SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, July 25, 2013

BUDAK TAHFIZ NAMPAK MATANG (THE EMERGENCE OF YOUNG LEADERS)

Sebahagian masjid dan surau di Malaysia menjemput pelajar tahfiz untuk menjadi imam solat tarawih sepanjang bulan Ramadan. Usia mereka baru mencecah 14 hingga 18 tahun, tetapi mampu memimpin jemaah yang sebaya dengan bapa dan datuk mereka sendiri. Bacaan mereka cukup baik dan lancar, malah menghormati jemaah yang tidak larat untuk berdiri lama dalam setiap rakaat.

Sebagai manusia biasa, kadang-kadang imam tahfiz muda seperti mereka juga terlupa ayat, lalu terdiam seketika. Jika ada makmum yang tolong sambung (dengan niat zikir), mungkin hafazan mereka datang kembali. Jika sebaliknya, imam muda tadi akan terus rukuk, atau membaca surah lazim dari juzuk Amma.

Watak kepimpinan imam tahfiz muda begitu terserlah. Ciri keberanian dan keyakinan diri begitu menebal untuk berada di ruang kedudukan imam. Dalam usia yang begitu muda, mereka tidak kekok atau gentar untuk memimpin jemaah solat tarawih yang memenuhi masjid dan surau.

Terdapat juga imam tahfiz yang ditemani oleh guru masing-masing yang bakal membuat 'pembetulan' (dengan niat zikir) apabila berlaku sahaja kesilapan atau ketinggalan. Naskhah al-Quran juga akan dirujuk ketika makmum melafazkan selawat antara dua rakaat solat tarawih berikutnya. Bagi imam tahfiz muda, ayat permulaan yang betul akan menjamin hafazan mereka sangat mantap.

Bacaan wirid dan doa selepas solat juga menggambarkan bahawa imam tahfiz muda telah menerima latihan yang mencukupi sebagai pemimpin solat jemaah yang berwibawa. Meskipun masih muda, mereka bagaikan imam yang sangat berpengalaman. Imam harian masjid dan surau dengan senang hati memberi laluan dan berdiri di saf belakang imam sebagai ahli jemaah solat yang biasa.

Pelajar tahfiz bukan sahaja memperlihatkan hafazan yang mantap, bahkan memiliki lidah yang fasih dalam menyebut setiap makhraj huruf dan akur dengan segala hukum tajwid. Sudah tentu bahawa asas bahasa Arab dan usul al-Quran mereka juga direka bentuk dalam satu pakej pembelajaran yang lengkap. Penghayatan bacaan yang baik juga berpunca daripada kefahaman terhadap maksud dan tujuan setiap ayat itu diturunkan.

Para hafiz merupakan aset masyarakat Islam yang sangat penting. Mereka dapat menjadi benteng terhadap sebarang bentuk percubaan musuh untuk mengelirukan umat, misalnya versi Qadiyani yang dimasukkan dalam pakej komputer tablet yang tertentu. Para hafiz bagaikan al-Quran yang hidup dan bergerak, serta dapat memusnahkan serangan para penyamar yang benci kepada al-Quran.

Langkah memberi elaun sara hidup kepada para hafiz yang diiktiraf memang sangat wajar. Mereka bukan sahaja dapat memberi tumpuan terhadap hafazan al-Quran, bahkan meneroka seluruh bidang ilmu yang berkaitan. Dengan itu, segala perintah, khabar gembira, hukum hakam dan anjuran al-Quran dapat dipindahkan dalam bentuk pelaksanaan sebenar, manakala segala bentuk larangan, ancaman dan kerosakan dapat dikenal pasti sebagai sempadan yang perlu dijauhi...

No comments: