SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, July 3, 2011

MALAYSIA LEPASI HALANGAN TAIWAN (NEXT CLASH AGAINST SINGAPORE)

Walaupun tewas 2-3 di tangan Taiwan (Chinese Taipei) di laman lawan, skuad bola sepak pra-Piala Dunia Malaysia mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 4-4 menerusi peraturan jaringan di tempat lawan. Taiwan yang hanya memerlukan kemenangan 1-0 sebaliknya dikejutkan seawal minit ke-7 menerusi tendangan percuma Aidil Zafuan yang merembat kencang dari jarak 35 meter terus menggegar palang gol lalu menerjah masuk ke dalam gawang. Taiwan beroleh tiga kali sepakan penalti, tetapi satu daripadanya berjaya ditampan kemas oleh Sharbinee Allawee Ramli.

Empat daripada lima gol perlawanan dihasilkan menerusi tendangan bola mati. Kapten Malaysia, Safiq Rahim turut menyumbat gol menerusi sepakan percuma. Pemain "import" Taiwan, Xavier, iaitu bekas ketua pasukan bawah 19 tahun Belgium meledakkan jaringan ketiga tuan rumah menerusi penalti. Selepas itu, Malaysia berjaya menyerap asakan bertali arus negara pengeluar "Acer" itu sehingga wisel penamat ditiupkan.

Sebenarnya Taiwan bukanlah kuasa bola sepak yang pernah mencatat kejayaan membanggakan. Namun, sukan bola sepak mulai diberi perhatian oleh hampir semua negara di dunia. Dahulu Bangladesh, Filipina, India, dan Pakistan ialah pasukan belasahan belaka, tetapi kini tidak lagi.

Antara sebab kebangkitan pasukan belasahan itu ialah program pembangunan bola sepak serantau dan persekutuan bola sepak dunia (Fifa) sendiri, di samping penghijrahan pemain dari negara kuasa bola sepak dunia yang mengalami lebihan penawaran pemain. Persaingan merebut tempat dalam pasukan kebangsaan di benua Afrika, Amerika Latin dan Eropah makin sengit. Bola sepak telah menjadi pilihan kerjaya yang mendatangkan pulangan lumayan, serta nama yang masyhur.

Menanti Malaysia di pusingan seterusnya ialah pasukan jiran, iaitu Singapura yang dibarisi hampir separuh pemain "import" yang telah mendapat status warganegara. Kalau dahulu Singapura bersaing dalam kancah Piala Malaysia dengan seteru utamanya Selangor, kini Liga Singapura disertai kelab-kelab ternama dari seluruh dunia. Ketika era Fandi Ahmad dan Malek Awab, skuad Singapura masih boleh dijinakkan oleh pasukan negeri-negeri di Malaysia, tetapi keadaan sudah jauh berubah.

Malaysia masih meraikan kejayaan mengungguli kejohanan Piala AFF Suzuki yang membabitkan negara-negara rantau Asia Tenggara. Barang diingat bahawa Singapura pernah menjulang piala berkenaan beberapa kali. Perlawanan timbal balik Malaysia - Singapura dijangka berlangsung dalam suasana sorakan di Stadium Kallang, Singapura dan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sesungguhnya kejayaan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal yang bergelar Harimau Malaya itu dijangka merendahkan sedikit bacaan meter suhu politik tanah air yang agak tinggi beberapa minggu ini. DYMM Tuanku Mizan sendiri telah bertitah supaya asas kekuatan negara terus dipertahankan dengan semua pihak meletakkan kepentingan jangka panjang mengatasi pertimbangan perasaan atas apa-apa jua alasan. Moga-moga pencapaian bola sepak negara dapat menjadi sebahagian resepi bagi merapatkan semula perpaduan sekalian rakyat Malaysia...

No comments: