SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Friday, July 29, 2011

PENGGUNAAN ISTILAH, KONSEP YANG TEPAT DALAM EKONOMI (DISCPLINE WITH SIMPLICITY)

Apabila seseorang pelajar telah melangkah masuk ke peringkat pengajian lepas menengah atau prauniversiti, mereka mula didedahkan dengan mata pelajaran yang lebih khusus dan menjurus kepada disiplin pembelajaran yang tertentu. Aktiviti lisan dan penulisan yang berlaku tidak lagi bersifat umum dengan penggunaan perkataan atau frasa dengan begitu bebas. Pelajar dikehendaki mempelajari istilah atau konsep yang lebih abstrak bagi meringkaskan penjelasan fenomena yang begitu rencam, atau memerlukan percakapan yang panjang jika berdasarkan penglihatan mata kasar semata-mata.

Mata pelajaran Ekonomi ialah satu contoh pembelajaran yang menghendaki para pelajar menguasai sejumlah istilah, konsep, prinsip, teori, hukum, model dan rumus yang khusus. Tidak seperti pengajian bahasa atau pengajian am yang membenarkan variasi sinonim, pengajian ekonomi mendedahkan pelajar kepada disiplin yang lebih ketat. Sama ada ketika perbincangan lisan, mahupun penulisan, pelajar perlu menggunakan istilah dan konsep yang tepat sahaja, bukan secara sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh, analisis teori permintaan dan penawaran. Terdapat perbezaan antara kuantiti diminta / kuantiti ditawarkan dengan permintaan / penawaran. Begitu juga dari segi arah perubahan sama ada naik / meningkat / turun / jatuh dengan menguncup / mengembang dengan bertambah / berkurang.

Kuantiti merujuk kepada nilai pada paksi daripada lokus atau koordinat kombinasi harga dengan kuantiti yang diwakili oleh keluk. Maka, istilah yang tepat ialah kuantiti diminta / ditawarkan, bukan kuantiti permintaan / penawaran. Bagi menunjukkan arah perubahan kuantiti, naik / turun atau meningkat / jatuh hendaklah digunakan, bukan bertambah / berkurang.

Analisis terhadap keluk juga perlu dilakukan secara berhati-hati. Jika perubahan kombinasi harga dan kuantiti hanya merujuk keluk yang sama (satu keluk permintaan / penawaran) sahaja, arah perubahan mestilah disebut sebagai mengembang atau menguncup sahaja. Dalam kata lain, pergerakan lokus di sepanjang keluk yang sama disebut sebagai permintaan / penawaran mengembang atau menguncup.

Sebaliknya, apabila berlaku peralihan keluk, sama ada ke kanan atau ke kiri, ke atas atau ke bawah, baharulah istilah bertambah dan berkurang akan digunakan. Permintaan bertambah / berkurang, bukannya permintaan meningkat / jatuh, dan bukan juga permintaan naik / turun. Samalah juga halnya, tiada padanan seperti kauntiti mengembang / menguncup.

Apabila merujuk keluk secara khusus, tiada pula istilah keluk naik / meningkat / bertambah / turun / jatuh / berkurang / mengembang / menguncup. Keluk hanya beralih ke kanan / kiri / atas / bawah secara selari / tidak selari. Keluk juga boleh bersilang atau memotong keluk lain atas sebab-sebab yang khusus, iaitu merujuk prinsip / teori / hukum ekonomi yang tertentu.

Keseimbangan merujuk kepada titik, bukan keluk. Ertinya, tiada keluk keseimbangan, tetapi yang ada ialah titik keseimbangan yang menggambarkan kombinasi harga keseimbangan dan kuantiti keseimbangan. Barang diingat bahawa keseimbangan tidak semestinya diingini, atau tidak semestinya selari dengan tingkat kebajikan...

No comments: