Monday, July 18, 2011
TUGAS GURU MEMBERI HARAPAN (AN ISLAND OF HOPE IN A SEA OF DREAMS)
Hakikatnya, segala tugas yang berkaitan dengan dunia pendidikan ialah tentang proses perubahan. Terdapat banyak istilah yang cuba menggambarkan perubahan yang diinginkan seperti penambahbaikan, transformasi, modifikasi tingkah laku (BM), reformasi, pengurusan kualiti dan macam-macam jargon yang lain. Inti patinya ialah aktiviti pembelajaran harus berupaya menganjak status quo kepada tahap keseimbangan yang baharu, atau meningkat ke tahap yang lebih tinggi.
Secara mudah, status quo bermaksud kekal dalam keadaan yang sama, tanpa sebarang kemajuan. Contohnya, seseorang murid yang mengulang-ulang kesilapan yang serupa sepanjang masa, sama ada dalam tugasan bertulis atau disiplin. Tindakan intervensi perlu diambil supaya berlaku perubahan sikap dan tingkah laku dalam diri murid berkenaan dalam jangka panjang jika pun tidak serta-merta.
Sebahagian kita sudah biasa mengunjungi premis makanan segera KFC, atau sekurang-kurangnya pernah melintas di hadapannya. Terdapat banyak iklan, dan patung yang berupa seorang tua yang sedang berdiri, merujuk kepada pengasas KFC, "Colonel" Harland Sanders. Mengapa orang tua?
Sebenarnya, minat Sanders dalam dunia masakan bermula setelah bergelar anak yatim ketika berusia 6 tahun. Ibu Sanders keluar bekerja, dan Sanders menggalas tugas menjaga sepasang adiknya dan memasak untuk mereka. Bermula dengan gerai kecil, makin maju dan akhirnya terpaksa berhenti kerana tapak niaga Sanders diambil sebagai laluan lebuh raya.
Berbekalkan elaun sosial sebanyak USD105 sebulan, Sanders cuba menceburkan diri dalam penjualan ayam goreng dari restoran ke restoran. 1,009 pemilik restoran menolak. Namun, pemilik restoran ke 1,010 telah mengubah sejarah pemasaran makanan segera dan sistem francais dunia apabila mengatakan "ya" kepada Sanders.
Kisah Sanders dengan KFC ialah salah satu modal dalam slot motivasi, walaupun kadang-kadang terdapat tokok tambah dan penyelewengan fakta. Namun, pokok pangkal cerita yang penting ialah seribu kegagalan dapat ditebus dengan satu kejayaan sahaja. Sanders bermula pada usia 65 tahun, serta sempat melihat kejayaan empayar KFC di 82 buah negara selama 35 tahun sebelum memejamkan mata akibat leukimia.
Kisah Sanders boleh dibaca menerusi pautan di bawah:
Di Malaysia, tokoh seperti Azman Hashim (Tan Sri, Ambank), Syed Mokhtar al-Bukhary (Bernas, DRB, Yayasan Bukhari), S.M. Nasimudin (Allahyarham, Kumpulan Naza), Boon Siew (Honda), dan Ananda Krishnan (Astro, Maxis, Bina Riang) berasal dari keluarga biasa, bukan orang berharta. Azman datang daripada keluarga besar, 19 orang adik-beradik, manakala Syed Mokhtar dan Nasimudin hanya tamat persekolahan tingkatan 5. Boon Siew pula buta huruf!
Pemilik Kumpulan Metrowealth, David Teo hanya lulusan tingkatan 5 sekolah jenis kebangsaan Cina, tetapi kini mendominasi dunia perfileman Melayu. Yusof Haslam (Dato'), pemilik Skop Production hanya bermula dengan watak pelakon tambahan. Dunia lakonan memang penuh kontroversi, khususnya tentang adegan yang membabitkan bukan mahram, tetapi kita berharap kepakaran mereka dapat dijuruskan ke arah kebaikan dan amalan taqwa.
Dalam bidang akademik, Prof. Dr. Sidek Baba pernah mengayuh basikal 60 kilometer sehala untuk belajar di sekolah Inggeris, dan harus menduduki peperiksaan HSC (kini STPM) sebanyak 8 kali sebelum diterima masuk ke Universiti Malaya. Beliau hanya akan kekal sebagai guru lulusan maktab jika tidak pernah berfikir tentang perubahan! Sidek Baba hanya memerlukan tempoh 3 tahun untuk pengajian ijazah sarjana muda Pengajian Melayu (UM), setahun untuk sarjana pendidikan perbandingan (USA) dan tiga tahun untuk Ph.D (juga USA).
Murid-murid yang kurang beruntung, termasuk kelompok yang bermasalah pembelajaran tidak seyogia disisihkan. Mungkin hari ini, mereka mempamerkan sikap menolak dan tidak peduli. Siapa tahu, 10 tahun akan datang mereka kembali bertemu kita (guru) dengan membawa khabar yang di luar dugaan.
Pengalaman penulis blog (PB) juga demikian. Banyak kali PB disapa oleh bekas murid yang mengaku bahawa kata-kata PB beberapa tahun yang lalu telah membawa perubahan dalam kehidupan mereka. Pada PB, guru ialah pelaksana amanah yang berusaha menjana idea tentang perubahan. Berjaya atau sebaliknya bukanlah tugas seorang manusia, melainkan dengan Kehendak Allah jua...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment