SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 30, 2014

SISTEM MODULAR STPM DAN KOLEJ TINGKATAN 6 SEMAKIN DIFAHAMI (ROAD TO UNIVERSITY)

Kohort pertama calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sistem modular bakal memperoleh keputusan peperiksaan penggal tiga mereka selewat-lewatnya pada suku ketiga bulan Mac nanti. Jika masih tidak berpuas hati, calon boleh memohon untuk pemeriksaan semula, atau membuat keputusan untuk menduduki kertas ulangan pada bulan April (tertakluk kepada pengumuman Majlis Peperiksaan Malaysia, MPM). Keputusan muktamad STPM bagi calon berkenaan hanya diketahui dua bulan selepas itu.

Memandangkan kemasukan institut pengajian tinggi tempatan ialah pada bulan September, kaedah STPM modular yang ditawarkan memberi kesempatan kepada calon untuk memperbaiki pencapaian purata nilai gred kumulatif (PNGK) masing-masing sebelum permohonan ditutup. Walaupun dikenakan bayaran yuran untuk setiap kertas yang diambil semula, langkah itu dikira berbaloi justeru dalam peperiksaan kali pertama, semua bayaran telah ditanggung oleh pihak kerajaan. Calon tidak perlu menunggu sehingga setahun untuk peperiksaan penuh seperti di bawah sistem terminal terdahulu.

Pelaksanaan sistem modular tiga penggal juga menunjukkan bahawa pengajian prauniversiti tingkatan enam perlu kepada sistem yang lebih autonomi, iaitu tidak bersekali dengan aliran perdana tingkatan satu hingga lima di sekolah menengah. Pelajar prauniversiti juga didapati lebih sesuai dengan persekitaran pembelajaran ala pengajian tinggi dengan lebih banyak kelenturan dari segi peraturan pakaian dan disiplin. Sistem pentaksiran tahap tinggi dalam sistem tiga penggal juga menyebabkan pelajar tingkatan 6 sukar dibabitkan sama dengan kegiatan sekolah, termasuk perhimpunan mingguan dan acara rasmi sekolah yang lain.  

Maka, penubuhan kolej prauniversiti tingkatan enam yang dijangka menjadi kenyataan pada pertengahan tahun ini dijangka meningkatkan status pengajian tingkatan enam sebagai laluan utama kemasukan ke universiti sebagaimana era sebelum penubuhan kolej matrikulasi, program asasi, program diploma politeknik dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Pengecualian yuran pengajian dan yuran peperiksaan STPM akan menjadi tarikan utama. Pelajar tingkatan 6 tidak perlu membiayai pengajian menerusi perbelanjaan sendiri atau PTPTN.

Kolej Tingkatan 6 juga berdekatan dengan tempat tinggal pelajar. Mereka boleh berulang alik ke kolej dengan kos pengangkutan yang minimum. Menerusi kod etika berpakaian yang lebih menarik, pelajar tingkatan 6 tidak lagi kelihatan seperti budak sekolah biasa. Semangat belajar akan berkobar-kobar justeru mereka menerima layanan yang selayaknya.

Dari sudut yang lain, sekolah arus perdana boleh menggembleng bakat kepimpinan murid bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pelajar tingkatan enam. Selama ini jawatan penting kepimpinan banyak diserahkan kepada pelajar tingkatan 6. Kepimpinan sekolah juga boleh menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan dasar baharu kurikulum, pentaksiran dan pelbagai kemahiran insaniah kepada generasi muda awal remaja di sekolah.

Pendidikan vokasional nampaknya bergerak lebih pantas menerusi penjenamaan semula sekolah vokasional kepada kolej vokasional dengan program diploma selepas tingkatan tiga. Pengajian politeknik juga dilihat lebih agresif dengan pengenalan program ijazah dan naik taraf sebagai universiti politeknik. Walaupun agak ketinggalan, penubuhan kolej tingkatan enam membuka lebih banyak kemungkinan baharu, termasuk naik taraf STPM sehingga layak diberi pengecualian jam kredit tertentu di peringkat sarjana muda. 

Pelantikan pensyarah kolej tingkatan 6 pada masa hadapan juga boleh ditambah baik bukan sahaja dari segi kekananan dalam perkhidmatan, bahkan peluang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah sebagaimana yang dinikmati oleh pensyarah politeknik dan matrikulasi. Dengan kelayakan akademik yang lebih tinggi, pensyarah kolej tingkatan 6 juga boleh diberi peranan mengendalikan program atau kursus baharu pada bila-bila masa. Kolej juga boleh menubuhkan unit penyelidikan yang dianggotai oleh pensyarah yang memiliki pengkhususan akademik yang tertentu.

Kemudahan asrama yang selesa, setaraf dengan kolej kediaman di kampus program prauniversiti yang lain boleh meringankan beban kewangan kepada pelajar yang tinggal jauh dari kolej tingkatan 6. Pelajar yang datang daripada latar belakang keluarga yang kurang beruntung juga layak dipertimbangkan bantuan khas dan pengecualian yuran asrama. Pengajian tingkatan 6 bakal memberikan pilihan yang terbaik kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai laluan untama ke universiti. 

Keistimewaan sistem modular STPM dan penubuhan kolej tingkatan enam bukan bermakna pelajar akan dimanjakan. Mereka hanya diberikan kemudahan dan layanan yang selayaknya sebagai pelajar prauniversiti. Pelbagai bentuk kemahiran insaniah dan keusahawanan juga dapat diterapkan apabila pelajar tingkatan 6 dikumpulkan dalam sebuah kolej pengajian prauniversiti yang serba lengkap ...

No comments: