SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

RAMPASAN KUASA TENTERA: MESIR TERUS BERGOLAK (MIDDLE EAST POLITICAL MELIEU)

Kemelut kuasa setelah kejatuhan rejim diktator Hosni Mubarak masih belum berakhir. Presiden Dr. Morsi yang dipilih menerusi peti undi digulingkan  oleh tentera yang diketuai oleh menteri pertahanan lantikan Morsi sendiri. Terdapat dakwaan bahawa berlaku percaturan perisikan asing dalam menghasut penentang Morsi untuk turun ke jalan raya sebagaimana juga yang berlaku di Turki dalam tempoh yang hampir sama.

Morsi, lulusan doktor falsafah bidang kejuruteraan dari Amerika Syarikat, anggota kanan gerakan Ikhwanul Muslimin, hanya sempat memegang jawatan presiden lebih kurang setahun. Dalam tempoh pemerintahan sesingkat itu, banyak usaha cuba dilakukan termasuk mendekati musuh politik beliau seperti penyokong Hosni Mubarak, jeneral tentera, puak sekular dan golongan koptik Kristian. Walaupun menyedari risiko pengkhianatan seperti gunting dalam lipatan, Morsi memberi tempat kepada mereka dalam pentadbiran kerajaan.

Kesudahannya sudah pun dimaklumi. Musuh-musuh politik Morsi memanipulasi segala ruang yang diberi untuk merancang peristiwa kudeta yang pasti menyebabkan rejim haram Tel Aviv berasa lega, manakala rakyat Palestin di Gaza kembali berhadapan dengan keganasan zionis apabila pintu Rafah ditutup semula. Morsi telah pun dikenakan sekatan dalam rumah, serta akan didakwa di mahkamah dengan pelbagai pertuduhan yang bakal menghumban beliau ke penjara.

Mesir memang dikagumi sebagai bumi anbiya', serta warisan tamadun yang hebat. Maka, tidak hairanlah bahawa Mesir muncul sebagai salah sebuah destinasi pelancongan antarabangsa yang ingin menyusuri Sungai Nil dan melihat sendiri keangkuhan Firaun menerusi tinggalan binaan piramid di Kaherah. Mesir juga menjadi tumpuan pelajar Islam seluruh dunia dalam bidang pengajian Islam dan perubatan.

Namun, Mesir masih belum keluar daripada status sebagai negara dunia ketiga. Kadar kemiskinan dan kadar buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir masih tinggi (kadar celik huruf sekadar mencecah 72 peratus, berbanding Malaysia 89 peratus: klik di sini dan di sini). Akses pendidikan yang rendah mengakibatkan pertimbangan emosi dan sentimen lebih mudah dieksploitasi.

Dunia masih menunggu perkembangan selanjutnya, terutama kira-kira 52 peratus pengundi yang memberi sokongan kepada Morsi dalam pilihan raya presiden yang lalu. Laporan media menggambarkan sejumlah dua juta penentang Morsi menguasai Dataran Tahrir, manakala lebih lapan juta penyokong Morsi pula turun ke jalan raya, tetapi tindak balas mereka sudah terlambat. Politik anarkis akan ditamatkan dengan segera apabila matlamat penganjur dilihat tercapai sebelum tembelang bahawa sokongan terhadap mereka tidak sehebat mana terbongkar apabila lawan bangkit menunjukkan kekuatan.

Gerakan dakwah Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan al-Banna dan Syed Qutb kira-kira 85 tahun yang lalu kini berhadapan dengan ujian yang sangat berat. Parti Kebebasan dan Keadilan yang merupakan sayap politik Ikhwan berkemungkinan besar akan disekat daripada terus aktif. Idealisme yang dicetuskan menerusi pidato, kuliah, wacana intelektual, usrah dan penulisan yang tersebar ke serata dunia bukan suatu jaminan pelaksanaan dalam dunia nyata.

Bacaan politik dan sifir kuasa memang berbeza sama sekali dengan logik dan mantik aras biasa. Maka, ungkapan bahawa sebelah kaki ahli politik sudah berada di sel penjara bukan suatu jenaka yang tidak berasas. Marilah kita berdoa semoga Mesir akan kembali ke landasan kuasa awam yang tidak didalangi campur tangan asing yang licik...

No comments: