan kekuatan umah menerusi inspirasi dan pedoman ayat-ayat suci al-Qur'an yang dibaca dan disemak beramai-ramai...
SELAMAT BERPUASA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment