SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, April 24, 2013

SAMBUTAN HARI PENTING DALAM KELUARGA (RE-INVENTING HOME SWEET HOME ENVIRONMENT)

Institusi keluarga ialah asas pembentukan sesebuah masyarakat dan seterusnya negara. Kerukunan dalam institusi keluarga menyumbang terhadap pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Sebaliknya, kepincangan yang berlaku dalam institusi keluarga bakal membawa kesan buruk sehingga menjejaskan  pembentukan sistem hidup bermasyarakat yang diinginkan.

Keutuhan sesebuah keluarga bergantung kepada ikatan kasih sayang, kemesraan dan kepekaan yang dipamerkan antara ibu bapa, anak-anak dan anggota keluarga yang lain yang menghuni rumah yang sama. Ibu bapa sebagai tonggak kepimpinan keluarga seharusnya memiliki kemahiran keibubapaan supaya dapat menjadi contoh yang unggul kepada anak masing-masing. Komunikasi berkesan dan bahasa mesra sesama anggota keluarga mampu mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan menjadi perisai daripada sebarang ancaman pengaruh negatif yang boleh memporak-perandakan keluarga.

Antara amalan baik yang boleh dibuat ialah sambutan hari-hari penting dalam keluarga seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan, hari ibu, hari bapa dan sebagainya. Ucapan selamat dan doa sebagai tanda ingatan menjadikan hari berkenaan sangat istimewa untuk dikongsi oleh seisi keluarga. Acara makan-makan mengikut kemampuan boleh diatur supaya seluruh anggota keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama dan mengungkapkan kisah-kisah lalu yang dapat menambah erat hubungan sesama anggota keluarga.

Pada kebiasaannya, ibu dan anak perempuanlah yang lebih peka terhadap tarikh-tarikh ulang tahun itu. Mereka berasa sangat bahagia apabila menerima ucapan selamat dan kata-kata indah berkaitan dengan sambutan hari yang dianggap sangat bermakna dalam hidup mereka. Bapa dan anak lelaki bukan tidak peka, tetapi mungkin hanya agak alpa.

Sambutan hari lahir bukanlah bertujuan mengikut pengaruh Barat, tetapi sebagai suatu peringatan tentang bertambahnya tanggungjawab seisi keluarga terhadap segala urusan duniawi dan ukhrawi. Di samping ucapan selamat dan doa, setiap anggota keluarga boleh mengambil kesempatan ketika berkumpul bersama itu bagi merancang sebarang aktiviti yang boleh mendekatkan lagi ikatan kekeluargaan. Jiran dan rakan terdekat boleh diajak bersama menghadiri majlis sambutan supaya anak-anak terbiasa dengan kehidupan bermasyarakat dalam konteks yang lebih luas.

Tiada masalah sama ada sambutan hari lahir disediakan dengan kek Secret Recipe atau pulut kuning. Upacara meniup lilin sambil memakai topi berbentuk kon mungkin kontroversi kepada orang dewasa, tetapi untuk kanak-kanak bergembira, tanyalah ustaz! Kini, terdapat juga ibu bapa yang berkemampuan menjemput jemaah surau ke rumah untuk majlis tahlil dan doa selamat, seterusnya jamuan khas.

Sambutan ulang tahun perkahwinan juga menjadi tarikh yang sangat istimewa bagi seseorang isteri. Mereka begitu ternanti-nanti akan kejutan yang bakal diterima daripada suami dan anak-anak. Naluri wanita memang suka kepada suasana romantis dalam hubungan perkahwinan walaupun kajian mendapati bahawa majoriti kaum lelaki jarang-jarang peka akan keperluan berkenaan.

Pada hari yang istimewa berkenaan, suami  boleh memberi kejutan khas dengan hadiah mengikut kemampuan kewangan masing-masing. Anak-anak juga dikumpul sekali untuk suatu majlis ringkas untuk mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan dan semoga jodoh ibu bapa mereka kekal ke akhir hayat. Anak-anak dilatih untuk menghargai ibu bapa yang banyak berkorban dan bersusah payah bagi menyediakan segala kesenangan yang dinikmati seisi keluarga selama ini.

Sambutan hari ibu dan hari bapa juga boleh menjadi landasan untuk mengukuhkan jalinan kasih sayang dalam keluarga. Ibu bapa sendiri jangan pula lupa kepada datuk dan nenek yang mungkin tinggal berasingan untuk sambutan hari istimewa itu. Anak-anak akan melihat kepekaan ibu bapa mereka sebagai contoh amalan masa depan mereka sendiri.

Kesimpulannya, sambutan hari-hari penting dalam kalangan anggota keluarga bertujuan bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan supaya sentiasa bertambah erat, mesra dan sejahtera. Majlis sambutan tanpa mengambil kira kecil atau besar pada hakikatnya menjurus kepada kesempatan untuk berkumpul seisi keluarga dalam persekitaran zaman yang begitu sibuk dalam hal ehwal kebendaan, mencari rezeki dan kegiatan di luar lingkungan rumah tangga. Satu kempen kesedaran tentang kesan positif sambutan hari-hari penting dalam kalangan anggota keluarga pada akhirnya menyumbang terhadap kerukunan, kemajuan dan kemakmuran masyarakat dan negara.

No comments: