SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, June 4, 2013

MOTIVASI BELAJAR: BERBAIKLAH DENGAN GURU (THE SECRET OF SUCCESSFUL LEARNING)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera

Pada suatu pagi saya bertemu dengan seorang pesara guru yang sudah mencecah usia bonus 65 tahun, tetapi masih aktif dan sihat walafiat. Beliau bukan calang-calang guru kerana sangat berjasa kepada sekian banyak murid yang bermula dengan biasa-biasa, serba kekurangan dan polos, akhirnya berjaya menyandang jawatan menteri, profesor, usahawan, pegawai tinggi dan kedudukan penting yang lain. Beliau sudi berkongsi cerita tentang murid yang dimaksudkan.

Sebagai guru muda lepasan maktab perguruan, beza usia beliau dengan murid tingkatan lima yang semuanya lelaki hanya empat tahun. Sebagai strategi untuk memastikan bahawa proses pembelajaran (bahasa Inggeris) mencapai maksudnya, beliau langsung tidak mahu memberi muka terhadap kenakalan remaja. Beliau bertegas dan menahan diri daripada melemparkan senyuman.

Pilihan yang dibuat itu mungkin tidak popular dan menimbulkan persepsi tertentu kepada guru berkenaan. Namun, pada ketika itu menutup pintu kerosakan lebih utama. Murid yang bakal menduduki peperiksaan penting mereka perlu fokus dan tidak dibenarkan melayan perasaan sentimental yang tidak-tidak.

Pelajar yang dikasihi sekalian,

Di dalam kelas guru berkenaan, terdapat seorang murid yanag polos, tetapi pendiam. Kelas itu jurusan sastera yang sering dipandang kurang daya saing dan tidak begitu glamor. Murid berkenaan begitu tertarik dengan kesungguhan guru bahasa Inggerisnya, lalu menanam tekd untuk berjaya.

Guru muda berkenaan sentiasa memupuk nilai yakin diri dengan anjuran supaya mereka membuang segala perasaan rendah diri yang menyekat kemajuan. Murid lelaki tidak sepatutnya bersifat lembik dan lemah dalam menghadapai cabaran pembelajaran. Mereka sebaliknya perlu menggembleng potensi akliah atau juga disebut kebijaksanaan sebagaimana sifat jasmani lelaki yang maskulin.

Secara diam-diam murid berkenaan menyambut cabaran guru bahasa Inggeris itu, lalu meneguhkan tekad untuk menjadi insan yang berjaya dan menyumbang terhadap agama, bangsa dan negaranya. Dia melakukan anjakan paradigma dalam dirinya untuk mara lebih jauh. Akhirnya, dia mendaki satu demi satu  tangga akademik dan kedudukan sehingga akhirnya bergelar seorang menteri persekutuan.

Pelajar yang dimuliakan,

Saya tidak mengatakan murid yang akhirnya menjadi menteri itu sebagi contoh yang hebat atau ideal. Saya cuma hendak menceritakan kembali kisah seorang murid yang beradab dan tahu menghormati guru akhirnya mengecapi kejayaan yang bermakna. Sikap itu telah membantu guru melaksanakan aktiviti pembelajaran di bilik darjah dengan berkesan.

Murid yang kini bergelar profesor itu dahulunya murid jurusan sains yang mencatat pencapaian sederhana sahaja di peringkat SPM dan STPM. Namun, kesungguhan guru bahasa Inggeris itu mencetuskan dorongan yang kuat dalam dirinya untuk menggantung cita-cita setinggi bintang, sambil kakinya masih berjejak di bumi. Keyakinan yang tertanam dalam diri anak kampung itu untuk tidak malu berbahasa Inggeris akhirnya membawa dirinya hingga ke peringkat doktor falsafah di luar negara.

Saya secara peribadi pernah bercakap dengan profesor berkenaan yang kini timbalan naib canselor di sebuah universiti tempatan. Beliau mengakui bahawa seperti remaja lain, sifat nakal juga ada dalam dirinya, tetapi apabila guru mengajar, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya. Beliau sangat berterima kasih dan terhutang budi dengan guru bahasa Inggeris berkenaan hingga ke hari ini.

Pelajar yang dihormati,

Cuba ingat kembali tujuan kalian ke sekolah dan institut pengajian tinggi, iaitu bagi menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik sebagai bekalan hidup masa kini dan masa hadapan. Maka, teruslah mara menuju ke hadapan dan jangan sesekali kalian tergelincir atau dipesongkan oleh pengaruh negatif sama ada dari dalam diri sendiri atau berpunca daripada nasihat palsu. Kelak diri sendiri merana seorang diri!

Guru ialah penolong kejayaan kalian yang melaksanakan amanah perkhidmatan dengan penuh kesungguhan, keikhlasan dan keadilan. Terimalah guru kalian seadanya walaupun kalian perlu mengalah untuk mencari keserasian dengan gaya pengajaran mereka. Demikian rahsia pencapaian kecemerlangan yang dibuktikan sejak zaman-berzaman.

Akhir kata, saya ucapkan selamat belajar. Kalian hendaklah senantiasa berbaik-baik dengan guru supaya pembelajaran mendapat berkat dan redha Ilahi. Selamat maju jaya.

Sekian. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

No comments: