SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, April 22, 2009

Krisis Ekonomi Global: Tempiasnya Kepada Kita


Ahli ekonomi menyifatkan krisis kali ini sebagai yang terburuk sejak "era kemelesetan agung" (the great depression) pada dekad 1930-an. Sebelum ini dunia mengalami kegawatan ekonomi 1985 - 1988; 1997 - 1998 (serangan mata wang Asia), dan kelembapan ekonomi Jepun dan Amerika Syarikat (2001).

Malaysia turut terjejas kerana sebagai sebuah negara sedang membangun, 50 peratus pendapatan negara datangnya daripada sektor eksport. Asas pasaran domestik (perbelanjaan pengguna tempatan) juga dianggarkan susut sehingga 40 peratus. Foto yang dipaparkan ialah situasi terkini zon komersial Nilai 3, berhampiran Seremban, Negeri Sembilan pada hujung minggu. Walaupun promosi harga tsunami digembar-gemburkan, ternyata bahawa pengguna tidak memberi respons yang diharapkan. Masyarakat dilihat sebagai berhati-hati dan berhemat dalam mengatur perbelanjaan. Seorang peniaga memberitahu saya bahawa dia sukar melelapkan mata hingga melepasi detik 12 tengah malam justeru memikirkan sama ada jualan hari yang berkenaan sekurang-kurangnya mampu membayar faedah pinjaman bank. Belum masuk kira pokok pinjaman. "You government servant o k lah, survived with fix income," ujarnya dalam sebutan Manglish (Malaysian English, bukan queen"s english).



Krisis ekonomi dunia berlaku semakin kerap sejak globalisasi semakin "berkuasa". Apabila sektor hartanah Amerika Syarikat mengalami kemerosotan permintaan, dan diikuti dengan hutang pemaju dengan pihak bank dan insurans (AIG, American Insurance Group) yang tidak berbayar, banyak lagi projek tersadai, dan orang kehilangan pendapatan. Amerika Syarikat yang mendukung sistem ekonomi kapitalisme memang rancak dengan kegiatan spekulasi. Hartanah dibeli oleh orang yang sudah sedia kaya untuk mendapat keuntungan segera apabila harganya meningkat kemudian hari. Donald Trump, pemilik empayar judi dan kasino Las Vegas, juga dikenali dengan rancangan realiti televisyen The Apperantice melepaskan pegangannya dalam banyak syarikat apabila enggan menanggung beban pembayaran bunga kepada pemegang bon.

Pakar-pakar ekonomi percaya bahawa menjelang Mei ini, krisis ekonomi global ini bakal melepasi tahap kritikal. Ibaratnya seorang pesakit tenat di wad rawatan rapi (ICU) sudah boleh dipindahkan ke wad biasa, tetapi masih dalam pengawasan rapi para doktor. Bagi orang awam yang tidak pernah mempelajari disiplin ekonomi secara formal, mereka barangkali hairan dan mempunyai persepsi tersendiri tentang fenomena ekonomi yang tidak menentu ini.

Dalam kajian makroekonomi, terdapat konsep yang disebut sebagai ayunan KNK, iaitu sesuatu ekonomi akan mengalami edaran melambung (boom) dan meleset (recession). Jadi, apabila dibandingkan dengan keadaan ideal (baca: KNK potensi), iaitu peningkatan berterusan yang digambarkan dengan garis lurus yang bercerun positif, maka akan wujudlah jurang KNK.

Keadaan ekonomi melambung cenderung menyebabkan inflasi, iaitu berlaku tekanan perbelanjaan agregat. Antara langkah campur tangan kerajaan secara tidak langsung (menerusi dasar fiskal) ialah dengan mengecilkan saiz pendapatan boleh guna. Sama ada cukai dinaikkan, atau perbelanjaan kerajaan dikurangkan, atau dilaksanakan serentak, dipercayai bahawa langkah sedemikian akan menurunkan kuasa beli. Keseimbangan dalam perbelanjaan dapat diwujudkan, dan jurang KNK dapat dihapuskan.

Sebaliknya, ekonomi meleset bererti kekurangan perbelanjaan agregat. Kuasa beli masyarakat menjadi rendah disebabkan pendapatan boleh guna yang susut. Kesannya, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan merosot, majikan mengurangkan pekerja, pengangguran meningkat, dan pusingan kejatuhan kuasa beli berterusan menyebabkan perbelanjaan pengguna semakin jatuh. Dasar fiskal untuk meningkatkan semula kuasa beli masyarakat boleh dilaksanakan dengan mengurangkan cukai dan dalam masa yang sama meningkatkan perbelanjaan kerajaan supaya projek-projek awam dapat mewujudkan semula peluang pekerjaan, yang akhirnya akan meningkatkan pendapatan boleh guna supaya saiz pengganda menjadi lebih besar.

Namun, opsyen untuk melaksanakan dasar fiskal sering mencetuskan kontroversi. Contohnya pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan. Masalahnya ialah penyaluran dana rangsangan menerusi segelintir usahawan (baca: kontraktor) tidak menjamin pemulihan yang diharapkan. Malah, kemelesetan ekonomi antara lain berpunca daripada hakikat bahawa sebahagian besar harta kekayaan negara dibolot oleh segelintir orang kaya. Model Pareto (20 : 80) yang sangat masyhur mengatakan bahawa 20 peratus manusia menguasai 80 peratus kekayaan, manakala baki 80 peratus manusia berebut-rebut baki 20 peratus kekayaan. Terdapat ahli ekonomi yang menulis nisbah lebih ekstrem, iaitu 10 : 90!

Masalah kuasa beli dan perbelanjaan agregat tidak akan ada kesudahannya selagi mekanisme agihan pendapatan (ekuiti kekayaan, kek kemakmuran) masih ditentukan oleh tangan ghaib pasaran. Orang kaya (affluent) akan terus menikmati peluang menimbun harta, dilayan oleh pihak bank dengan pelbagai kemudahan pembiayaan, dan mampu membida tender berskala mega. Si miskin (have-nots) hanya mampu terlopong sambil mengharapkan kalau-kalau ada titisan ihsan daripada si kaya. Model paradigma palsu yang dinamai big push dan trickling down effect ini telah ditolak oleh ahli-ahli ekonomi pembangunan sejak dekad 1960-an lagi.

Fungsi kerajaan dalam ekonomi semata-mata untuk memaksimumkan kebajikan rakyat. Kerajaan wajib mencari jalan supaya kuasa beli rakyat dapat menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi yang mapan, guna tenaga penuh, kadar inflasi yang terkawal, serta imbangan bayaran yang positif. Golongan yang memiliki kuasa beli yang rendah mesti dikenal pasti dan dibantu supaya tidak membebankan orang lain. Golongan penganggur, OKU, ibu tunggal, warga emas, anak-anak yatim, dan lain-lain diberikan hak untuk mengambil bahagian dalam meningkatkan aktiviti ekonomi, iaitu menerusi perbelanjaan.

Jika negara maju seperti England dan Australia mewujudkan skim elaun pengangguran, negara sedang membangun seperti Malaysia boleh mengembangkan skim kredit mikro, dan mengukuhkan instrumen agihan seperti zakat, wakaf, sedekah, infaq, dan hadiah kepada golongan (asnaf) yang ditentukan, maka kuasa beli yang dimiliki akan menjamin tercapainya tahap aktiviti ekonomi yang dikehendaki, adil kepada semua, dan bersifat menang-menang.

Di sekolah, murid dan pelajar dipupuk supaya memiliki sikap asertif, yakni menjaga hak orang lain tanpa mengabaikan hak diri sendiri, bukan bersifat agresif (menjaga hak diri sendiri sahaja, tidak mempedulikan hak orang lain), dan bukan bersikap pasif (menjaga hak orang lain sahaja, tidak mempedulikan hak diri sendiri). Maka, modal insan minda kelas pertama sebagai keluaran sistem pendidikan acuan Malaysia boleh dijadikan model masyarakat madani yang menggabungkan tuntutan kebendaan, kerohanian, dan sahsiah mulia yang saling membantu semasa susah dan semasa senang. Dengan ini, negara bakal memiliki ekonomi yang berdaya tahan, iaitu mampu mengharungi segala bentuk ancaman krisis global dengan penuh bergaya.

No comments: