SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

PRINSIP PENULISAN TEKS UCAPAN (SPEECH SCRIPTING)

Anekdot

I

Pada satu majlis perhimpunan pemimpin pelajar peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia, Ipoh beberapa tahun lalu, pengacara majlis mengumumkan bahawa teks ucapan diserahkan kepada Perdana Menteri berupa sebuah buku berjilid kain baldu. Sejurus itu, Perdana Menteri pun menyampaikan ucapan dengan membaca teks berkenaan. Ucapan Perdana Menteri kedengaran begitu lancar dan dengan intonasi yang cukup baik seolah-olah berucap secara spontan atau impromtu. Ketika itu, penulis blog (PB) bertindak selaku guru pengiring kepada sekumpulan murid Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash, Ipoh.

II

Peristiwa berlaku pada hari sukan juga di sebuah sekolah tempat PB bertugas. Pengacara menjemput Yang Dipertua PIBG melancarkan penutupan rasmi kejohanan. Justeru tiada teks ucapan disediakan, YDP berkenaan telah bercakap lebih setengah jam dengan bahasa yang tidak begitu kena dan isi yang langsung tidak fokus terhadap majlis. Semua hadirin, termasuk budak sekolah menjadi gelisah. Tiada sesiapa pun tampil menghentikan ucapan seperti menghantar memo atau notis kecil. Alkisahnya macam watak Pak Jabit dapat mikrofon (filem Hantu Kak Limah Balik Rumah).

 III

Seorang bekas pegawai kanan penyiaran yang telah lanjut usia (barangkali 70 tahun lebih) diberikan anugerah khas RTM, serta ditayangkan secara langsung menerusi radio dan televisyen. Apabila dijemput menyampaikan sepatah dua kata, dia telah bercakap hampir satu jam setengah tanpa sesiapa pun yang berani menegur. Tiada muzik dimainkan sebagai isyarat supaya dia berhenti menceceh. Pengacara dan penerbit juga tidak bertindak masuk campur. Hadirin pasti berharap agar kelantangan pembesar suara diperlahankan terus supaya akhirnya orang itu sedar bahawa dirinya terlebih perasan!

Konsep Teks Ucapan

Naskhah atau teks ucapan untuk sesuatu majlis disediakan lebih awal supaya berlaku kawalan dari segi kandungan dan peruntukan masa yang diatur oleh penganjur. Ahli-ahli politik yang berkedudukan tinggi atau pegawai kanan kerajaan boleh mengarahkan agensi atau organisasi di bawah bidang kuasa masing-masing untuk menyediakan teks ucapan rasmi yang mengandungi butiran, data, fakta, maklumat, senario dan unjuran yang sah. Pada kebiasaannya, pemimpin sedemikian perlu merasmikan banyak majlis, menjawab soalan sidang parlimen atau melayan wartawan dalam sidang media.

Draf teks ucapan yang disediakan akan diperhalusi pula oleh setiausaha sulit kanan atau pembantu peribadi kepada pemimpin atau pegawai yang bakal menyampaikan ucapan. Kemudian, setiausaha atau pembantu tadi akan memuktamadkan teks ucapan setelah mendapatkan maklum balas pemimpin atau pegawai, jika perlu. Kemungkinan berlaku penambahan atau penghilangan fakta, ubah suai dan pindaan akan menjadi hak kepada individu yang bakal menyampaikan ucapan.

Setelah ucapan disampaikan, teks ucapan berkenaan menjadi milik penuh pemimpin atau pegawai itu. Tiada sesiapa pun sama ada penulis draf asal, pakar rujuk, pakar runding atau mana-mana pembantu dibenarkan mendakwa bahawa teks ucapan berkenaan ialah miliknya. Pemimpin dan pegawai yang berucap dianggap memiliki hak cipta dari segi undang-undang bagi menerbitkan semula teks ucapan berkenaan atas namanya sendiri, iaitu tanpa sebarang ikatan dengan pihak yang menyediakan draf atau pihak yang membuat pemurnian.

Proses Merangka Teks Ucapan

Antara perkara penting yang perlu diambil kira:

1   status acara / majlis

2   tetamu utama / protokol

3   objektif majlis

4   hadirin / latar belakang khalayak

5   idea / mesej yang hendak disampaikan

6   peruntukan masa ucapan

7   kecindan

8   harapan

Rangka asas ucapan
1   Menghadap majlis:  salam / protokol  (pengacara, def kehormat, anggota organisasi, khalayak)

2   Lafaz kesyukuran / ucapkan terima kasih

3   Sepintas lalu tujuan majlis / kapasiti penyampai ucapan

4   Latar belakang mesej / senario

5   Ulasan ringkas tema majlis

6   Isu semasa / laporan kemajuan organisasi

7   Bidang penambahbaikan

8   Harapan terhadap sokongan berterusan

9   Tahniah kepada individu / kumpulan / organisasi yang diraikan

10  Menutup ucapan

Contoh Teks Ucapan Hari Anugerah Kokurikulum
(penyampai: Penolong Kanan Kokurikulum)

Terima kasih saudara pengacara majlis

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera, selamat pagi

Yang Berbahagia Datin __________________________, tetamu kehormat majlis anugerah kokurikulum SMK ___________________ edisi tahun 2011, Yang Berusaha, Encik __________________________, pengetua SMK ______________________________, penolong-penolong kanan, guru-guru kanan, guru, pemimpin pelajar, penerima anugerah, dan seterusnya hadirin yang dihormati.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya, dapat kita berkumpul bersama-sama pada pagi yang berbahagia ini. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Datin yang sudi menerima jemputan kami. Terima kasih juga ditujukan buat semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja bagi memastikan kejayaan majlis anugerah kokurikulum pada pagi ini.

Hadirin yang dimuliakan,

Kegiatan kokurikulum telah dimasyhurkan sebagai komponen penting pembelajaran di sekolah, serta diberikan merit sebanyak 10 peratus dalam permohonan memasuki institut pengajian tinggi dan juga untuk layak dipertimbangkan biasiswa dan pinjaman kewangan. Lebih penting daripada itu ialah segala pengalaman pembelajaran yang diperoleh daripada aktiviti kokurikulum akan memupuk bakat kepimpinan, menyerlahkan potensi yang terpendam dan mengukuhkan semangat kesukarelaan dalam bidang kebajikan dan perkhidmatan sosial. Aktiviti kokurikulum menjadi medan latihan kepada generasi muda murid Malaysia untuk lebih berdaya saing dan hidup dalam persekitaran yang mengutamakan persefahaman dan kerukunan bermasyarakat.

SMK ________________________________ telah menempa beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan di peringkat zon, daerah dan negeri. Misalnya, ___________________________________, murid tingkatan 2 telah mencipta nama dalam acara _______________ peringkat negeri. Murid berkenaan telah pun diintai oleh sebuah sekolah sukan ternama di negara kita. Pasukan _______________________ pula telah terpilih sebagai wakil negeri yang akan bersaing di peringkat kebangsaan.

Selain sukan berprestasi tinggi, dasar 1 Murid 1 Sukan yang dilancarkan baru-baru ini menunjukkan kesungguhan Kementerian Pelajar dalam amalan dasar inklusif dan konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua. Semua murid akan diberi peluang menyertai bidang sukan menurut kemampuan diri masing-masing. Pihak sekolah sudah memuktamadkan dokumen pelaksanaan konsep berkenaan untuk dilaksanakan serta-merta.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pencapaian kokurikulum dalam bidang kelab dan persatuan, serta unit pakaian seragam juga amat memberangsangkan. Antara catatan kejayaan SMK _____________________ termasuklah:

1

2

3

4

5

6

Bagi pihak sekolah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga sekolah, terutama murid dan guru yang telah memberikan komitmen yang terbaik dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum SMK ___________________________ selama ini. Pada pagi ini, pihak sekolah berbesar hati mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Yang Berbahagia Datin, hadirn dan hadirat,

Penerima anugerah pencapaian kokurikulum pada pagi ini ialah murid-murid yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang sekurang-kurangnya di peringkat daerah. Sebenarnya, bilangan murid yang cemerlang di peringkat sekolah dan zon juga besar bilangannya. Namun, dengan meletakkan kriteria pemilihan yang agak ketat, bilangan penerima anugerah kecemerlangan telah dihadkan. Pada masa hadapan, kriteria pemilihan mungkin diubah suai berdasarkan keperluan. Pihak sekolah mengalu-alukan sebarang bentuk saranan yang dapat menambah baik majlis seperti itu pada masa akan datang.

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Jangan berhenti pada satu-satu tahap, sebaliknya cubalah meningkatkan kemajuan dalam bidang kegiatan yang dipilih. Sesungguhnya kalian ialah harapan agama, bangsa dan negara.

Sekian. wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih...

1 comment:

Admin said...

terima kasih kerana berkongsi. sangat bermanfaat.