SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 2, 2013

PASAR PAYANG TINGGAL SEJARAH? (DIALECTICAL ARGEMENTATION ABOUT HERITAGE)

Dalam perjalanan pulang dari Machang, penulis blog (PB) sempat singgah di Pasar Payang, Kuala Terengganu. Kawasan sekeliling pasar telah dimajukan sebagai tarikan pelancongan dan perniagaan keluaran tempatan. Kesesakan dan masalah mencari tempat meletak kenderaan masih berlaku walaupun jam sudah menunjukkan hampir pukul 5.30 petang.

Dalam keadaan biasa, Pasar Payang sudah mulai sepi pada kira-kira pukul 5.00 petang, iaitu satu jam sebelum kebanyakan kedai menutup perniagaan harian masing-masing. Namun, pada masa cuti sekolah, peniaga sanggup menunggu hingga ke malam kerana pelancong tempatan dan asing masih berpusu-pusu masuk. Hasil jualan seminggu boleh menampung keuntungan suku tahun!
pukul 6.30 petang, pasar telah ditutup

Di aras bawah ialah pasar basah dan pasar kering yang menjual aneka keperluan dapur dan makanan tempatan. Aras bawah dan jualan ikan biasanya ditutup lebih awal, iaitu dalam lingkungan pukul dua petang. Namun, aras dua yang menawarkan pelbagai keluaran fabrik dan kraf tempatan masih sibuk dengan urus niaga dan tawar-menawar harga. 

Pasar Payang ialah destinasi wajib yang tersenarai dalam minda setiap pengunjung ke Terengganu. Kemudahan bayaran secara kad kredit dan kad debit membolehkan pengguna berbelanja membeli barang yang berharga tinggi tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak. Peniaga juga boleh mengharapkan jumlah jualan yang lebih tinggi walaupun harus mengorbankan sedikit margin keuntungan untuk membayar caj bank sebanyak 2 hingga 3 peratus.
merenung nasib dan kenangan

Kunjungan PB kali ini 'disambut' dengan sepanduk yang terpampang di pintu masuk utama Pasar Payang. Nampaknya, ura-ura untuk merobohkan pasar sedia ada untuk digantikan dengan kompleks hotel lima bintang, kondominium dan pasar moden berhawa dingin masih dalam proses tarik tali. Kerajaan negeri bertegas mahu meneruskan projek itu, manakala peniaga dan orang ramai dikatakan membantah.

Dalam bahasa perubahan, kerajaan negeri ialah daya pacu, sedang pihak yang bertentangan disebut sebagai status quo. Hujah daya pacu ialah pemodenan dan perancangan jangka panjang, sebaliknya status quo berpegang kepada perpektif sejarah dan warisan. Perpindahan sementara selama dua tahun di Pulau Warisan (kawasan masjid kristal) didakwa bakal menjejaskan mata pencarian mereka justeru jumlah pengunjung ke sana yang semakin merosot dari segi bilangan.
kempen untuk mendapat perhatian

Kerajaan negeri yang baharu dibentuk semula berhadapan dengan tekanan yang lebih kuat apabila hanya memperoleh majoriti mudah 17-15 dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Sebarang keputusan besar mesti mengambil kira pandangan akar umbi dan kehendak pengundi. Pilihan-pilihan lain juga perlu difikirkan supaya pada akhirnya sensitiviti dan sentimen semua pihak yang berkepentingan dapat dijaga.

Pasar Payang umpama Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan dan Pekan Rabu, Alor Setar yang menjadi lambang perniagaan orang Melayu peringkat pertengahan dan kecil-kecilan. Jika pasar sedemikian ditukar menjadi kompleks perniagaan raksasa, dikhuatiri peniaga sedia ada tidak lagi mampu bersaing. Sebaliknya, pelabur asing seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pula yang akan menyewa ruang niaga yang canggih dan eksklusif.
aras atas pasar: fabrik bermutu asli Terengganu

Dari sudut yang lain, sampai bilakah peniaga Melayu mahu kekal dengan skala perniagaan pertengahan dan kecil sebagaimana yang sedia ada? Adakah mereka tidak mempunyai wawasan untuk membina empayar perniagaan yang lebih besar dan berdaya maju? Wajarkah mereka terus dibelenggu perasaan khuatir tanpa alasan yang kukuh?

Barangkali sudah tiba masanya seluruh peniaga Pasar Payang membentuk sebuah konsortium perniagaan yang memiliki kuasa tawar-menawar untuk memperoleh, mengawal dan memperuntukkan sumber dengan lebih berkesan dan cekap. Pengurusan profesional dalam aspek pembiayaan, pemasaran dan perakaunan perlu digembleng bagi menghadapi cabaran perubahan persekitaran perniagaan. Kisah nasihat seorang bapa tentang sebatang lidi yang mudah dipatahkan berbanding dengan seberkas lidi patut diambil iktibar...

No comments: