SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, January 24, 2012

MENJAUHI SIFAT KIKIR (LECTURE ON GENEROSITY)

Sifat pemurah sangat terpuji dan sangat didambakan dalam masyarakat yang telah mencapai tahap peradaban yang tinggi. Pemurah ialah kesanggupan menghulurkan apa-apa bentuk pertolongan sama ada dari segi benda, buah fikiran, masa dan tenaga kepada pihak yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sifat pemurah yang tulen hanya lahir daripada nurani yang suci.

Sifat kikir (stinginess, selfishness) pula ialah musuh sifat pemurah. Sifat kikir merujuk kepada keengganan untuk mengeluarkan belanja atau sangat berkira untuk menghulurkan pertolongan. Orang-orang yang kikir hanya akan berbelanja atau menghulurkan pertolongan jika keadaan benar-benar memaksa, terdesak atau hanya kerana malu kepada manusia.

Dalam peribahasa Melayu terdapat ungkapan "tangkai jering", iaitu sangat liat untuk berbelanja sama ada untuk dirinya sendiri, apatah lagi untuk menolong orang lain. Walaupun memiliki pendapatan yang tinggi dan simpanan yang moncah, si tangkai jering sangat takut untuk menikmati kekayaan sendiri. Orang kikir ialah pesakit jiwa yang kronik, serta perlu segera menjalani proses pemulihan dan terapi oleh pakar.

Apabila seseorang itu dianjurkan untuk berbelanja dan menghulurkan bantuan, bukanlah bererti sehingga menjadi boros atau melampau. Kebijaksanaan zaman dahulu mengatakan bahawa ukur baju di badan sendiri. Manusia tidak dibebani melainkan dengan keupayaan yang telah dikurniakan oleh Ilahi.

Iktibar peristiwa hijrah hendaklah diinstitusikan dalam pemikiran dan amalan sepanjang zaman. Kaum Ansar (penduduk Madinah) menerima kedatangan kaum muhajirin (Makkah) dengan tangan terbuka dan menyatakan kesediaan menghulurkan apa-apa jua bentuk bantuan, termasuk menawarkan isteri-isteri mereka sendiri (untuk dinikahi usai proses talak). Namun, kaum muhajirin tidak pula mengambil kesempatan dengan menerima segala bantuan atau tawaran justeru mereka ialah insan yang telah menjalani proses pendidikan ruhani (spiritual) yang menjadikan mereka orang-orang yang budiman.

Abdul Rahman bin Auf, usahawan berjaya, hanya mahu ditunjukkan lokasi niaga, bukan menadah modal yang ditawarkan. Kaum Ansar dan Muhajirin telah berjanji setia. Mereka berlapang dada terhadap perbezaan pendapat sehingga memberi laluan kepada usaha penyebaran dakwah yang berkesan.

Sifat pemurah tidak semestinya hanya monopoli orang kaya, manakala sifat kikir pula bukan hanya disebabkan oleh kekurangan harta benda atau kemampuan. Sifat pemurah dilambangkan oleh kesediaan berkongsi ilmu pengetahuan, keselesaan, kesenangan, rezeki, susah senang dan segala perkara yang menjurus kepada kebaikan dan taqwa. Si pemurah akan sentiasa menunaikan hak diri sendiri dan hak orang lain, iaitu bersikap asertif atau tegas diri.

Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang terpelihara daripada sifat kikir. Mereka yang tidak kikir sentiasa mendoakan saudaranya yang beriman dan membuang jauh-jauh perasaan dengki dan iri yang mungkin masih bersarang di dalam lubuk sanubari nan dalam. Titipan surah al-Hasyr (59:9) hendaklah melekat dan tersemat di dalam jiwa kita...

No comments: