SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

KISAH DI MASJID GONG BALAI (SHARING FOOD)

Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Peribahasa berkenaan merupakan kebijaksanaan generasi silam tentang rempah ratus kehidupan yang terus relevan sampai bila-bila. Contoh paling mudah ialah apabila seseorang itu dipelawa makan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, maka dia patut menerima seadanya.

Walaupun Malaysia tidak seperti sebahagian negara di benua Afrika yang mengalami masalah kekurangan makanan, tetapi insan yang kelaparan masih terdapat di mana-mana. Contohnya, warga tua yang hidup sebatang kara di pondok usang kerana tersisih daripada keluarga dan masyarakat. Demikian juga mahasiswa yang terpaksa mengikat perut kerana pinjaman pengajian belum masuk akaun.

Namun, ada juga kes kelaparan yang bukan berpunca daripada kekurangan wang, tetapi disebabkan oleh ketiadaan jualan makanan, terutama bagi musafir yang menempuh kawasan bukan perniagaan. Dalam keadaan sedemikian, kuasa beli wang sudah tidak mendatangkan apa-apa erti. Pengalaman peribadi penulis blog (PB) malam tadi mungkin boleh dikongsikan bersama.

Dalam perjalanan pulang dari Machang, Kelantan atas urusan keluarga terdekat, PB singgah di Masjid Gong Balai untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Berdasarkan keputusan jumhur ulama, seseorang musafir itu layak mendapat hadiah kelonggaran solat jamak dan qasar selama mana masih dalam urusan perjalanan. Jika dia sempat tiba di rumah dalam keadaan waktu yang masih belum luput, dia hendaklah menyempurnakan semula solat yang telah dijamak tadi, melainkan dilaksanakan secara jamak takhir dengan jumlah rakaat penuh (tamam).

Ketika tiba di masjid, jemaah baharu selesai menunaikan solat Isyak dan doa berjemaah. Maka, PB terus menuju ke ruang wuduk. Seorang jawatankuasa masjid memanggil PB untuk menyertai makan-makan di luar dewan solat. Namun, PB mohon izin untukk solat terlebih dahulu supaya bahagian dewan solat dapat dikunci dengan segera, maklumlah kejadian kecurian sudah tidak mengecualikan rumah ibadat.

Usai solat, sekali lagi jawatankuasa berkenaan mempelawa PB makan walaupun jemaah lain sudah beransur pulang. Makanan yang dihidangkan ialah mihun yang digoreng ala pantai timur, iaitu sedikit rasa masam yang lazat, sama seperti jualan pasar malam di sana. Mihun diakan bersama dengan keropok keping tempatan dan terdapat pilihan minuman panas atau sejuk.

PB sempat bersembang dengan tuk imam masjid, bekas pendakwah majlis agama Islam negeri. Beliau masih meneruskan kegiatan mengajar di masjid-masjid di sekitar daerah Marang. Orangnya masih tegap dan bercakap dengan penuh semangat.

Rupa-rupanya tuk imam dengan jawatankuasa masjid tadi bersaudara. Jawatankuasa itu kemudian memberitahu dia bekas tentera yang biasa merantau dan boleh 'cakap luar' termasuk bahasa Inggeris. Selepas bersara, dia menumpukan perhatian terhadap kegiatan masyarakat, di samping menoreh getah selama dua dua jam setiap pagi bagi mengeluarkan peluh.

Sambil menunggu PB selesai menikmati hidangan, jawatankuasa berkenaan sempat bercerita bahawa tuk imam yang juga abangnya itu merupakan pernah mendapat anugerah imam terbaik seluruh Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah tahun 2012. Masjid Gong Balai pula terpilih sebagai masjid terbaik daerah Marang bagi tahun ini.

Walaupun dipelawa untuk menambah mihun, PB terlintas juga cakap orang muda sekarang, 'agak-agak' dalam berbuat sesuatu. Nabi juga berpesan supaya makan apabila lapar, berhenti makan sebelum kenyang. Nampaknya kena jadi 'mat skema' yang pandai membawa diri dalam sesuatu majlis.

Orang-orang masjid memang budiman. Musafir bukan sahaja dipelawa makan, bahkan disuruh membawa bekal pulang. Bak kata pepatah, pucuk dicita, ulam mendatang...

No comments: