Sunday, April 14, 2013
KISAH PENJAJA JALANAN (SURVIVAL OF LIFE)
Berapa banyak pun pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan pusat penjaja, kemunculan kelompok penjaja jalanan masih tidak dapat disekat. Kelompok berkenaan berniaga tanpa lesen yang sah dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mengelakkan daripada rampasan atau tindakan sita. Kehadiran penjaja jalanan merimaskan peniaga berlesen yang beroperasi dalam premis yang berdaftar dan akur dengan segala speksifikasi yang ditetapkan oleh pelbagai agensi penguat kuasa.
Hakikatnya, penjaja jalanan membawa cerita yang bersimpang-siur, tidak bersistem dan juga suka duka. Terdapat penjaja jalanan yang benar-benar terdesak oleh tekanan kehidupan, tetapi terdapat pula peniaga jalanan yang tidak bertanggungjawab sehingga pembeli menjadi mangsa. Pendek kata, kelompok penjaja jalanan merupakan suatu fenomena sosial yang perlu dikendalikan dengan berhati-hati.
Penyanyi tersohor, Datuk CT pernah menjaja kuih-muih dari rumah ke rumah bagi menampung kehidupan sebuah keluarga polis berpangkat rendah. pengalaman itu sedikit sebanyak memberi bekas sehingga beliau mampu muncul sebagai usahawan skala besar sekarang. Banyak usahawan lain di serata dunia mungkin berkongsi pengalaman yang serupa.
Penulis blog (PB) sendiri pernah merasi pengalaman menjaja buah rambai di tepi jalan raya yang tidaklah begitu banyak kenderaan di Kampung Bahagia, menghala ke pekan Teluk Anson (kini Teluk Intan). Tanpa disangka-sangka dalam tempoh tidak sampai dua jam, dua guni buah rambai yang dibawa dari kampung Sungai Tukang Sidin langsai. Barangkali justeru harga rambai yang ditawarkan sangat rendah, iaitu di bawah harga pasaran!
Di bandar raya pintar seperti Putrajaya dan Cyberjaya, kegiatan penjaja jalanan tidak dibenarkan sama sekali. Setakat ini tiada sesiapa pun berani melawan arus kerana penguatkuasaan dilakukan dengan begitu tegas. Di tempat lain termasuk bandaraya Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor Bahru, sering berlaku adegan penjaja jalanan bertempiaran lari demi terserempak kelibat penguat kuasa PBT.
Sebilangan pelajar PB terdiri daripada anak penjaja jalanan. Ibu bapa mereka bertungkus-lumus membuka gerai mi di tepi jalan. Dengan kerja keras dan risiko dikenakan tindakan, mereka masih mampu menanggung keluarga, membiayai persekolahan anak dan membeli rumah. Alasan mereka ialah lesen sangat sukar diperoleh, dan permohonan premis tetap tidak pernah berjaya.
Penjaja jalanan tidak dapat dikenakan kawalan mengikut peruntukan undang-undang kerana mereka tidak berdaftar. Status kesihatan penjaja dan pembantu mereka tidak pernah disahkan oleh mana-mana pegawai perubatan. Pembeli harus menanggung sendiri risiko jangkitan penyakit jika penjaja adalah pembawa virus, atau akibat tatacara penyediaan makanan yang diragui.
Keadaan bertambah buruk apabila penjaja jalanan ialah warga asing atau penjenayah yang menyamar. Sikap pembeli yang tidak peka akan perkara sedemikian menyebabkan keselamatan masyarakat setempat tidak dapat dijamin. Proses pemutihan penjaja jalanan sepertimana yang dilakukan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) perlu dipertimbangkan.
Ura-ura membawa kembali penaja jalanan ke 'sekolah', iaitu menerusi kursus pendek di kolej komuniti sebelum diberi sijil belum menjadi kenyataan. Maka, buat sementara ini, satu kempen kesedaran skala besar perlu direka bentuk supaya masyarakat pembeli lebih peka terhadap urus niaga dengan penjaja jalanan. Niat untuk membantu sesama manusia memang baik, tetapi mereka harus lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kecuaian suatu hari kelak.
Tidak dinafikan terdapat penjaja jalanan yang begitu berjaya sehingga dapat hidup mewah. Kekayaan mereka tidak dibersihkan kerana mereka tidak membayar cukai atau menunaikan zakat perniagaan. Natijah ekonomi seperti itu sahaja sudah cukup sebagai alasan supaya unit khas menangani urus niaga peniaga jalanan ditubuhkan dengan kadar segera...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment