Dirimu antara generasi terawal merasai penginapan di Hotel Malaya
Wednesday, June 19, 2013
DIRIMU BAGAIKAN MASIH DI SISI (THE TOUCH OF THE EVERLASTING MEMORY)
Dirimu bayi yang comel dan dinanti-nanti oleh ibu bapa
Dirimu muncul sebagai kanak-kanak yang cerdas dan cergas
Pada zaman remaja dirimu dibawa pergi oleh tentera Nipon
Dirimu dikerah menjadi buruh paksa dari Siam ke Burma
Takdir menentukan dirimu dihantar pulang dalam tempoh yang singkat
Dirimu jatuh sakit dan Nipon tidak mahu mengambil risiko
Dirimu pintar membaca Jawi dan menghitung ketika zaman buta huruf berleluasa
Dirimu menceburi bidang perniagaan kelapa dan minyak masak bersama tauke
Dirimu dihormati walaupun sanggup belajar dengan kaum pedagang
Dirimu sudah biasa menaiki lori, mendaki jalan berliku lagi curam
Dirimu sudah menjejaki Kuala Lumpur pada zaman awal kegemilangannya
Dirimu antara generasi terawal merasai penginapan di Hotel Malaya
Dirimu antara generasi terawal merasai penginapan di Hotel Malaya
Dirimu tidak segan berbasikal sambil membunyikan loceng menjual ais krim
Dirimu melepaskan pangkat mandur walaupun sudah cukup berkuasa
Dirimu mahu berdikari dan bebas daripada apa-apa jua kongkongan
Dirimu memulakan perniagaan runcit bersama pasangan hidupmu
Dirimu bijak mempelbagaikan punca kewangan keluarga
Dirimu tegas dengan prinsip daripada menjadi mangsa sesiapa
Dirimu berani menyuarakan hak dan menentang penipuan
Dirimu setiasa membuat pengamatan kehendak pasaran
Dirimu kasih sepenuh jiwa raga kepada kaum keluarga
Dirimu tidak pernah jemu memberikan nasihat percuma
Dirimu tidak lokek berkongsi pengalaman berharga
Dirimu umpama butiran ilmu yang sedia untuk disebarkan
Dirimu berfikiran jauh dan kritis
Dirimu mencurahkan pedoman buat anak cucu tercinta
Dirimu berterus terang dan bijak menyusun tamsil ibarat
Dirimu tidak pernah lekang mahu mengeratkan hubungan keluarga
Dalam sekelip mata jua
Dirimu hanyalah sekujur tubuh yang tidak berdaya
Dirimu bertarung dengan serangan terhadap sistem tubuhmu
Dirimu dibantu dengan pelbagai rawatan dan peralatan
Dirimu tidak lagi mampu membuka kelopak mata
Dirimu hanya mampu menggerakkan kedua-dua tangan dan kaki
Dirimu hanya mampu memusingkan kepala ke kiri dan ke kanan
Dirimu terlantar menanggung ujian
Tanggal 18 Jun 2013 hari Selasa
Bersamaan 9 Syaaban 1434
Setelah ikhtiar terakhir para doktor
Apabila sistem tubuh dirimu menolak titisan air dan susu
Dirimu dijemput jua oleh-Nya
Pukul 10.50 pagi
Di wad 7C, katil 27C
Di Hospital Sultanah Zahirah
Dengan bisikan syahadah oleh anakanda tersayang
Dirimu sudah tiada
Hanya jasad dirimu yang kelihatan dan diuruskan selayaknya
Dari tanah dirimu datang dan kepada tanah dirimu kembali
Doa anggota keluarga dan kenalan tidak pernah putus-putus
Agar dirimu sentiasa tenang di sana
Di bawah lembayung rahmat-Nya
Mohon diampun segala dosa dirimu
Moga diterima segala amal kebaikan dirimu
Moga dirimu ditempatkan dalam kalangan para solihin
Amin Ya Rabbal Alamin
Khusus untuk ayahanda Ismail bin Chik
Amin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment