SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, May 22, 2009

ZURA UNGGUL DI GELANGGANG, SASHA BERI SAINGAN



Pasangan beregu kental, Cikgu Zuklifli Sulaiman (Jabatan Bahasa) dan Cikgu Ravindran (Jabatan Kaunseling), ringkasnya ZURA menjuarai sirkit badminton Hari Guru SMK St Michael, Ipoh (SMI). Setelah bertarung sengit dengan pencabar handalan, Tuan Haji Shakir Tayat (Jabatan Pendidikan Islam) yang berganding dengan Cikgu Saiful Bahri (Jabatan Kemahiran Hidup), ringkasnya SASHA, mereka mencatat keputusan 21 – 15. Pertandingan berlangsung di arena Kompleks MBI, Jalan Stadium pada petang Jumaat, 22 Mei 2009.

Format perlawanan sirkit SMI agak unik justeru kiraan mata 21 bukan diperoleh setiap kali servis, sebaliknya mata hanya dikutip oleh pemegang servis. Maknanya, untuk memperoleh mata, mana-mana pasangan perlu merampas dan menguasai servis. Jika servis pertama dimatikan, masih ada servis kedua. Sebab itulah pertarungan set tunggal itu berlarutan melebihi 20 minit dengan pertukaran gelanggang pada mata sebelas.

ZURA bermula garang dengan mendahului 7 – 1 sebelum SASHA berjaya memintas 11 – 8. Pasangan ZURA yang sudah serasi sejak 20 tahun ketika mula-mula bertugas di Sekolah Izuddin Shah menukar rentak permainan dengan menggunakan serangan psikologi. Cikgu Zul menunjukkan reaksi ”jeritan” setiap kali berjaya mematahkan asakan lawan. Cikgu Ravi pula menggunakan teknik servis yang mengelirukan pihak lawan.

Kehebatan kombinasi SASHA terletak kepada gabungan stroke dan gerak badan yang menjadi senjata ampuh Tuan Haji Shakir, serta pukulan kilas dan smash kencang Cikgu Saiful. Namun, permainan penuh variasi yang diselang seli dengan serangan psikologi memberi kelebihan kepada pasangan ZURA dalam mengekang kemaraan SASHA. Servis ”maut” Cikgu Ravi berjaya memastikan kejuaraan menjadi milik ZURA, sekali gus menebus kekalahan kepada SASHA pada saingan kumpulan sebelum ini.

Kepada ZURA, sekalung tahniah. Kepada SASHA, anda berdua kombinasi yang hebat. Kita masih ada sirkit seterusnya. Ada ura-ura bahawa sirkit selepas ini akan mengasingkan antara pemain tahap prestasi tinggi (elit) dengan kelompok plate.

Moga semangat saingan di gelanggang akan dibawa ke bilik darjah bagi memantapkan pencapaian para pelajar di SMI. Walaupun pada zahirnya saingan gelanggang menguji kekuatan fizikal dan minda, guru SMI mempamerkan kesungguhan dan semangat setia kawan dalam apa-apa jua keadaan. Kelab Staf SMI, menerusi Kelab Kilas Tangkis yang sudah ada t-shirt yang seragam bakal mengatur lebih banyak aktiviti yang pada akhirnya memberi sumbangan terhadap nama baik SMI, insya-Allah.

No comments: