SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 2, 2014

ISU HARGA BARANG NAIK: PROFESOR DISANGGAH (UNDERSTANDING THE LIMITATION OF THEORY)

Peningkatan harga bahan api, bahan mentah, tenaga dan pengangkutan mengakibatkan kos pengeluaran sesuatu barang dan perkhidmatan turut meningkat. Pengeluar akan berjaya memindahkan beban peningkatan kos itu kepada pengguna akhir menerusi kenaikan harga barang dan perkhidmatan jika permintaan terhadap barang dan perkhidmatan berkenaan bersifat tidak anjal. Maksudnya, peningkatan harga yang tinggi hanya akan mengakibatkan kejatuhan kuantiti yang diminta dalam nisbah yang lebih kecil.

Peningkatan harga barang dan perkhidmatan menyebabkan kos sara hidup meningkat lebih tinggi. Pendapatan benar isi rumah jatuh dan kuasa beli mereka turut jatuh. Peruntukan bahagian pendapatan yang lebih tinggi untuk barang keperluan asas mengakibatkan perbelanjan agregat untuk barang dan perkhidmatan yang anjal permintaan akan mengalami kemerosotan dalam nisbah yang besar.

Apabila permintaan agregat jatuh, penawaran agregat juga perlu diselaraskan supaya keseimbangan pendapatan negara tercapai semula. Pengeluaran terpaksa dikurangkan, lalu penggunaan faktor pengeluaran terutama buruh dikurangkan. Pengangguran berlaku menyebabkan kehilangan pendapatan persendirian yang seterusnya mengulangi semula kesan rantaian kejatuhan kuasa beli sebelumnya.

Peningkatan tingkat harga umum secara berterusan dan tidak terbatas dinamakan sebagai inflasi. Jika inflasi diikuti pula oleh pengangguran, berlaku stagflasi. Aktiviti ekonomi menjadi lebih lembap yang boleh membawa kepada masalah kegawatan (kemelesetan) ekonomi.

Kuasa beli pengguna menyumbang sebanyak 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia (klik di sini). Kejatuhan kuasa beli pengguna boleh mengakibatkan pertumbuhan ekonomi terjejas. Peranan kerajaan untuk memaksimumkan kebajikan rakyat juga berhadapan dengan kerumitan.

Terdapat pula pengamatan yang mengatakan bahawa peniaga ialah punca kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lebih bersifat mengambil kesempatan (klik di sini). Contohnya peniaga makanan menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 20 peratus walaupun nisbah kenaikan kos hanya dalam lingkungan lima hingga sepuluh peratus sahaja. Persatuan pengguna dan koperasi yang lebih sibuk dengan perebutan kuasa kepimpinan mengakibatkan peniaga tidak dapat diajar. 

Lontaran kesarjanaan kedua-dua orang profesor ekonomi di atas nampaknya dianggap sebagai tidak berpijak di bumi nyata. Sebelum ini, profesor pembedahan mata teknologi lasik, Dr. Muhaya Mohamad, 54, juga dihujani kritikan justeru saranan beliau supaya pengguna berfikiran positif dilihat tidak empatik kepada golongan berpendapatan rendah. Pengkritik mahu supaya para cendekiawan berhujah tentang punca masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan hingga ke akar umbi permasalahan sebenar.

Percanggahan pendapat antara orang awam dengan bijak pandai sebenarnya tidak padan kerana masing-masing berhujah dengan asas yang sangat berbeza. Orang awam yang 'terbakar' akibat kantung mereka semakin susut lebih kuat dipengaruhi oleh perasaan, manaka cendekiawan pula menggunakan pengamatan intelektual yang bersandar kepada sejumlah teori yang telah teruji. Namun, sifat teori ialah benar pada kebanyakan (kes), tetapi tidak semestinya benar untuk semua (kes), kerana kemungkinan terdapat pengecualian dan ralat.

Golongan peniaga akan menyalahkan pihak pembekal dan pemborong, lalu sasaran kemarahan seterusnya ialah kepada pengeluar. Keadaan itu tidak ubah seperti seni kata lagu 'bangau oh bangau'. Semua pihak mahukan tingkat pendapatan persendirian dan pendapatan boleh guna yang tinggi supaya dapat  menyerap kos sara hidup yang semakin tinggi.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang dan perkhidmatan menyebabkan pengguna berasa tertekan dan harus menyusun semula keutamaan dalam belanjawan peribadi serta keluarga. Terdapat sektor ekonomi yang terjejas seperti perusahaan automotif, perhotelan dan pengurusan acara. Profesor ekonomi perlu tampil dengan saranan yang lebih autentik sebagai pengukuhan kepada teori ekonomi yang sedia ada ...

No comments: