Demikianlah slogan pentadbiran baru jemaah menteri pimpinan perdana menteri Malaysia keenam. sebelum ini pm ke-5 meminta "bekerja bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya". Juga disebutkan bahawa era kerajaan serba tahu sudah berlalu.
Purata usia menteri Malaysia itu ialah 55.5 tahun, iaitu yang termuda 45 tahun, manakala tertua 67 tahun. Presiden Amerika Syarikat, Barrack Hussien Obama berusia 48 tahun, perdana menteri Thai, Abishit 45 tahun. Namun, ada juga pemimpin negara yang sangat tua seperti Robert Mugabe (Zimbabwe) 85 tahun.
Cabaran utama pemimpin sesebuah negara pada abad 21 ini ialah terbentuknya masyarakat berpengetahuan (k-society) yang menjadi ciri utama masyarakat madani. Generasi muda hari ini mempunyai terlalu banyak pilihan untuk memperoleh maklumat. Komunikasi maya dan gajet mudah alih mengakibatkan media tradisional seperti akhbar dan televisyen mengalami kemerosotan pengaruh dalam penyebaran pemikiran dan propaganda. Kuasa the fourth estate yang diberikan kepada media sedemikian tidak relevan lagi.
Jemaah menteri Malaysia yang baharu mesti berupaya memindahkan slogan berkenaan dalam bentuk penggubalan dasar yang lebih telus, berintegriti dan dilaksanakan dengan konsep tadbir urus (good governance) yang yang cekap dan berkesan. Proses demokrasi ala Malaysia akan menjadi lebih matang apabila sekumpulan individu di tampuk kuasa pemerintahan benar-benar memelihara amanah awam melebihi kepentingan peribadi dan kelompok. Semua rakyat berhak menikmati tahap kebajikan yang maksimum daripada kerajaan, sebagaimana yang dinyatakan dalam teori ekonomi.
Dalam menghadapi krisis ekonomi global, kuasa beli rakyat mesti dipertahankan supaya perbelanjaan agregat pengguna dalam negara dapat memastikan bahawa aktiviti ekonomi terus berkembang. Dasar properniagaan yang mengurniakan projek untuk para kontraktor, dengan harapan peluang pekerjaan dibuka luas seharusnya menjalani kajian kemungkinan (feasible studies) untuk pilihan yang lebih baik. Thailand misalnya memberi tunai terus kepada rakyat miskin (2,000 baht = RM 200), Jerman memberi voucer bernilai hampir RM12,000 untuk pemilik kereta berusia lebih 9 tahun untuk membeli kereta baharu. Mungkin kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan voucer untuk pelajar sekolah membeli buku supaya industri buku turut menyumbang terhadap kesan pengganda.
Kecenderungan generasi muda nampaknya ialah keinginan melihat pemimpin dekat di hati mereka, tidak mempamerkan kemewahan secara keterlaluan, dan menyantuni rakyat. Mereka menolak pemimpin yang bengis, hipokrit, dan berlagak bangsawan. Jika mereka mendapat pemimpin sebegitu, nescaya mereka sanggup susah senang bersama-sama dalam mengharungi pertarungan politik dan ekonomi global. Gejala sosial yang sering dikaitkan dengan generasi muda juga lebih senang diuruskan.
Akhirnya, slogan pentadbiran itu diharapkan bukan sekadar untuk memenangi sokongan dalam pilihan raya semata-mata. Pencapaian jemaah menteri baharu ini akan diadili oleh sejarah. Dalam apa-apa jua keadaan, pertimbangan jangka panjang membabitkan generasi akan datang perlu diambil kira supaya kita tidak dipersalahkan kemudian hari.
Friday, April 10, 2009
Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment