SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, January 3, 2014

BETAPA SUKAR MEMASUKI PERKHIDMATAN AWAM (ONLY 2.86 PER CENT SUCCESSFUL APPLICANTS)

Persaingan sengit dan peluang tipis untuk melamar pekerjaan di sektor awam (orang dahulu sebut 'gomen', merujuk government) tergambar menerusi hakikat hanya 60,059 orang pemohon daripada jumlah keseluruhan 2,100,000 orang (2.1 juta) yang berjaya dilantik sebagai kakitangan kerajaan sepanjang tahun 2013 (klik di sini). Lantikan tetap pula berjumlah 38,569 orang atau 64.37 peratus. Selebihnya, iaitu 21,490 orang atau 35.63 peratus lantikan dibuat secara kontrak.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam, yang juga mantan ketua pengarah perkhidmatan awam memberi kenyataan media yang tersebut. Selanjutnya, beliau menjangkakan sejumlah 100,000 lagi lantikan baharu bakal dibuat pada tahun 2014. Data yang disebutkan sangat penting untuk diteliti oleh bakal pemohon yang berhasrat memasuki sektor kerajaan.

Dari segi pecahan suku kaum, pelantikan penjawat awam tahun 2013 merangkumi sejumlah 75.58 peratus (45,392 orang) Melayu, 4.83 peratus (2,901) Cina, 3.36 peratus (2,018) India dan 16.06 peratus (9,648) ialah bumiputera Sabah dan Sarawak, serta kaum lain. Pecahan jumlah pemohon berdasarkan kaum bagaimanapun tidak dinyatakan. Demikian juga bidang pekerjaan yang menerima lantikan awam juga tidak disebutkan oleh Pengerusi SPA.

Satu lagi perkara yang turut disentuh oleh Tan Sri Mahmood Adam ialah tentang ciri calon penjawat awam yang dicari oleh SPA. Selain kelulusan, kelayakan dan kebolehan, pemohon diharapkan memiliki kualiti teras seperti cepat, tepat, produktif, kreatif dan inovatif. Sehubungan itu, SPA mempelawa calon yang berminat melamar jawatan dalam perkhidmatan awam menyertai kursus dan seminar tip memasuki perkhidmatan awam yang bakal diadakan di seluruh negara.

Andai kata jumlah pemohon untuk memasuki perkhidmatan awam ialah sebanyak tiga juta orang pada tahun 2014, maka hitungan secara konservatif menganggarkan peluang untuk berjaya ialah sekitar tiga peratus sahaja. Kemudian, 70 peratus lantikan pada tahun 2013 terdiri daripada kumpulan sokongan (lulusan SPM hingga diploma), iaitu mewakili sejumlah 42,041 orang. Maksudnya lantikan kumpulan siswazah berbaki 18,018 orang sahaja.

Jumlah permohonan memasuki sektor awam bertambah memandangkan hampir setengah juta orang lepasan sekolah menengah dan 300,000 orang lulusan pengajian tinggi dan separa teknikal memasuki pasaran buruh saban tahun. Maka, seorang pemohon yang berjaya diterima masuk sebagai kakitangan kerajaan, sama ada lantikan tetap atau kontrak telah mengecewakan 30 orang calon yang bersaing sejak tapisan awal, senarai pendek dan temu duga. Tidak sampai 10 peratus siswazah akan diambil bekerja oleh sektor awam.

Pengisian jawatan yang dijangka mewakili jumlah pengambilan tertinggi ialah perkhidmatan keselamatan, pendidikan dan penguatkuasaan. Tahap kesihatan penduduk yang semakin baik mengakibatkan kekosongan jawatan kerana punca semula jadi (kematian, penyakit kronik, keilatan kekal) menjadi kes terpencil. Demikian juga umur persaraan yang mencecah 60 tahun menyebabkan pengambilan kakitangan awam yang baharu lebih perlahan.

Purata jangka hayat penduduk Malaysia ialah 72 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi wanita. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, penjawat awam yang sedia ada sanggup kekal dalam perkhidmatan kerajaan sehingga bersara supaya mereka tidak perlu bergantung kepada pihak lain. Pengalaman yang dimiliki juga sangat berharga kepada perkhidmatan awam berbanding dengan penjawat baharu yang masih 'mentah' dan novis walaupun datang dengan pelbagai kelayakan ikhtisas.

Jawatan dalam kerajaan atau sektor awam sering dianggap sebagai selamat walaupun peluang untuk menjadi orang kaya agak terhad berbanding dengan jawatan di sektor swasta, korporat atau menjadi usahawan yang hebat. Saiz perkhidmatan awam dengan 1.4 juta orang kakitangan hanya mewakili 10 peratus jumlah pekerja di negara ini. Pemohon yang kecundang harus bersedia dengan pelan pekerjaan alternatif yang mungkin membawa tuah yang lebih besar. 

Walaupun peluang agak terhad dan tipis, tidak salah untuk pemohon memasang angan-angan untuk bergelar sebagai penjawat awam dengan melakukan persediaan yang secukupnya. Calon atau pemohon yang ditolak bukanlah tidak layak, tetapi justeru persaingan yang begitu sengit dan juga faktor rezeki. Pada ketika itu, seseorang calon dan pemohon haruslah mengintai hikmah yang tersembunyi ...

No comments: